
KUALA LUMPUR: Isu dibangkitkan berkaitan pendidikan ketika ini bukan mengenai penutupan sekolah vernakular, sebaliknya melibatkan desakan supaya sijil Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) diiktiraf kerajaan, kata Dr Anuar Ahmad.
Menurutnya, sekolah vernakular seperti Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) telah lama diiktiraf dalam semua dokumen rasmi pendidikan negara sejak merdeka.
Jelas beliau, pengiktirafan itu termaktub dalam Laporan Razak 1956, Laporan Rahman Talib 1960, Akta Pelajaran 1961, Akta Pendidikan 1996 serta Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.
“Mahkamah Tinggi Kota Bharu dan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2021 turut memutuskan bahawa kewujudan sekolah vernakular adalah sah di sisi undang-undang.
“Keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 2023 serta Mahkamah Persekutuan pada 2024,” ujarnya Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM) itu.
Beliau berkata, keputusan semua peringkat mahkamah mengesahkan bahawa kewujudan SJKC, SJKT dan SMJK tidak melanggar mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa sekolah vernakular bukan isu dan tidak ada pihak yang memahami sistem pendidikan negara mendesak supaya sekolah berkenaan ditutup.
Menurut Dr Anuar, isu sebenar ialah desakan supaya persijilan UEC diiktiraf, sedangkan pengiktirafan tersebut bercanggah dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi bagi semua urusan rasmi.
“Jika UEC diiktiraf maksudnya kurikulum, peperiksaan dan persijilan UEC telah menjadi urusan rasmi. Nak tukar kurikulum dan peperiksaan UEC ke Bahasa Melayu?” soal beliau dalam media sosial miliknya.
Beliau turut mempersoalkan keperluan mengiktiraf UEC sedangkan Malaysia sudah mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang diiktiraf bukan sahaja di dalam negara, malah di universiti di seluruh dunia.
Dr Anuar berkata, sejak 1975 kerajaan telah membenarkan pelaksanaan UEC di sekolah persendirian Cina, namun mengizinkan pelaksanaan dan mengiktiraf sijil adalah dua perkara yang berbeza.
“Saya menerima sepenuhnya keputusan kerajaan yang mengizinkan pelaksanaan UEC di sekolah persendirian Cina, tetapi saya menolak dan membantah sepenuhnya cadangan supaya kerajaan mengiktiraf sijil UEC,” tegasnya.
Menurut beliau, pengiktirafan sijil UEC merupakan satu penghinaan terhadap Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan jika diteruskan, ia menjadi kesalahan di bawah Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967.
Beliau berkata, sebagai rakyat yang menghormati keluhuran Perlembagaan, semua pihak wajar menyatakan pendirian menolak cadangan pengiktirafan sijil UEC.
Pakar pendidikan yang sentiasa ke garis paling hadapan dalam membicarakan isu-isu pendidikan ini turut menegaskan bahawa penolakan terhadap pengiktirafan UEC bukan disebabkan sentimen anti bahasa Mandarin.
“Saya menyokong anak-anak Malaysia menguasai Bahasa Inggeris, Bahasa Arab dan Bahasa Mandarin, dan saya juga menyokong SJKC dan SJKT dikekalkan sebagai sekolah aliran kebangsaan,” ulasnya.
Menurut beliau, isu UEC telah berlarutan sejak awal kemerdekaan dan sering disertai desakan serta provokasi politik, namun orang Melayu khususnya dan pihak kerajaan umumnya begitu bertolak ansur dalam isu sistem pendidikan vernakular di negara ini.
“Sangat-sangat bertolak ansur. Anda tidak akan jumpa sebuah negara di dunia ini yang memberikan pengiktirafan kepada sekolah vernakular Cina dan Tamil.
“Kemudian bersetuju pula memasukkan sekolah Cina dan Tamil dalam sistem pendidikan kebangsaan dan seterusnya menyediakan peruntukan tahunan. Tak akan jumpa.
“Betul. Dalam isu sekolah vernakular, tidak ada negara di dunia seperti Malaysia. Tidak ada pemimpin dunia yang begitu bertoleransi berkaitan sekolah vernakular sebagaimana pemimpin Melayu di negara ini. Tidak ada,” ujarnya.
Menurut beliau lagi, negara yang mahu membina sebuah negara bangsa berjiwa kebangsaan tidak akan membenarkan sama sekali sekolah vernakular berada dalam sistem kebangsaan mereka.
Jelasnya, negara yang mahu mempertahankan bahasa kebangsaan, budaya kebangsaan dan perpaduan tidak akan membenarkan kewujudan sekolah vernakular dibiayai oleh kerajaan.
“Tidak akan sama sekali. Tapi pemimpin Melayu negara ini sejak merdeka toleransi mereka sangat tinggi. Sehingga adakalanya toleransi ‘berlebihan’ ini telah merimaskan orang Melayu sendiri.
“Pemimpin Melayu ketika merdeka dulu telah benarkan sekolah vernakular Cina dan Tamil diteruskan walaupun kerajaan Inggeris sendiri telah pun membuat keputusan memansuhkan semua sekolah Cina dan Tamil melalui Laporan Pelajaran Barnes 1950.
“Penjajah Inggeris hanya meluluskan aliran persekolahan yang menggunakan bahasa Inggeris (sekolah Inggeris) dan Bahasa Melayu (Sekolah Melayu).
“Perancangannya (pihak Inggeris) aliran sekolah Bahasa Inggeris kemudiannya secara bertahap-tahap akan digantikan sepenuhnya dengan penggunaan bahasa Melayu.
“Penjajah Inggeris sendiri pun telah ‘membuang’ pendidikan vernakular Cina dan Tamil di negara ini, tetapi pemimpin Melayu ‘kutip balik’ apa yang dibuang oleh penjajah,” ujarnya lagi.
Kemudian sekolah Cina dan Tamil katanya, diletakkan di tempat yang tinggi dalam sistem pendidikan kebangsaan melalui Laporan Pelajaran Razak 1956, Laporan Rahman Talib 1960, Akta Pelajaran 1961 dan dan Akta Pendidikan 1996.
“Bukankah itu semua menjadi bukti betapa toleransinya pemimpin Melayu? Tapi nampaknya ada pihak yang masih tidak puas hati walaupun sekolah vernakular telah pun diberikan pengiktirafan oleh kerajaan.
“Mereka masih berkeras dan mahu lebih banyak lagi. Mereka mahu UEC pula diiktiraf sepenuhnya. Pada tahun 1975, mereka tuntut UEC dibenarkan untuk dilaksanakan di Sekolah Pensendirian Cina. Sekali lagi kerajaan bersetuju dan meluluskan perlaksanaan UEC.
“Sudah dapat kebenaran beroperasi, sejak 1975, mereka berterusan tuntut dan desak pula supaya kerajaan mengiktiraf sijil UEC sepenuhnya,” ujar Dr Anuar seakan melontarkan rasa kesal.
Menurut beliau, usaha mereka itu berhasil, bila kerajaan pada 2012 telah meluluskan apa yang dipanggil sebagai ‘perlepasan bersyarat’ bagi lepasan UEC mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (Bahasa Cina) di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).
“Itu satu bentuknya pengiktirafan kepada UEC. (Sedangkan) UEC tidak boleh diiktiraf kerana jelas bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan,” tegasnya lagi.
Dr Anuar menegaskan, sistem pendidikan merupakan ‘jiwa sesebuah negara’ dan kerajaan bertanggungjawab memastikan sistem pendidikan kebangsaan dipelihara selaras dengan Perlembagaan Persekutuan. – HARAKAHDAILY 16/12/2025











