
Antisemitisme atau anti-Semitis dan variasi ejaan antisemetik dan anti-Semitik merupakan suatu sikap permusuhan atau persepsi terhadap kaum Yahudi. Istilah anti-Semitisme sentiasa dipermainkan dalam konflik atau golongan yang mengkritik Israel yang bertujuan untuk membendung kecaman kepada Israel.
Konsep “Semitik” suatu istilah linguistik yang merujuk kepada subkeluarga bahasa Afro-Asia Timur Tengah, iaitu bahasa Semitik berkaitan asal usul, budaya dan bahasa Ibarni purba yang dipercayai salsilah Shem, iaitu musuh adik-beradik disumpahnya Ham. Manakala Semiotik pula suatu proses sistematik tentang tanda (semiosis) dan aksi makna. Semiosis ialah sebarang aktiviti, kelakuan, atau proses yang melibatkan tanda, yang ditakrifkan menyampaikan makna atau Semantik.
Semitik dalam linguistik moden bermaksud penggunaan Biblikal, iaitu teologi dalam alkitab sebagai teks suci yang kompleks dan multidimensional. Joseph Greenberg seorang linguis popular mengklasifikasikan bahasa Semitik termasuk bahasa purba Babylon, Habsyi bahasa rasmi Habsyah, bahasa Arab ialah bahasa Semitik mutakhir terbesar, bahasa ibunda Jesus, iaitu Aramia, kalangan Kanaan dan Ge’ez, bahasa purba dari ayat suci gereja Ortodoks Tewahedo Habsyah, Ibrani, Phoenicia atau Punik dan Arab Sheba atau Saba termasuk Mehri kini menjadi penutur minoriti di bahagian Selatan Semenanjung Arab.
Pada awalnya dieja ‘Semite’ bagi merujuk pada bahasa keluarga bahasa Ibrani. Perkataan ‘Semitik’ golongan kata adjektif atau sifat dari susur galur nama “Shem”, iaitu satu nama dari tiga nama anak Nabi Nuh alaihissalam di dalam kitab Injil (Genesis 5.32, 6.10, 10.21), atau lebih tepat bentuk nama itu dari Greek, namanya Σημ (Sēm); bentuk kata nama kepada seorang adalah Semite.
Tragedi tembakan liar di kawasan awam ketika sambutan pesta perayaan Hanukkah anjuran Chabad di pantai Bondi, Sydney, Australia berhampiran Campbell Parade, minggu kedua Disember lalu dikaitkan anti-Semitik sering digunakan untuk maksud spesifik “anti-Yahudi”.
Dalam tragedi itu didapati 16 orang terkorban termasuk seorang budak dan salah seorang daripada dua penembak, dengan penembak kedua dalam tahanan serta 40 orang cedera, termasuk sekurang-kurangnya dua anggota polis. Pasukan polis New South Wales bertindak balas dan menasihati orang awam tidak mengunjungi kawasan tersebut dan berlindung di tempat selamat.
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese memuji seorang warganya, iaitu Ahmed seorang peniaga buah sebagai ‘wira’, begitu juga Premier New South Wales, Chris Minns berkata, di sebalik kejahatan dan kesedihan, masih terdapat rakyat Australia yang sanggup mempertaruhkan nyawa untuk membantu orang lain.
Rakaman di media sosial memaparkan seorang lelaki mempertaruhkan nyawanya dengan memegang seorang lelaki bersenjata ketika penyerang itu melepaskan tembakan ke arah orang ramai. Lelaki itu kemudian bergelut untuk merampas senjata api daripada tangan penyerang sebelum menghalakan ke arah suspek yang kemudian berundur.
Serangan dilakukan oleh dua lelaki bersenjata yang berpakaian hitam dari sebuah jambatan kecil berhampiran tempat letak kereta di taman permainan Bondi menyasarkan komuniti Yahudi yang sedang meraikan acara keagamaan Hanukkah. Ini merupakan kejadian tembakan rambang yang paling banyak meragut nyawa di Australia, selepas pembunuhan beramai-ramai Port Arthur tahun 1996 di Tasmania. Insiden itu dipercayai anasir anti-Semitisme mencetuskan suasana panik orang ramai yang berkeliaran mencari perlindungan.
Penyerang dikenal pasti sebagai, Sajid Akram, 50 dan anak, Naveed Akram, 24 tahun. Sajid dilaporkan mempunyai enam senjata api berlesen dan polis menemui alat letupan buatan sendiri di dalam kereta salah seorang penembak. Semua senjata digunakan dalam serangan berkenaan tetapi penyerang dilaporkan maut di tempat kejadian, manakala anaknya mengalami kecederaan parah dan berada dalam tahanan pihak berkuasa.
Jenayah kebencian atas dasar bangsa atau agama dengan menggunakan senjata api menyebabkan kematian dan kecederaan parah bukan sahaja memecahbelahkan masyarakat menjadi hambatan sejagat yang mengancam keamanan, dan tidak perikemanusiaan malah disifatkan tidak mempunyai asas kepercayaan dalam kehidupan.
