PAS Cawangan Kuala Bekah: Sejarah dan kemajuannya

- Advertisement -

PAS CAWANGAN Kuala Bekah melahirkan ramai kepimpinan parti di peringkat Kawasan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam sekali gus merupakan antara penggerak utama parti di DUN tersebut.

Sejarah dan latar belakang penubuhan cawangan

Keputusan Pilihan Raya Umum ketujuh (PRU7) tahun 1986 adalah satu kejutan besar dan menandakan kebangkitan semula PAS di Terengganu selepas sekian lama dikuasai Umno.

PAS berjaya memenangi lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu manakala Barisan Nasional (Umno) mengekalkan majoriti dengan memenangi 20 kerusi DUN sekali gus terus membentuk kerajaan negeri. Sementara Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengekalkan kerusi DUN Marang (sekarang DUN Rhu Rendang).

Kemenangan lapan kerusi ini penting sebagai satu pencapaian yang signifikan bagi PAS. Ia menunjukkan bahawa pendekatan dakwah dan penekanan terhadap isu Islam berjaya memecah tembok undi tradisional Umno di kawasan luar bandar Terengganu. Kemenangan ini meletakkan asas yang kukuh untuk kejayaan yang lebih besar pada pilihan raya akan datang.

- Advertisement -

Peristiwa Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi dihalang berceramah (1986)

Peristiwa ini tidak dapat dipisahkan dari naratif politik tahun 1986. Pada masa itu, ceramah politik adalah medium utama untuk memperoleh pengundi.

Sebagai seorang pemimpin yang berkarisma dan tokoh ulama yang disegani, ceramah Tuan Guru Abdul Hadi sering menarik ribuan pendengar.
Kerajaan (Barisan Nasional) yang mengawal keselamatan dan permit berkumpul sering menggunakan Akta Polis dan Akta Keselamatan lain untuk menghalang ceramah politik pembangkang, terutamanya yang dikhuatiri kononnya boleh menimbulkan ketegangan atau menghasut. Alasan yang biasa diberikan adalah ‘atas sebab keselamatan dan ketenteraman awam’.

Tindakan menghalang ceramah ini sering menjadi bumerang terhadap kerajaan. Ia digunakan oleh PAS sebagai bukti dakwaan mereka bahawa kerajaan Umno bersifat autoritarian dan ‘takut kepada kebenaran’. Peristiwa seumpama ini menimbulkan simpati dan mengukuhkan sokongan kuat terhadap PAS. Ia menjadi alat kempen yang berkesan untuk membina naratif ‘dianiaya’ (victimhood).

Banyak cawangan PAS ditubuhkan bagaikan cendawan selepas hujan apabila bersemaraknya kebangkitan perjuangan PAS bersama tokoh-tokoh terkemuka parti itu termasuk Presidennya Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Al Marhum Dato’ Tuan Guru Harun Taib, Al Marhum Dato’ Abu Bakar Chik dan Dato’ Mustafa Ali yang mengadakan ceramah di seluruh pelosok negara, siang dan malam.

Terdahulu dari itu pada tahun 1985 pernah Tuan Guru Abdul Hadi bersama Al Marhum Dato’ Harun dan Dato’ Mustafa (Cekgu Pa) mengadakan ceramah di rumah seorang aktivis PAS Abu Bakar di Kampung Kuala Bekah untuk menyedarkan masyarakat di kampung berkenaan kepada perlunya mereka bersama PAS memperjuangkan Islam.

Terdapat usaha menubuhkan cawangan PAS di kampung berkenaan oleh seorang aktivis PAS, Abdullah Kasim, bagaimana pun usaha itu hanya sekerat jalan sahaja.

Pada tahun 1986 semakin ramai penduduk di kampung berkenaan cenderung malah mendukung perjuangan PAS dengan berusaha membawa Tuan Guru Abdul Hadi berceramah di Masjid Kuala Bekah namun usaha itu terhalang apabila pintu masjid dikunci oleh jawatankuasa masjid berkenaan.

Lalu majlis ceramah itu dipindahkan ke sebuah rumah penduduk yang dikenali sebagai Pak Su Mat berdekatan dengan masjid tersebut.

Pada tahun 1989 semangat menubuhkan cawangan PAS lebih bersemarak didorong oleh Dato’ Mustafa dan seorang aktivis PAS Al Marhum Razak Omar. Usaha itu diteruskan oleh dua orang pemuda PAS ketika itu Othman Yusof dan Radzali A Ghani.

Pada 31 Ogos 1990 cawangan PAS Kuala Bekah dirasmikan oleh Dato’ Mustafa di rumah Abdullah Hitam beralamat D 413 Kampung Kuala Bedah, Kuala Terengganu dalam satu majlis ceramah perasmian serentak itu rasmilah penubuhan cawangan PAS Kuala Bekah.

