KM Maran terus komited bantu mangsa banjir

- Advertisement -

MARAN: Ahli Dewan Negeri (ADN) Luit, Dato’ Mohd Sofian Abdul Jalil merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada anggota Khidmat Malaysia (KM) Maran atas komitmen dan kesungguhan membantu mangsa banjir menerusi operasi mencuci rumah yang terjejas di Taman Maran Jaya, di sini hari ini.

- Advertisement -

Beliau berkata, usaha sukarela yang digerakkan oleh KM amat bermakna dalam meringankan beban penduduk yang terkesan akibat banjir, khususnya dalam fasa pembersihan pascabanjir yang memerlukan tenaga dan sokongan berterusan.

Menurutnya, anggota KM telah melaksanakan kerja-kerja mengepam air ke dalam tangki bagi tujuan operasi mencuci rumah mangsa banjir yang terjejas akibat kejadian banjir baru-baru ini.

“Beberapa buah rumah di kawasan berkenaan memerlukan kerja pembersihan menyeluruh selepas air banjir surut, dan kehadiran pasukan sukarelawan amat membantu mempercepatkan proses pemulihan.

“Keadaan cuaca cerah dan suasana kembali tenang turut memudahkan operasi bantuan ini dilaksanakan dengan lebih lancar,” ujarnya dalam hantaran melalui laman sosialnya, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Sofian berkata, KM Maran akan terus komited membantu mangsa banjir sehingga kerja-kerja pembersihan selesai sepenuhnya, selaras dengan semangat kebersamaan dan keprihatinan terhadap masyarakat yang terkesan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Polis Pahang, Datuk Yahya Othman yang menyantuni mangsa banjir di Maran, sekali gus mencerminkan kerjasama pelbagai pihak dalam membantu rakyat menghadapi musibah. – HARAKAHDAILY 18/12/2025

- Advertisement -