Sementara Israel memandang segala halangan terhadap kenegaraan Israel sebagai elemen anti-Semitisme. Politik Israel mengeksploitasi istilah ini sebagai perisai pelindung di peringkat antarabangsa. Idealogi ekstrem dengan fahaman, cara hidup agama dan bangsa Yahudi yang berbeza sikap penentangan kewujudan Israel berdasarkan kamus Merriam-Webster yang menambah bahawa orang Yahudi merupakan kelompok penganut agama Yahudi yang terdiri daripada pelbagai kewarganegaraan, manakala negara Israel pula merupakan sebuah negara yang terdiri daripada penganut agama Yahudi, Kristian, Islam dan lain-lain.
Doktrin politik Israel dihubungkaitkan dengan Taurat untuk menghalang penubuhan Palestin terutama ahli politik bersayap kanan yang menjadi batu penghalang dalam proses keamanan. Tinjauan di lapangan merentas geopolitik umpamnya isu sekatan kemasukan atlet perenang paralimpik Israel ke Malaysia dikecam oleh kerajaan Israel melalui jurucakap Luar Israel Emmanuel Nahshon menyatakan bahawa Malaysia mengamalkan sentimen “antisemitisme fanatik” dan bertentangan dengan semangat Olimpik kerana memangsakan atlet-atlet Israel.
Ini keterlaluan dan mengelirukan kerana maksud “semitisme” mungkin kurang bersesuaian dengan pendirian diplomatik Malaysia terhadap kewujudan negara Israel. Pendirian Malaysia jelas tidak mengiktiraf kewujudan negara Israel, yang dibentuk melalui penyerangan dan jajahan tanah Palestin secara haram sejak lebih 50 tahun silam.
Tambahan, Israel merupakan rejim yang melakukan tindakan brutal terhadap warga Palestin dengan mengusir mereka keluar dari kediaman asal, kekejaman tentera dan pembunuhan secara terbuka dan besar-besaran terhadap penduduk awam termasuk golongan tua, wanita dan kanak-kanak, merampas hak asasi seperti akses pendidikan dan kesihatan, peluang pekerjaan, menjana pendapatan melalui perniagaan, dan keperluan asas hakiki seperti makanan dan minuman.
Sejarah Eropah mencatat orang Yahudi khususnya dianiaya, diusir, dan didiskriminasi di pelbagai tempat dan masa. Penganiayaan terhadap orang Yahudi terutama menjadi kaum minoriti sering dijadikan kambing hitam sepanjang Sejarah Eropah. Masyarakat majoriti Kristian seawal zaman Empayar Rom dikesan hubungan yang tegang dan rumit dengan populasi Yahudi yang tinggal dalam sempadan mereka.
Pemimpin Kristian melaksanakan dasar penempatan dan kediaman terhad untuk orang Yahudi dan mengamalkan agama dalam keadaan tertentu. Malah mengenakan langkah diskriminasi seperti sekatan terhadap peluang pekerjaan. Gereja Kristian – Katolik, Ortodoks, dan kemudian Protestan enggan menerima orang Yahudi sebagai penganut Perjanjian Lama tetapi menggunakan peranan dominan mereka dalam masyarakat untuk menjadikan populasi Yahudi sebagai sasaran penginjilan yang kuat dan mengasingkan mereka melalui wacana tentang kesalahan mereka atas kematian Jesus.
Fenomena ekstrem antisemitisme adalah ideologi Nazisme dari Adolf Hitler yang menyebabkan pemusnahan terhadap kaum Yahudi Eropah. Sesiapa bercakap mengenai Yahudi, bangsa mereka, mengenai holocaust atau berkias mengenainya akan dicap sebagai antisemitik atau anti-Yahudi. Ideologi rejim Zionis merupakan pembawa kepada fahaman perkauman.
Tokoh dunia yang dilabel sebagai anti-Semitik semata-mata atas antikezaliman Israel di Palestin akan antaranya mantan Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad yang vokal mengecam Yahudi dan Israel dalam persidangan ke-60 PBB pada 22 april 2009 . Ekoran itu 40 perwakilan termasuk delegasi Amerika Syarikat, Israel, Perancis dan Kanada keluar dewan.
Insiden sama pada persidangan serupa lapan tahun lalu di Afrika Selatan. Hari Peringatan Holocaust Israel disambut apabila Ahmadinejad mendesak Israel ‘dihapuskan dari peta dunia’ dan menyifatkan negara kejam itu sebagai satu ‘dongeng’. Malahan Faruq Hosni, Menteri Kebudayaan Mesir menyatakan mahu membakar buku-buku Israel. Akibatnya beliau kalah kepada Irina Bokova bagi merebut jawatan pengerusi UNESCO.
Rumusannya, anti-Semitik dilihat dalam bentuk-bentuk penganiayaan, penindasan dan penyiksaan serta kebencian terhadap agama, etnik, mahupun kelompok ras, dan individu sehingga entiti atau institusi termasuklah jalur anti-Yahudi, anti-Israel dan anti-Zionis yang terarah pada sifat rasis.

DR ZULKEFLEE YAACOB
Psikososio @ Pakar Penasihat Wanita Kelantan – HARAKAHDAILY 18/12/2025











