
HARI INI jika hendak memilih pemimpin, rakyat kena berilmu, banyak membaca makalah berkaitan politik, kepimpinan, pengurusan, perlu berpandangan luas dan jauh, adil serta halus dalam pertimbangan, ada refleksi mengenai sejarah lalu dan perkembangan peradaban manusia sedunia supaya kita tidak mudah tertipu atau sewenangnya menipu jika hendak jadi pemimpin.
Jika anda membaca atau terbaca naskhah sains politik hasil tulisan Sergey Guriyev, seorang ahli ekonomi Rusia dan Daniel Treisman, seorang ahli sains politik dari Amerika bertajuk ‘Spin Dictators: The Changing Face of Tyranny in the 21st Century,’ diterbitkan pada 2022, pasti menarik bila apa yang cuba dihuraikan mereka dapat kita bandingkan dengan senario politik di dalam negara.
Buku ini menilai bagaimana diktator and autokrat moden yang dipelopori oleh mendiang Lee Kuan Yew dari Singapura dan Alberto Fujimori dari Peru digunapakai oleh pemimpin kini seperti Putin di Rusia, Viktor Orbán di Hungary, malah Tayyip Erdoğan di Turkey atau Turkeye sekarang, juga tidak terkecuali. Ringkasnya, kaedah kejam lagi brutal untuk memberi tekanan politik sebagaimana yang digunakan oleh Hitler pada era Nazi Jerman, Stalin pada era Soviet Union dan Mao di China tidak lagi menjadi pilihan sebaliknya berubah kepada pendekatan yang fokus kepada kaedah propaganda seperti ‘spin’, maklumat palsu atau tidak tepat dan menakut atau imagokrasi iaitu merungsingkan rakyat secara psikologi terhadap sesuatu perkara seperti rasuah, ekstremisma agama, radikalisma, rasisma dan lain-lain.
Walaupun personaliti dan pendekatan para diktator dan autokrat ini mungkin berbeza namun mereka tetap punya persamaan dari segi kaedah dan sifat atau ‘common traits and tactics’ yang berkaitan dengan pengukuhan dan mempertahan jangka hayat kuasa mereka, tekanan terhadap pembangkang, menanam dan menyuburkan imej mereka di kalangan rakyat.
Apakah ‘psychological trait’ yang dikongsi mereka? Yang pertama ialah narsisisma iaitu sifat dengan rasa cinta dan kekaguman berlebihan pada diri sendiri, terlalu pentingkan diri dan kurangnya empati terhadap orang lain. Orang yang punyai sifat ini juga merasa dirinya adalah superior dan sentiasa dahagakan pujian terus-menerus untuk menutupi rasa tidak percaya pada kekurangan dirinya yang sebenar. Sifat ini biasanya diiring dengan megalomania, iaitu keyakinan diri yang berlebihan mengenai kebesaran, kekuasaan, atau kepentingan diri yang sebenarnya tidak berasas. Individu yang punyai sifat ini mungkin memiliki khayalan mengenai kejayaan tanpa sempadan, rasa berhak yang tinggi, dialah terpaling boleh dan terpaling hero sehingga ketagih kepada kekuasaan penuh. Mereka selalunya menghadirkan diri mereka sebagai individu yang tidak mudah untuk dijatuhkan, figura yang sangat berkuasa sehingga ‘disembah’ oleh pengikutnya.
