Unity Blood erat perpaduan kalangan rakyat Malaysia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Program Unity Blood yang dianjurkan oleh Pertubuhan Perpaduan Anak Muda Malaysia terus menjadi simbol kukuh perpaduan nasional apabila menghimpunkan rakyat pelbagai kaum dan agama dalam satu misi kemanusiaan, iaitu menyumbang darah kepada insan-insan memerlukan.

- Advertisement -

Program ini merupakan hasil kerjasama erat antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Muslim dan bukan-Muslim, sekali gus mencerminkan semangat muhibah serta kesatuan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

Pelaksanaannya membuktikan bahawa nilai kemanusiaan mampu menyatukan masyarakat tanpa mengira latar belakang agama, bangsa atau fahaman politik.

Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pemuda PAS Malaysia, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata, program seumpama ini wajar diteruskan dan diperkasakan pada masa hadapan demi memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Program Unity Blood bukan sahaja membantu mereka yang memerlukan bekalan darah, malah menjadi platform penting untuk menyemai nilai kesatuan, saling memahami dan hormat-menghormati antara masyarakat majmuk di negara ini,” katanya.

Menurut beliau, penganjuran program tersebut turut memperlihatkan sifat rakyat Malaysia yang prihatin, penyayang dan sentiasa bersimpati terhadap golongan memerlukan, selain sanggup mengenepikan perbezaan pandangan politik demi menjaga keharmonian kaum dan kestabilan negara.

Program ini mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai dan menjadi bukti bahawa semangat perpaduan masih kukuh dalam kalangan rakyat Malaysia apabila digerakkan atas dasar kemanusiaan dan kebajikan bersama.

“Semoga hubungan majmuk rakyat Malaysia terus dipelihara dan diperkukuhkan agar keamanan, keharmonian serta perpaduan negara kekal terjamin untuk generasi akan datang,” ujar Mohd Fadhli. – *HARAKAHDAILY 24/12/2025*

- Advertisement -