MB Perlis letak jawatan atas faktor kesihatan

- Advertisement -

KANGAR: Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli hari ini mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Besar Perlis secara sukarela atas faktor kesihatan yang tidak mengizinkan.

Menurut Mohd Shukri, beliau telah diperkenan menghadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada hari ini bagi menyatakan hasrat tersebut, selain mempersembahkan surat peletakan jawatan secara rasmi kepada Baginda pada tengah hari tadi.

“Saya telah menyatakan hasrat saya untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Perlis secara sukarela atas faktor kesihatan saya yang tidak mengizinkan. Saya dengan ini menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Tuanku untuk mempertimbangkan hasrat saya ini,” katanya.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian dalam satu Sidang Media Khas yang diadakan di Kediaman Rasmi Menteri Besar Perlis, hari ini.

Mohd Shukri turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh warga pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis, penjawat awam serta rakyat Perlis atas kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh pentadbirannya.

“Saya ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada seluruh warga pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis, seluruh warga penjawat awam dan khususnya rakyat Perlis yang telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang pentadbiran saya di negeri bertuah ini,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang.

Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada pucuk pimpinan parti serta seluruh ahli parti yang telah memberikan kepercayaan kepadanya untuk menggalas amanah sebagai Menteri Besar.

Dalam masa yang sama, Mohd Shukri memohon ampun dan maaf kepada semua pihak atas segala kekhilafan dan kekurangan sepanjang tempoh beliau memegang jawatan tersebut.

“Di kesempatan ini, saya ingin memohon ampun dan maaf atas segala kekhilafan dan kekurangan di pihak saya sepanjang saya menggalas amanah yang berat ini,” katanya lagi.

Beliau turut menjunjung kasih kepada Tuanku Raja Perlis, Tuanku Raja Perempuan, Tuanku Raja Muda serta Tuanku Raja Puan Muda kerana memberi peluang kepadanya untuk mentadbir Kerajaan Negeri Perlis sepanjang tempoh tiga tahun yang lalu.

Mohd Shukri menzahirkan doa agar Negeri Perlis terus berada dalam keadaan sejahtera dan diberkati.

“Akhir kalam, semoga Perlis terus sejahtera dan berkat di bawah naungan dan lindungan Allah SWT,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/12/2025

- Advertisement -