
KUALA LUMPUR: Pakar pendidikan, Dr Anuar Ahmad berpandangan sistem pendidikan negara yang diwarisi sejak era penjajah menjadi antara faktor utama cabaran perpaduan kaum masih berlarutan sehingga hari ini.
Beliau berkata, walaupun pendidikan sepatutnya menjadi alat terbaik untuk membina perpaduan, realitinya idea dan acuan pendidikan negara kekal memisahkan anak-anak mengikut aliran sekolah sejak hampir 70 tahun selepas kemerdekaan.
“Saya masih kuat percaya bahawa pendidikan adalah alat pendidikan yang terbaik. Tetapi kerana kita telah mewarisi amalan politik berasaskan kaum yang dimulakan sejak merdeka, hari ini kita berhadapan dengan cabaran perpaduan yang berterusan,” ujarnya.
Menurut beliau, pemisahan aliran sekolah menyebabkan kanak-kanak tidak saling mengenali dan berinteraksi sejak kecil, sekali gus menjejaskan tahap kepercayaan antara kaum.
“Natijahnya, rasa saling percaya antara mereka menjadi rendah. Bila datang sahaja polemik, dengan mudah ia menjadi isu perkauman,” ulas beliau dalam media sosial miliknya baru-baru ini.
Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM) itu turut mengkritik sikap ahli politik yang mengambil kesempatan terhadap isu perkauman demi kepentingan sendiri.
“Malah lebih buruk lagi bila ada ahli politik yang tidak bertanggungjawab sanggup menggunakan isu perkauman sebagai modal populariti politik. Mereka ini bukanlah ahli politik yang jujur. Mereka suka menangguk di air yang keruh,” tempelaknya.
Beliau berkata, pendidikan yang sepatutnya menjadi alat perpaduan akhirnya bertukar menjadi alat perpecahan, sebagaimana yang berlaku dalam isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
“Pendidikan yang sepatutnya menjadi alat perpaduan akhirnya berubah menjadi alat perpecahan. Itulah yang berlaku dalam kes UEC. Generasi terdahulu telah membina sistem pendidikan yang memecahbelahkan kaum. Kita adalah hasilnya,” tegasnya.
Mengulas lanjut, beliau mempersoalkan sama ada negara mahu terus mewariskan sistem pendidikan yang membina perpecahan kepada generasi akan datang.
“Apakah kita juga mahu terus mewariskan sistem pendidikan yang membina perpecahan ini kepada anak cucu kita? Kita sudah tahu keburukannya tetapi kita tetap tidak mahu mengubahnya?” soalnya.
Beliau yang sering berada di garis hadapan dalam isu-isu pendidikan negara menegaskan nahawa sekolah satu aliran atau sekolah Malaysia adalah pendekatan terbaik untuk membina perpaduan sejak usia muda.
“Sekolah satu aliran (sekolah Malaysia) adalah yang terbaik untuk anak-anak kita. Anak-anak belajar, bermain dan makan bersama. Tak mudah untuk itu, jadi kita patut mulakan apa yang boleh dahulu.
“Sebab itu saya sokong supaya program sekolah Wawasan atau nama lain yang sesuai (sekolah Madani?) kembali diperkasakan,” kupasnya.
Cubaan iktiraf UEC sejak 1975
Dalam pada itu, Dr Anuar turut mengulas perkembangan tuntutan pengiktirafan UEC yang menurutnya telah berlarutan sejak 1975.
“Sejak tahun 1975 lagi, mereka desak kerajaan supaya UEC diberikan pengiktirafan. Dah 50 tahun mereka asyik desak,” katanya.
Beliau mempersoalkan mengapa isu itu tidak dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan keputusan muktamad berhubung keserasian UEC dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan.
“Bukankah lebih baik biar mahkamah buat keputusan sama ada pengiktirafan UEC bertentangan atau tidak dengan Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan dan Akta Pendidikan 1996?” soalnya lagi.
Dr Anuar berkata, jika mahkamah memutuskan pengiktirafan UEC tidak bercanggah dengan Perlembagaan, keputusan itu wajar dihormati.
“Tapi itu tidak berlaku. Pelik kan? Sudah 50 tahun mereka asyik kata UEC tak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, tapi mereka masih tak berani bawa ke mahkamah?” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa desakan pengiktirafan UEC yang menggunakan kurikulum berbeza dan tidak menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama berpotensi melemahkan sistem pendidikan kebangsaan.
“Mereka yang desak UEC diiktiraf pula nak anak-anak Malaysia belajar guna kurikulum yang berbeza dengan kurikulum kebangsaan. Bukankah itu semua seperti satu usaha untuk melemahkan sistem pendidikan kebangsaan?” katanya. – HARAKAHDAILY 16/12/2025











