
KUALA LUMPUR: Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah tidak yakin pemimpin Umno dalam kerajaan untuk melaksanakan ikrar sebelum ini bagi meringankan hukuman dikenakan mantan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abd Razak.
Beliau berkata, hasrat itu juga dilihat gagal dilaksanakan, biarpun seramai 26 ahli parlimen Umno menyatakan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) diketuai Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan hari ini.
Malah menurutnya, tindakan pemimpin Umno dalam kerajaan juga dipersoalkan kerana tidak melaksanakan ikrar tersebut, apatah lagi wujudnya Titah Adendum dikeluarkan oleh keputusan Yang di-Pertuan Agong Ke-XVI.
“Jadi itulah menyebabkan kita tertanya-tanya mengapa ini tidak berlaku dan kita tidak fikir mereka diberi jawatan dan ada jawatan politik hasil kerjasama ini, membelakangkan tanggungjawab kepada rakyat dan parti.
“Mungkin juga, saya tidak tahu tetapi saya tidak fikir itu menjadi perkara utama, namun perkara ini menjadi perbualan sepatutnya diberikan perhatian oleh pimpinan,” katanya dalam sidang media di sini semalam.
Penasihat Umno yang lebih dikenali sebagai Ku Li itu menambah ahli Umno diperingkat akar umbi termasuk Bahagian dan juga Cawangan perlukan melaksanakan gerakan bagi menyatakan bantahan terhadap kepimpinan parti itu.
Malah cadangan tersebut dilihat selari dengan kenyataan Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebelum ini yang meminta agar parti itu wajar membuat pertimbangkan semula hubungannya dengan PH dalam kerajaan sekarang.
“Perkara ini dicakap di merata tempat di seluruh negara dan sepatutnya diberikan perhatian oleh pemimpin Umno sekarang, setidak-tidaknya pimpinan diperingkat Bahagian Umno dan juga Cawangan Umno di seluruh negara.
“Saya harap pihak Bahagian dan Cawangan tidak berdiam diri sepatutnya menzahirkan rasa dukacita atau meluahkan perasaan hampa usaha ini tidak dapat dilaksanakan mungkin kerana pengampunan itu tidak dilaksanakan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib bagi menjalani hukuman penjara enam tahun yang dikurangkan dibawah tahanan rumah dengan alasan tiada peruntukan undang-undang.
Satu permohonan semakan kehakiman difailkan tahun lalu bagi memaksa kerajaan melaksanakan satu adendum diraja, atau perintah tambahan, yang didakwa membolehkan Najib menjalani tahanan rumah. – HARAKAHDAILY 25/12/2025