Keahlian PAS cawangan

Keahlian PAS cawangan ini berjumlah 162 orang termasuk yang aktif (80), yang masih hidup (37), yang meninggal dunia (25) dan yang berada di luar kampung (20).

Jumlah penduduk

Cawangan ini mempunyai jumlah penduduk seramai kira-kira 245 orang.

Fungsi dan peranan

Cawangan ini berperanan mewujudkan sebuah masyarakat kampung yang menghayati nilai-nilai hidup Islam dan hukum hakamnya dalam kehidupan mereka, memantau aktiviti penduduk supaya mematuhi syariat dan tidak melanggar undang-undang negeri dan negara.

Cawangan ini sentiasa berusaha memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syariat serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara.

Ianya berfungsi melaksanakan segala peraturan sebagaimana termaktub dalam perlembagaan parti. Di samping itu cawangan ini juga berusaha sedaya upaya mematuhi arahan dari PAS Kawasan sebagai tanggungjawab politik dan perjuangan parti.

Tidak ketinggalan cawangan ini segera menjalankan Urusan Pilihan Raya Unit Daerah Mengundi (UDM) bila tiba masa Pilihan Raya Umum dan Pilihan Raya Kecil (PRK).

Sebagai tanggungjawab sosial, cawangan ini seringkali bekerjasama dengan jawatankuasa masjid dan surau dalam usaha menjalankan aktiviti dakwah di samping menjalankan kerja-kerja pentarbiayahan ahli dari semasa ke semasa mengikut panduan yang ditetapkan oleh parti termasuk usrah dan sebagainya.

Aktiviti dan program

Menurut sumber lisan dari penduduk setempat peristiwa bersejarah di kampung Kuala Bekah ialah ke Bawah Duli Al Marhum Tuaku Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah pernah mencemar duli berkunjung ke Masjid Kuala Bekah dipercayai sekitar tahun 1970-an.

Ini diikuti dengan Sultan Terengganu ke Bawah Duli Tuanku Mizan Zainal Ibidin mencemar Duli mendirikan solat jumaat di Majid Ibadur Rahman Kuala Bekah, masjid baharu kampung berkenaan. Bagaimanapun tiada tarikh spesifik dinyatakan mengenai peristiwa tersebut.

Begitu juga Menteri Besar Terengganu Al Marhum Tan Sri Dato’ Ibrahim Fikri Mohamad pernah melawat kampung berkenaan dalam tempoh beliau memegang jawatan sebagai menteri besar (1961-1970).

Walaupun peristiwa tersebut tidak ada kaitan dengan aktiviti cawangan berkenaan namun ia menggambarkan bahawa kampung berkenaan pernah menjadi tempat kunjungan sultan dan pembesar negeri Terengganu suatu ketika dahulu.

Kepimpinan parti mengadakan kuliah di surau dan masjid di sekitar kampung berkenaan di samping aktiviti-aktiviti lain termasuk majlis sambutan dua hari raya, maulidur rasul dan maal hijrah.

Cabaran dan harapan

PAS cawangan ini berhadapan dengan cabaran dalam mengadakan serta menghidupkan aktiviti tarbiyyah dan kefahaman Islam kepada ahli dan masyarakat di kampung berkenaan termasuk konsistensi dan sambutan umum terhadap kegiatan tersebut.

Cabaran juga berkait pencapaian untuk menyediakan tenaga pendakwah dan kepimpinan masyarakat di kalangan ahli melalui usrah dan pelbagai aktiviti lain.

Harapan cawangan ini ialah supaya ahli dan penduduk dapat menerima sepenuhnya dasar-dasar perjuangan parti dan aktiviti yang diatur untuk mereka.

Cita-cita cawangan ini ialah berjaya mendaftar ahli baru dari kalangan penyokong PAS berumur bawah 30 tahun seramai 350 orang sehingga 2027.

Di samping itu berusaha melahirkan pimpinan cawangan dari kalangan pemuda seramai 60 dalam tempoh yang sama.

Menjadi hasrat dan cita-cita cawangan terus berupaya mempertahankan kemenangan dalam pilihan raya yang akan datang di Unit Daerah Mengundi (UDM) Kuala Bekah sebanyak 87.3 peratus.

Cawangan ini juga akan terus berusaha agar penduduk setempat terutama kaum muslimin hadir ke masjid dan surau bagi mengerjakan solat berjemaah dan mendengar kuliah dalam kadar 50 peratus kehadiran dengan nisbah populasinya.