Seorang diktator tidak boleh lari dari sifat paranoia, iaitu ketidakpercayaan dan kecurigaan yang tidak berasas atau beralasan terhadap orang lain, yang sering kali disertai dengan perasaan bahawa orang lain ingin menyakiti atau mengancam dirinya, kedudukan dan jawatannya. Akhirnya senarai musuh sangkaannya bertambah panjang termasuk penasihat dan rakan sekutu rapat mereka sendiri. Selain dari itu, mereka juga kurang empati di mana musuh politik mereka atau sesiapa yang punya pandangan berbeza akan ditekan, disingkir, difitnah, dimalukan, didakwa melalui saluran undang-undang, pembunuhan karakter sehingga yang terpaling buruk, benar-benar dibunuh. Ini ditambah pula dengan sifat rasa tidak selamat atau ‘insecurity’. Untuk mengatasinya individu ini akan menokok nambah imejnya di hadapan rakyat seperti harta atau pendapatan yang berlebihan untuk dikongsi untuk menutupi sifat tamak dan rasa tidak cukup yang sebenar. Joseph Stalin sebagai contoh, mengalami masalah kompleksiti inferior tetapi mempamerkan dirinya sebagai serba boleh dan ‘Man of Steel’ di dalam media massa Soviet Union di zaman pemerintahannya dahulu.
Selain memiliki sifat yang sama, para diktator dan autokrat ini juga memiliki kaedah mengawal rakyat yang sama antaranya represi, iaitu tekanan terhadap pengalaman ingatan, emosi, atau perasaan melalui pendakwaan undang-undang tanpa bukti kukuh, tangkapan dan lain-lain. Akan wujud juga intimidasi berupa perbuatan atau tingkah laku yang menakut-nakuti, mengugut, atau membuat para penentang berasa tidak selesa, tertekan, atau takut untuk terus memainkan peranan mereka. Ini boleh dilakukan secara langsung atau tidak langsung melalui ancaman fizikal atau psikologi seperti diletakkan di bawah intipan pihak polis atau kawalan, pintasan dan rakaman terhadap peralatan komunikasi contohnya.
Kawalan terhadap rakyat juga boleh dicapai para diktator ini melalui kultus personaliti di mana mereka akan membina satu imej personaliti melalui media yang dikawal pemerintah yang menggambarkan naratif palsu mengenai kesucian, keikhlasan, kesempurnaan dan kesungguhan mereka. Potret, papan tanda, iklan, poster dan berita diguna sebagai alat propaganda secara meluas untuk menaikkan status mereka ke tahap pendewaan. Tidak cukup dengan itu mereka juga akan melakukan kawalan ketat terhadap segala informasi. Mereka akan berusaha untuk menapis malah memusnahkan media bebas dengan memberi tumpuan kepada media kerajaan atau swasta tetapi dikuasai pemerintah untuk tujuan propaganda dan indoktrinasi rakyat. Dalam abad ini, mereka sanggup mengawal dan menapis kandungan internet dan media sosial.
Para diktator dan autokrat ini juga tanpa segan dan silu secara sistematik akan mengguna dan memanipulasi peranan institusi negara seperti badan kehakiman, perundangan dan penguatkuasaan. Ini akan memberi akses kepada mereka untuk berkuasa dengan impuniti, kebal daripada hukuman atau terlepas daripada kesalahan yang telah dilakukan sebaliknya membenarkan ‘reward’, penghargaan atau manfaat khusus diberikan kepada penyokong setia mereka tanpa batasan. Untuk mengalih perhatian rakyat kepada kegagalan mereka, diktator dan autokrat ini sering akan menyalahkan kumpulan tertentu terutama penentangnya sebagai kambing hitam, musuh, anasir dan faktor dari luar negara sebagai penyebab di samping memanipulasi sifat nasionalisma sebagai topeng bagi menjawab tuduhan dan isu kesetian terhadap negara oleh rakyat.
Bagaimana pula mereka boleh mengekal kuasa? Paling kerap adalah dengan cara memanipulasi dan rasuah di mana para diktator akan menggunakan rasuah dan ‘coercion’ iaitu pemaksaan, yang merupakan tindakan memaksa seseorang melakukan sesuatu yang tidak mahu mereka lakukan melalui ugutan, kekerasan, atau intimidasi. Dengan mengayakan pengikutnya, mereka akan memastikan semua pemain penyokong utama mereka mempunyai minat dan pelaburan terhadap kejayaan seseorang diktator.
