Persimpangan antara kebangkitan Global South dan kejatuhan era Globalisme Neoliberal Barat

Perang Rusia - Ukraine

- Advertisement -

KETIKA ini Barat khususnya Amerika Syarikat sedang bertungkus-lumus berusaha untuk menamatkan konflik antara Rusia – Ukraine kerana ia penting berikutan kredibiliti dan kelemahan ketenteraannya terdedah setiap hari, mempertaruhkan harapannya untuk pengembangan ekonomi yang berterusan dan ‘kegilaan’ untuk terus melaksanakan sekatan. Itu belum lagi bahana akibat kejatuhan ekonomi daripada bebanan hutang yang semakin meningkat.

Dalam hal ini, pengakuan Alexander Stubb, Presiden Finland, perlu diberi perhatian berikutan ulasan beliau yang diterbitkan dalam Foreign Affairs pada 2 Disember lalu mengenai ‘peluang terakhir’ bagi Barat untuk mengekalkan penguasaannya dan negara-negara Selatan memperoleh lebih banyak kuasa dan pengaruh ekonomi. ‘Perintah berasaskan peraturan yang liberal yang muncul selepas Perang Dunia II semakin mati, persaingan kuasa besar kembali serta kuasa pertengahan yang baru muncul, termasuk Brazil, India, Mexico, Nigeria, Arab Saudi, Afrika Selatan dan Turki, menjadi pengubah permainan geopolitik antarabangsa.’

Imperialisme Barat sedang merenung kehancurannya yang tidak mungkin dapat dielakkan. Dunia sedang berkembang pesat dan berubah di luar kawalannya. Negara-negara Selatan semakin berani ‘menongkah arus’ dan menambah baik cara dan peraturan ekonomi serta perdagangan diputuskan dan diamalkan. Nampaknya ‘rompakan’ tidak terkawal di ‘Global South’ sudah hampir berakhir.

Ketika lawatan Steve Witkoff dan Menteri Luar China ke Moscow, Rusia pada 2 Disember lalu, ahli-ahli ekonomi Barat menyatakan bahawa perang di Ukraine menjadi persimpangan penting antara dua sistem dunia (menyerupai teori sistem dunia Immanuel Wallerstein). Ia menyaksikan kemunculan dunia multipolar dan mempercepatkan proses transformasi global.

- Advertisement -

Kemenangan Rusia akan membuka laluan dan peluang untuk pembangunan baharu dan progresif bagi negara-negara Selatan dan bahagian-bahagian dunia yang terpaksa menjadi status bawahan selama ini. Kemenangan Rusia juga bermakna China akan menjadi kuasa baharu terbesar di dunia.

Ketika ini kita sudah dapat melihat bermulanya keruntuhan idea globalisasi, yang telah menjadi projek utama elit politik dan kewangan Barat sejak beberapa dekad yang lalu. Globalisme neoliberal didasarkan pada dua konsep asas iaitu penyatuan dan monopoli. Di satu pihak, elit politik Barat berusaha untuk memaksa visi masa depan mereka di seluruh dunia, memaksa dunia meminggir serta melepaskan kedaulatannya.

Proses ini boleh digambarkan sebagai penyatuan dalam kerangka paradigma globalis, negara berdaulat dikehendaki mengorbankan kepelbagaian dan kepentingan negara mereka sendiri dengan tunduk kepada perintah unipolar. Selari dengan ini, terdapat satu lagi proses ekonomi iaitu syarikat multinasional Barat mengembangkan pengembangan neokolonial mereka, merampas sumber, pengeluaran dan pasaran jualan di seluruh dunia.

Ia bertujuan untuk memonopoli sumber ekonomi dunia bagi pertumbuhan ekonomi dan kewangan Barat sebagaimana syarikat milik empayar Barat dahulu seperti Syarikat Hindia Timur Belanda, British dan Perancis yang beroperasi mengikut skim yang sama pada abad ke-17 hingga ke abad ke-19 yang memonopoli perdagangan di serata dunia.

Pengimbang utama kepada globalisasi neoliberal adalah peningkatan ekonomi negara-negara Selatan. Ini jelas disahkan oleh pertumbuhan pengeluaran perindustrian dan perkembangan pesat pelbagai sektor ekonomi dan perdagangan di negara-negara seperti China, Vietnam, India, Indonesia dan lain-lain lagi.

