Kerajaan Madani gagal junjung Titah Adendum YDPA

- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Malaysia (DPPM) berpandangan bahawa keputusan Mahkamah Tinggi mengenai Titah Adendum terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak (DNSR) menyerlahkan lagi kegagalan Kerajaan Madani dalam menjunjung tinggi Titah Yang Di-Pertuan Agong (YDPA). Malah, ia juga menggambarkan bagaimana kealpaan dan kesilapan yang sangat serius oleh Kerajaan Persekutuan dalam menguruskan Titah berkenaan supaya melalui prosedur perundangan yang betul.

- Advertisement -

DPPM ingin menegaskan bahawa asas utama dalam isu ini adalah mengenai menjunjung tinggi Titah Adendum YDPA serta prinsip integriti dan keterbukaan Kerajaan bagi memastikan Titah berkenaan dijunjung tinggi. Isu ini sama sekali tidak menyentuh mengenai sama ada DSNR bersalah ataupun tidak seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Keputusan Mahkamah Tinggi ini membangkitkan persoalan mengenai sejauhmana integriti Peguam Negara yang didakwa menyembunyikan Titah berkenaan. Apatah lagi, dakwaan kewujudan Titah Adendum berkenaan telah diakui sendiri oleh Peguam Negara ketika perbicaraan di peringkat Mahkamah Persekutuan sebelum ini.

Justeru, tanda soal di sini adalah mengapa ia seolah-olah sengaja disorokkan serta tidak dibentangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang berlangsung ketika itu? Ini masalah integriti yang serius, apatah lagi Kerajaan Madani sebelum ini sekadar menepis dakwaan kewujudan Titah tersebut sebagai suatu ‘hearsay’.

DPPM berpandangan bahawa meskipun kita berbeza pandangan dari sudut kesalahan dan hukuman terhadap DSNR, namun dalam masa yang sama kita tidak boleh menganggap remeh Titah YDPA. Ia suatu isu yang serius dan memberikan gambaran tindakan yang tidak bertanggungjawab oleh Kerajaan Madani dalam menguruskan kes ini.

Tambahan lagi, hantaran media sosial oleh Ahli Parlimen Puchong sejurus keputusan Mahkamah Tinggi mencetuskan spekulasi dan ketidaktenteraman dalam kalangan masyarakat awam. Ini kerana pokoknya kes ini adalah melibatkan soal keabsahan proses pengampunan, kedudukan institusi Raja Berperlembagaan serta keyakinan rakyat terhadap tatakelola Kerajaan Madani yang semakin menipis.

Bagaimana perkara sebesar ini sekadar menjadi bahan gurauan politik Ahli Parlimen DAP? Mengapa Ahli Parlimen DAP tidak sensitif dengan isu-isu sebegini atau mereka gagal menilai dengan tepat kegagalan Kerajaan yang dipimpin mereka sendiri di sebalik penghakiman tersebut?

DPPM berpandangan isu ini akan menambah lagi defisit keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Madani. Ia mencerminkan kegagalan Kerajaan dalam menjunjung tinggi Titah YDPA, bahkan menjadi persoalan besar terhadap prinsip integriti serta transparensi yang didukung Kerajaan Madani hari ini.

YB AFNAN HAMIMI DATO’ TAIB AZAMUDDEN
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ahli Parlimen Alor Setar – HARAKAHDAILY 23/12/2025

- Advertisement -