Perlis: Speaker umum kekosongan luar jangka tiga DUN

- Advertisement -

KANGAR: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus’ele Eizan mengumumkan kekosongan luar jangka tiga kerusi DUN Perlis iaitu di N.03 Chuping, N.06 Bintong dan N.13 Guar Sanji dalam satu sidang media, sebentar tadi.

Menurutnya berdasarkan peruntukan Perkara 50A(1)(a)(ii) Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis (Pindaan) 2022 yang telah disemak dan ditelitinya, kekosongan luar jangka itu berlaku setelah beliau menerima notis berkaitan.

Tiga kerusi tersebut masing-masing disandang wakil rakyat daripada PAS iaitu Saad Seman, Fakhrul Anwar Ismail dan Mohd Ridzuan Hashim yang menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dahulu atas tiket Perikatan Nasional (PN).

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang terdahulu mengumumkan tiga wakil rakyat itu terhenti keahlian sebagai ahli PAS dari ketetapan Mesyuarat Khas Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat di Pejabat Presiden PAS di Rusila, Marang, malam tadi.

Ia berikutan tindakan tiga ADUN terbabit telah menandatangani akuan bersumpah (SD) tidak lagi menyokong kepimpinan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dan menyerahkan SD tersebut kepada pihak Istana Perlis, Jumaat lalu.

Mereka dilaporkan bertindak demikian bersama lapan ADUN daripada BERSATU iaitu Abu Bakar Hamzah (Kuala Perlis); Izizam Ibrahim (Titi Tinggi); Megat Hashirat Hassan (Pauh); Wan Zikri Afthar Ishak (Tambun Tulang); dan Marzita Mansor (Sena).

“Bagi tujuan itu saya akan memaklumkan secara rasmi kekosongan luar jangka ini kepada Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dalam masa terdekat,” ujar Rus’ele dalam sidang media di Kompleks Seri Putra, di sini sebentar tadi.

Katanya, beliau juga mengambil maklum Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Negeri Perlis telah dijalankan pada 19 Disember 2022, justeru tempoh usia tiga tahun Dewan Negeri Perlis telah terakru pada 18 Disember 2025.

Akui beliau, berdasarkan undang-undang sedia ada, tiada keperluan untuk diadakan pilihan raya bagi mengisi kekosongan luar jangka tersebut bila mana usia Dewan Negeri sudah mencecah tiga tahun atau lebih.

“Namun pada hemat saya tiga kekosongan luar jangka itu dari segi bilangan yang membentuk majoriti semua Ahli Dewan Undangan Negeri Perlis hendaklah diisi semula bagi kepentingan kestabilan kerajaan bagi memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.

“Sehubungan itu saya akan guna budi bicara berdasarkan peruntukan melalui proviso Undang-undang Tubuh Kerajaan Perlis saya untuk memaklumkan secara bertulis bahawa kekuatan dari segi bilangan parti yang membentuk majoriti semua Ahli Dewan Negeri adalah terjejas.

“Saya akan meminta SPR bagi mengadakan semula pilihan raya bagi mengisi tiga kekosongan luar jangka tersebut. Alasan-alasan tentang terjejasnya semua parti yang membentuk majoriti itu akan saya perincikan secara makluman bertulis saya kepada SPR,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 25/12/2025

- Advertisement -

- Advertisement -