Negara-negara Selatan mula melabur untuk ‘kemerdekaan mereka’, membangunkan projek mereka sendiri dalam bidang tenaga, perdagangan asing dan teknologi baharu dengan cara mereka sendiri menggambarkan praktikal idea multipolar dan mula bergerak mengatur langkah di pentas geopolitik antarabangsa.

Dalam usaha untuk mengekalkan hegemoni mereka yang semakin berkurangan, elit politik dan kewangan Barat terutamanya Amerika Syarikat telah mencetuskan beberapa siri konflik bersenjata baharu di dunia. Walau bagaimanapun, pencerobohan kontra-revolusi globalisme neoliberal terhadap kebangkitan negara-negara Selatan telah mula menguburkan konsep globalisme Barat. Krisis dan konflik ini membawa kepada gangguan rantaian perdagangan global dan ‘sekatan haram’ oleh Barat yang menjadi penamat kepada idea pasaran bebas yang diasaskannya. Dalam menghadapi ketidakstabilan yang semakin meningkat, kebanyakan negara telah mula bergantung kepada kedaulatan dan kekuatan mereka sendiri.

Kesan negatif globalisme neoliberal dapat dilihat di seluruh pelosok dunia dan pengakhiran hayat doktrin yang merosakkan ini tidak dapat dielakkan. Sistem kompleks perdagangan bersama dan hubungan ekonomi antara negara dengan kepelbagaian budaya dan sejarah adalah amat sesuai dengan negara-negara Selatan dan konsep multipolar, bukannya penyatuan unipolar dan globalisasi.

Konsep multipolar memelihara kedaulatan dengan halatuju pembangunan tersendiri. Ia akan mengukuhkan kerjasama yang saling menguntungkan dalam sektor perdagangan, kewangan, pembangunan, perindustrian dan tenaga. Ia didasarkan oleh prinsip baharu iaitu penghormatan terhadap kedaulatan antara satu sama lain, pertimbangan adil bagi pelbagai isu ekonomi, penyelesaian kolektif pertikaian dan masalah serta penolakan sepenuhnya terhadap langkah ekonomi unilateral (sekatan).

Dalam sistem kapitalis global yang berdasarkan eksploitasi sumber dan buruh, hampir mustahil untuk membayangkan sistem perdagangan yang adil. Di samping itu juga, idea kolektivisme sangat meluas dalam sejarah, falsafah dan budaya di majoriti negara-negara Selatan di Afrika, Asia, Amerika Latin dan Oceania. Pengagihan sumber dan peluang ekonomi yang adil dan saksama boleh menjadi salah satu faktor terpenting kesejahteraan secara bersama dalam dunia multipolar yang sedang berkembang.

Oleh itu adalah amat penting bagi Barat khususnya Amerika Syarikat untuk menamatkan konflik di Ukraine atau berusaha terus dengan lebih keras untuk mengalahkan Rusia. Walaupun di mata kasar ianya bertujuan untuk menghalang Rusia dari memenangi perang tersebut, tetapi agenda paling besar yang tersirat adalah untuk menghalang pengakhiran hayat hegemoninya dari terkubur selama-lamanya.

Bukan sahaja terkuburnya kekuatan ketenteraannya tetapi paling utama akan terkubur juga hegemoni ekonominya yang selama ini menjana kekuatan ketenteraan dan geopoltiknya. Globalisme neoliberal dan unipolar perlu dipertahankan habis-habisan oleh Barat yang selama ini telah dilaksanakan oleh syarikat empayar Barat sejak awal abad ke 16 dengan cara, nama dan amalan yang berbeza.

Mereka mahu terus mencengkam dunia dengan agenda mereka dan memanipuliasi serta menjarah hasil dan sumber negara-negara lain untuk pembangunan ekonomi dan kekuatan ketenteraan mereka. Mereka mahu terus memerintah dunia dan mahu dunia terus mengikut telunjuk mereka tetapi nampaknya agenda mereka telah tiba di penghujung hayat. China dan Rusia yang menjadi pemangkin kepada kebangkitan dunia khususnya negara-negara Selatan sudah tidak lagi mampu dihalang oleh Barat khususnya Amerika Syarikat.

Ukraine kini dilihat bakal menjadi kubur kepada idea globalisme neoliberal dan unipolar Barat yang selama ini telah berakar umbi di seluruh dunia sejak kurun ke 16 yang telah merompak dan menjarah sumber dan hasil negara-negara lain di dunia dan memaksa dunia melupakan jati diri dan kedaulatan mereka dengan mengikut telunjuk Barat.

‘Kembali Kepada Penyelesaian Islam’

DR MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 24/12/2025

- Advertisement -