Di dalam dunia dan sistem demokrasi palsu, para diktator akan mengawal proses pengundian melalui pilihan raya. Diktator moden akan membenar malah terlibat aktif di dalam sistem demokrasi ini, tetapi melalui manipulasi dan kawalan seperti hak mengundi, fitnah, intimidasi dan penipuan. Pseudo-demokrasi pemilihan melalui peti undi terancang akan memberikan satu lapisan legitimasi untuk membenarkan mereka terus berkuasa. Di samping itu, mereka juga akan menyekat atau menghapuskan ahli atau penyokong bawahan yang punya cita-cita tinggi untuk mengelakkan keabsahan mereka sebagai pemimpin, dicabar. Oleh demikian, mereka hanya akan melantik individu penyokong yang sentiasa taat dan patuh kepada arahan sahaja sebagai timbalan berbanding mereka yang benar-benar berbakat dan berkelayakan di dalam pengurusan, pentadbiran dan kepimpinan.
Akhirnya, para diktator akan mengawal tentera dan polis. Ini boleh dilihat jika seseorang pemimpin itu memberi bajet yang terlalu besar di dalam aspek ketenteraan dan pertahanan berbanding keperluan lain negara dan rakyat, Mereka akan mengambil terlalu ramai anggota tentera dan polis yang tidak seiring dengan keperluan rakyat sebaliknya lebih sebagai cara intimidasi. Mujurlah perlembagaan negara kita telah meletakkan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Turus Angkatan Tentera negara di mana dapat mencegah penyalahgunaan kuasa oleh pemerintah melalui kuasa ketenteraan. Mungkin itu juga adalah salah satu faktor besar menyumbang kepada kestabilan negara sehingga kini selain sistem Raja Berperlembagaan.
Treisman dan Guriyev di dalam buku mereka menyimpulkan bahwa di peringkat antarabangsa, terutamanya di dunia Barat kini masih terhubung melalui pelbagai jaringan kapilari dengan kediktatoran kerana ia sebahagian dari eko-sistem politik hidup manusia dulu dan kini. Mereka mencadangkan agar sistem ini diperbaiki dan menjadi lebih sihat dan lebih berkesan terutamanya dengan sistem hidup kebaratan. ‘Spin dictators’ seperti yang digelarkan para penulis tersebut mungkin mendapat mandat rakyat, tetapi bukan kepercayaan dunia khususnya Barat. Walaupun dikatakan ‘spin dictators’ ini hidup dalam dunia yang ‘cynicism’ and ‘relativism’ tetapi mereka kadang-kadang mampu mencapai sesuatu yang gagal dicapai Barat iaitu kesatuan terhadap idea demokrasi liberal walaupun tercemar! Menyedari hakikat sistem demokrasi sebenar juga bermasalah di mana Presiden Trump lahir darinya, mereka berpandangan, “That spin dictators pretend to be democrats proves they have no vision to offer. But the only way to defeat an idea is with a better idea, and they do not have one”, tulis mereka.
Bagi penulis sendiri pula, segala sistem manusia akan gagal dan melahirkan negara, rakyat dan masyarakat yang gagal sekiranya tidak berpandukan kepada keimanan dan perintah Tuhan. Adalah lebih teruk jika kita memilih pemimpin yang mengamalkan apa yang beliau mengenai sebelum menjadi pemimpin seperti rasuah, kronisma, nepotisma dan lain-lain. Itu sudah pasti menjadi suatu pembohongan paling besar terhadap amanah dari rakyat. Apa pun, buku ‘Spin Dictators: The Changing Face of Tyranny in the 21st Century’ bolehlah dijadikan panduan tambahan untuk memilih pemimpin sekarang dan pada masa akan datang. Adakah anda mahu ‘spin dictator’ menerajui negara kita?
YB HAJI BAKRI JAMALUDDIN
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Ahli Parlimen Tangga Batu
Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka – HARAKAHDAILY 24/12/2025











