
KANGAR: Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli kini sedang berada di sebuah hospital di Ibu Negara bagi pemeriksaan lanjut setelah mengadu mengalami sakit dada sejurus kembali daripada urusan luar negara.
Setiausaha Akhbar Menteri Besar Perlis, Mohamad Azreen Jumri memaklumkan perkara tersebut dalam satu kenyataan media ringkas Pejabat Menteri Besar Perlis sebentar tadi.
“Setakat ini, keadaan beliau stabil dan mohon semua rakyat Perlis mendoakan agar beliau sihat sejahtera dan dilindungi Allah SWT daripada sebarang musibah,” ujarnya.
Mohd Shukri terdahulu difahamkan hadir ke Karnival Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) di penganjuran Shanghai, China dalam inisiatif menarik pelaburan dan memperkukuh daya saing perusahaan tempatan.
MIHAS juga menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan ekonomi dua hala antara Malaysia dan Republik Rakyat China, khususnya dalam memperluas jaringan serta akses pasaran halal di peringkat global. – HARAKAHDAILY 22/12/2025











