Apabila badai menghentam kapal: Nasihat buat petugas PAS

- Advertisement -

DALAM perjalanan sebuah kapal di tengah lautan, badai adalah ujian yang tidak dapat dielakkan. Begitu juga dalam perjalanan gerakan Islam, badai krisis sama ada politik, organisasi, kepimpinan atau persepsi rakyat adalah sunnatullah yang menguji keteguhan iman dan kematangan perjuangan.

Soalnya bukan apakah fizikal kapal akan diuji, tetapi bagaimana nakhoda dan penumpang bertindak ketika ujian itu datang.

1. Bertenang: Ketenangan adalah kekuatan pertama.

Dalam apa jua krisis, panik adalah musuh terbesar kebijaksanaan. Panik melumpuhkan akal, mengeruhkan suasana dan memudahkan musuh mengambil kesempatan. Bagi petugas gerakan Islam, ketenangan bukan tanda kelemahan, tetapi manifestasi iman dan keyakinan kepada janji Allah:

“Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan dengan sabar dan solat. Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.” (al-Baqarah: 153)

Dalam konteks PAS di Malaysia, krisis politik, tekanan kuasa dan permainan persepsi memerlukan pendukung yang berfikiran tenang dingin, bukan reaktif. Ketenangan melahirkan keputusan berprinsip, bukan emosional.

- Advertisement -

2. Patuh kepada nahkoda: Krisis menuntut kesatuan arah.

Di laut bergelora, kapal hanya selamat jika arahnya satu. Jika setiap penumpang mahu menjadi nahkoda, kapal akan hancur sebelum sampai ke darat. Begitulah hakikat organisasi dan jemaah.

Dalam krisis, ketaatan kepada kepimpinan yang sah adalah tuntutan syarie dan strategi.
Perbezaan pandangan boleh dibincang melalui saluran yang betul, bukan dipertontonkan di medan awam sehingga melemahkan jemaah.
PAS sebagai gerakan Islam bukan milik individu atau kelompok, tetapi amanah perjuangan yang diwarisi dari ulama dan pejuang terdahulu. Kesatuan kepimpinan adalah perisai ketika badai menerjah.

3. Jangan merosakkan kapal: Membezakan islah dan peruntuhan.

Dalam kepanikan, ada yang menyangka menebuk lantai atau merosakkan layar dapat menyelamatkan diri. Hakikatnya, tindakan itu menenggelamkan semua.

Menegur itu wajib dan mengkritik itu harus tetapi meruntuhkan sistem ketika krisis atas nama keberanian atau kejujuran adalah satu kezaliman terhadap jamaah dan rakyat yang bergantung harap.

Dalam konteks PAS, segala usaha islah mesti dilakukan dengan hikmah, adab dan kesetiaan kepada jamaah, bukan dengan melemahkan institusi yang sedang diuji.

4. Setiap orang ada peranan: Solidariti dan kesatuan mengatasi ego.

Tidak semua mampu mengemudi kapal, tetapi semua boleh menyumbang dan berperanan, ada yang mengikat tali, ada yang mencedok air, ada yang menenangkan kanak-kanak dan orang tua.

Dalam gerakan Islam, semua amal yang kecil dan besar mempunyai nilai jika dilakukan dengan ikhlas. Krisis tidak memerlukan hero individu, tetapi kerja berpasukan yang tersusun.

Sejarah perjuangan PAS di Malaysia membuktikan, kejayaan datang apabila akar umbi, anggota bawahan, pimpinan atasan dan jentera bergerak seiring, bukan saling menyalahkan.

5. Antara ikhtiar dan tawakal: Dua sayap keselamatan.

Ikhtiar tanpa tawakal melahirkan keangkuhan. Tawakal tanpa ikhtiar melahirkan kelemahan. “Dialah yang menjalankan kapal-kapal di laut untuk kamu…” (Yunus: 22)

Gerakan Islam dituntut bekerja dengan strategi, disiplin dan perancangan dalam masa yang sama menyerahkan natijah kepada Allah. Kejayaan bukan diukur dengan kuasa semata-mata, tetapi dengan kebenaran jalan yang ditempuh.

6. Yakinlah badai tidak kekal: Yang menenggelamkan ialah perpecahan.

Tidak ada badai yang kekal. Namun sejarah membuktikan, banyak kapal tenggelam bukan kerana ribut, tetapi kerana hilang arah, runtuh disiplin, pecah kesatuan.

Begitu juga jemaah dan organisasi. Selagi prinsip dijaga, saf dirapatkan dan adab dipelihara, ujian hanyalah proses pematangan, bukan pengakhiran.

Intipati hikmah

Apabila kapal diuji, bukan masanya mencari salah, tetapi masanya menyelamatkan semua.
Inilah nasihat buat petugas gerakan Islam PAS, kekal tenang, setia pada jamaah, teguh berprinsip, dan yakin bahawa pertolongan Allah datang bersama kesabaran dan kesatuan.

Al-fakir Ilallah,

TS DR MOHD SUFFIAN HAJI YUSOFF
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah
ADUN Bandar Baharu
Fellow Yayasan Strategik Lestari
Fellow Yayasan Kedah Sejahtera – HARAKAHDAILY 26/12/2025

- Advertisement -