
KUANTAN: Politik negara perlu dilihat dalam landskap dan kerangka lebih besar dengan meletakkan penyatuan ummah sebagai keutamaan, mengatasi sempadan dan kepentingan kepartian, kata Pesuruhjaya PAS Pahang.
Dato’ Ustaz Rosli Abdul Jabar menegaskan bahawa dinamika politik di peringkat negeri dan Pusat perlu ditangani secara matang dengan mengambil kira tanggungjawab sejarah terhadap rakyat serta umat Islam.
Menurut beliau, Perikatan Nasional (PN) ditubuhkan sebagai wadah muafakat dan PAS kekal komited mempertahankan kerjasama Melayu Islam sebagai asas kepada kestabilan politik negara.
“PAS telah lama melihat lebih jauh daripada itu yang mana PN bukan destinasi terakhir, tetapi salah satu kenderaan menuju penyatuan yang lebih luas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, dalam konteks penyatuan ummah, Umno tidak boleh dianggap sebagai pihak luar kerana ia sebahagian daripada realiti umat dan sejarah politik negara.
Sehubungan itu katanya, usaha ke arah kebersamaan tidak wajar terhenti pada batas gabungan sedia ada, sebaliknya perlu digerakkan di bawah satu payung lebih besar yang melangkaui nama, logo dan kepentingan parti.
“Payung besar ini bukan dibina atas angka kerusi atau persaingan dominasi, tetapi atas amanah menjaga agama, kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat.
“Ia menuntut kematangan untuk merendah diri, keberanian untuk berdialog dan kebijaksanaan untuk membezakan antara perbezaan strategi dengan perpecahan prinsip.
“PAS berpegang bahawa muafakat itu akhlak, dan akhlak menuntut kita mencari titik temu, bukan memperbesarkan jurang. Apa jua perbezaan yang wujud hari ini seharusnya diurus sebagai perbezaan dalam keluarga besar ummah, bukan alasan untuk saling menafikan.
“Sejarah telah membuktikan bahawa ketika umat bersatu, negara stabil. Ketika umat berpecah, ruang terbuka luas kepada pihak yang tidak mempedulikan kepentingan Islam dan Melayu. Justeru, kewaspadaan terhadap musuh yang menunggu dicelah perpecahan perlu sentiasa diutamakan,” ujarnya.
Dalam hal itu beliau berkata, PAS konsisten menghulurkan tangan kepada rakan dalam PN untuk terus bertaut, di samping membuka ruang musyawarah dengan Umno serta parti politik lain dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengumpul seluruh kekuatan umat agar bernaung di bawah payung besar yang sama.
“Parti hanyalah wasilah tetapi penyatuan ummah adalah matlamat. Penyatuan adalah nikmat, perpecahan adalah petaka yang sedang menanti. Ancaman paling utama kepada kita adalah agama dan bangsa Melayu yang menjadi tonggak kedaulatan negara.
“Hilang kedaulatan dan kemuliaan sebuah negara jika lemah pegangan agamanya dan kaum yang menegakkannya,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Lumpur.
Jelasnya, persengketaan antara kabilah Aus dan Khazraj yang tercatat sebagai konflik terbesar dalam lipatan sejarah umat Islam wajar dijadikan iktibar dalam usaha memperkukuh penyatuan ummah pada masa kini.
Rosli berkata, pertembungan antara dua kabilah itu pada asalnya berpunca daripada isu kecil, namun akhirnya berkembang menjadi konflik berpanjangan sehingga membawa kepada pertumpahan darah dan berlarutan selama ratusan tahun.
“Namun akhirnya kekusutan itu terurai dengan kedatangan Islam dan Nabi SAW yang berjaya mentautkan hati sehingga permusuhan bertukar menjadi persaudaraan. Ini mesti menjadi matlamat kita untuk kita membina negara berdaulat yang mendapat limpahan berkat dan keredhaan Allah SWT.
“Matlamat sebesar ini menuntut kita berfikir melangkaui parti, melangkah melampaui ego dan bersatu demi masa depan negara tercinta,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/12/2025











