
SEHARI dua ni kecoh isu gelaran ‘Dr’ yang digunapakai oleh Taufiq Johari Menteri Belia dan Sukan tidak sah dan juga dia tak sepatutnya amal perubatan dalam negara.
Cerita dia macam ni, ada orang check dan dapati nama Taufiq Johari dalam laman web Malaysian Medical Council (MMC) tak ada. Jadi timbul persoalan gelaran Dr yang dia guna.
Kemudian ada penyokong Madani yang kongsikan sijil perubatan Taufiq Johari. Maka kita tahulah yang Taufiq Johari ni belajar perubatan dekat Universitas Islam Bandung.
Malah mereka berhujah beza ada sijil perubatan dan kelayakan amalkan perubatan. Dia nak kata Taufiq Johari tak layak amal perubatan sebab tak daftar MMC, tapi layak guna title ‘Dr’ sebab dia ada sijil ijazah perubatan.
Okey yang pertama,
Sijil perubatan dia dikeluarkan oleh Universitas Islam Bandung. Untuk makluman, Universitas Islam Bandung adalah sebuah universiti yang tidak diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia. Aku dah buat semakan melalui MQA (e-sisraf) dan juga MMC.
Jadi kalau dah MQA dan MMC pun tak iktiraf, adakah sijil perubatan Taufiq Johari boleh digunapakai dalam negara? jawapannya tidak.
Bila sijil kau tak diiktiraf dan tak boleh digunapakai maka gelaran ‘Dr’ juga tidak boleh digunapakai. Simple as that.
Kedua amalan perubatan dia,
Selepas tamat belajar dia bekerja seperti berikut;
Pegawai Seranta, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Sungai Petani – 2022
General Practitioner, Klinik Dr Hadi – 2022
Internship Program, Hospital Al-Ihsan – 2021
General Doctor, Emergency Department, Hospital Dr. Slamet Garut – 2020
Dia hanya amalkan perubatan di Indonesia kecuali Klinik Dr Hadi Sungai Petani. Bab Klinik Dr Hadi Sungai Petani ni jadi isu besar. Sebab ianya adalah kesalahan undang-undang dan bercanggah dengan Akta Perubatan 1971 Seksyen 20(7).
Akta ini menetapkan bahawa mana-mana individu yang ingin mengamalkan perubatan moden sebagai doktor mesti berdaftar dengan Malaysian Medical Council (MMC) dan mempunyai Annual Practising Certificate (APC) yang sah.
Taufiq Johari tidak pernah mendaftarkan diri dia dengan MMC. Dia tiada APC yang sah. Maka dia tidak boleh mengamalkan perubatan dalam negara.
Malah ada pihak yang pernah amalkan perubatan secara tak sah pernah didakwa di mahkamah dan didenda RM8,000. Kalau Taufiq Johari pun kena macam ni, dia akan hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen dan seterusnya hilang kelayakan sebagai Menteri.
Haa, jadi Menteri paling singkat dalam sejarahlah kut.
Ada penyokong PKR cuba nak pusing kata dia tak pernah kata dia jadi doktor dalam negara. Eh, yang cakap ni website PKR lah. Takkan PKR nak tipu latar belakang calon dia? Malah cerita dia kerja kat Klinik Dr Hadi ni dilaporkan oleh media, masa pilihan raya.
Jadi nak selesaikan pertikaian ni, eloklah buat laporan polis ke atas Taufiq Johari sebab amalkan perubatan dalam negara tanpa sijil APC sah.
Jadi kesimpulan isu ni,
Taufiq Johari tiada sijil perubatan yang diiktiraf negara. Maka tidak boleh menggunakan title ‘Dr’.
Taufiq Johari tidak mendaftar diri dengan MMC dan tiada APC yang sah. Maka dia tak boleh mengamalkan perubatan dalam negara kita.
Sejak isu ni tersebar, Taufiq johari terus senyap sehingga ke hari ini. Taufiq Johari perlu tampil dan berikan jawapan. Kalau ya kata ya, kalau tidak kata tidak.
Sebagai Menteri Belia dan Sukan, tunjukkan integriti anda kepada anak muda dan belia.
Senyap seribu bahasa, tak akan menutup isu ni wahai Menteri.
Salam hormat,
IR TS DR NURUL ISLAM MOHAMED YUSOFF
Setiausaha
Lajnah Penerangan PAS Pusat – HARAKAHDAILY 21/12/2025