Kerjasama dan Hubungan

Mengadakan hubungan dengan semua anggota masyarakat Kuala Bekah melalui pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

Cawangan ini melalui ketua dan beberapa orang ahli jawatankuasanya mengadakan kerjasama dengan pelbagai persatuan dan entiti kampung yang ada dalam cawangan berkenaan termasuk Belia 4B, Kumpulan Ila Assa’adah, Pasukan Bolasepak TEGAP, Pertubuhan Ikatan Usaha Teguh Kebaikan Terengganu (IKHTIAR CARE), Masjid Abdul Rahman, surau-surau, Persatuan Kebajikan dan Rekreasi Penduduk Kuala Bekah dan Pasukan Memanah Kuala Bekah.

Pada keseluruhannya cawangan ini berjaya menubuhkan NGO dan menguasai persatuan-persatuan yang bergerak dalam komuniti kampung berkenaan.

Senarai Ketua Cawangan, Pemuda dan Muslimat

Seramai enam orang ketua cawangan ini telah berkhidmat dengan cemerlang mulai tahun 1991 sehingga sekarang termasuk Ismail Jusof (Lah) mulai 1991 hingga 1993, Husin Abdul Rahman (1993-1995), Ramli Ibrahim (1995-2001), Radzali A Ghani (2001-2007), Muhamed A Ghani (2007-2011) dan Zulkifli Mohamad (2011-sekarang).

Seramai sembilan orang Ketua Pemuda menabur bakti di cawangan ini mulai tahun yang sama sehingga kini termasuk Sulaiman Yusof (1991-2001), Fauzi Yusof (2001-2003), Muhamad Idris (2003-2007), A Halim A Ghani (2007-2011), Mohd Alwi Abdul Rahman (mulai 2011 dan tarikh akhir perkhidmatannya tidak direkodkan), Mohamad Safwan Ghani (tiada tarikh perkhidmatan direkodkan), Mohd Hafizul (tiada tarikh perkhidmatan direkodkan), Khairudin Husin (2011-2021) dan Mohd Hafizul (2021 sehingga sekarang).

Sementara Muslimat Cawangan ini pula melahirkan lima orang ketuanya mulai tarikh yang sama termasuk Mariam Abdullah (1991-2001), Ghaibah Abdul Rahman (2001-2005), Habsah Yusof (2005-2007), Ani Ismail (2014-2017) dan Khatijah Yusof (2018 -sekarang).

Aktivis cawangan

Terdapat 17 orang aktivis yang masih aktif mendukung cawangan ini sehingga sekarang terdiri dari 14 muslimin dan selebihnya (tiga) muslimat. Mereka itu ialah Othman Yusof, Radzali A Ghani, Zulkifli Mohamed, Rashid Yahya, Safwan Ghani, Khairudin Husin, Mohd Nor Yusof, Yusof Ghani, Fauzi Yusof, Abdul Rahman Yusof, Abdul Manaf Ghani, Awang Jusoh, Putih Jusoh, Muhamed A Ghani, Khatijad Yusof, Fatimah Muda dan Maziah Othman.

Pencapaian

Cawangan ini pernah menerima Sijil Penghargaan Penambahan Ahli pada Tahun 1993 dan 1994 dari PAS Kawasan Kuala Terengganu.

Peristiwa penting

Cawangan ini menghadapi masalah sukar untuk mendaftarkan penduduk dan ahli sebagai pemilih sekitar tahun 1980-an kerana borang daftar pemilih dipegang oleh Umno cawangan kampung berkenaan.

Pusat pendidikan

IKHTIAR CARE membantu menubuhkan kelas mengaji mulai tahun 2022 hingga 2024 untuk kemudahan anak qaryah mendalami ilmu mengaji al Quran dan ianya dikendalikan oleh Ustaz Fazli Bidi.

Bahan cetak

Cawangan ini menyimpan Minit Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) tahun 1986, 1991, 1992, 1993, 1994, 1996, 1997, 2005, 2006 dan 2007. Antara lain ada yang dalam bentuk tulis tangan, mesin taip dan tulisan berkomputer.

Terdapat dua Laporan MAT Muslimat termasuk MAT Ke 9 dan Ke 10 manakala Laporan MAT Pemuda 1991, masih tersimpan dengan baik. Laporan MAT lain tidak berada dalam simpanan cawangan ini (mungkin masih ada dalam simpanan ahli di kediaman masing-masing).

Kesimpulan

Kewujudan cawangan ini memberi impak yang tidak kecil kepada pertumbuhan perjuangan PAS khususnya di Kawasan DUN Wakaf Mempelam dan di peringkat kawasan amnya kerana aktivis dari cawangan ini menerajui kepimpinan di peringkat Majlis Tindakan DUN berkenaan dan merupakan antara nadi utama menggerakkan perjuangan parti di DUN tersebut sehingga kini.

SUHAIMI TAIB
Wartawan Khas
PAS Kawasan Kuala Terengganu – HARAKAHDAILY 25/12/2025

- Advertisement -