BERSATU diharap ambil tindakan tegas ADUN-nya di Perlis

foto BERNAMA
- Advertisement -

PAS telah mengambil tindakan tegas terhadap tiga orang ADUN PAS kerana parti ini tidak bersedia berkompromi dalam soal disiplin jemaah. Walaupun keputusan ini mungkin membawa risiko terhadap kestabilan kerajaan Perlis, PAS berpandangan bahawa prinsip dan integriti parti mesti diutamakan mengatasi kepentingan jangka pendek.

- Advertisement -

Dalam suasana ini, saya menyeru seluruh ahli dan penyokong PAS agar kekal tenang, berdisiplin serta tidak mudah terpengaruh dengan provokasi yang hanya menguntungkan pihak lawan.

Pada masa yang sama, saya berharap, BERSATU turut mengambil tindakan tegas terhadap ADUN mereka yang terlibat menandatangani statutory declaration (SD) sehingga mencetuskan suasana tidak harmoni di Perlis. Tindakan sedemikian penting sebagai tanda hormat kepada rakan komponen dalam Perikatan Nasional (PN) serta bagi memastikan disiplin dan keutuhan gabungan terus terpelihara.

Tindakan ini berdasarkan kepada perbandingan kepada masalah di Nenggiri sebelum ini. BERSATU ketika itu telah menghentikan keahlian YB ADUN Nenggiri kerana menyokong PMX sehingga membuka ruang kepada Pilihan Raya Kecil (PRK), sedangkan tindakan berkenaan berlaku tanpa melibatkan SD. Berbanding dengan Nenggiri, apa yang berlaku di Perlis jauh lebih serius. Ia memberi kesan langsung kepada keutuhan Kerajaan PN.

Sebagai rakan dalam gabungan utama PN, kami yakin BERSATU akan bertindak secara konsisten dan tegas, selaras dengan semangat Akta Anti Lompat Parti serta prinsip amanah kepada mandat rakyat.

PAS sudah melakukan tindakannya demi mendisiplinkan parti, kini saya merasakan  BERSATU wajar melakukan perkara yang sama kepada ADUNnya.

DATO’ SRI TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS
25 Disember 2025 – *HARAKAHDAILY 25/12/2025*

- Advertisement -