
TEMERLOH: Penduduk Kampung Teris, Lancang berdepan kesukaran apabila masalah gangguan bekalan air bersih dilaporkan berlarutan lebih 12 hari sehingga menjejaskan keperluan asas dan urusan harian mereka.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Lancang, Hassan Omar berkata, beliau telah meninjau sendiri kawasan terjejas bagi mendapatkan gambaran sebenar situasi yang dihadapi penduduk setempat di sini, semalam. (Foto atas)
Menurutnya, ketiadaan bekalan air bersih dalam tempoh yang panjang memberi kesan besar, khususnya kepada warga emas, kanak-kanak dan keluarga yang terkesan.
“Keadaan ini amat membebankan penduduk kerana mereka terpaksa bergantung kepada sumber air alternatif untuk kegunaan harian,” katanya.
Sehubungan itu, beliau telah menghubungi pihak Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) Temerloh bagi memohon tindakan segera diambil bagi menangani masalah berkenaan.
Beliau berkata, susulan aduan tersebut, PAIP Temerloh telah mengambil tindakan awal bagi membantu penduduk yang terjejas.
“Beberapa buah rumah penduduk telah mula menerima bekalan air, sama ada melalui sambungan paip seperti biasa atau penyaluran sementara menggunakan lori tangki,” ujarnya.
Tambahnya, pemantauan akan diteruskan dan pihaknya akan terus berhubung dengan PAIP bagi memastikan permasalahan gangguan bekalan air itu dapat diselesaikan sepenuhnya dalam tempoh terdekat.
“Alhamdulillah saya dimaklumkan penduduk telah pun menerima bekalan air, terima kasih diucapkan kepada pihak PAIP Temerloh yang telah mengambil tindakan segera masalah yang berlaku di kampung Teris,” katanya lagi.– HARAKAHDAILY 23/12/2025











