UEC: Provokasi sejak awal merdeka tak pernah berhenti

Siri khas isu UEC: Kupasan pakar pendidikan

Dr Anuar Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu desakan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bukan perkara baharu, sebaliknya mencerminkan pola provokasi dan tekanan berulang yang telah berlaku sejak awal kemerdekaan negara.

Pakar pendidikan, Dr Anuar Ahmad berkata, desakan terbaharu untuk bertemu Perdana Menteri bagi menuntut pengiktirafan UEC telah mencetuskan kegelisahan dalam kalangan rakyat sehingga mencalarkan perasaan banyak pihak.

- Advertisement -

“Mereka mahu jumpa Perdana Menteri supaya iktiraf UEC. Riuh seluruh negara. Tak tenteram jadinya rakyat. Ada yang sampai ‘kutuk mengutuk’ sesama sendiri. Percayalah, mereka sedang menonton dan berseronok,” ujarnya dalam media sosial miliknya.

Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM) itu berkata, situasi tersebut lazimnya akan reda selepas beberapa ketika sebelum isu sama kembali dibangkitkan apabila dirasakan perlu.

“Kemudian, mereka akan diam. Senyap, seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku, sedangkan perbuatan mereka telah ‘mencalarkan’ perasaan banyak pihak,” bidas beliau di media sosial miliknya baru-baru ini.

Beliau menjelaskan, corak desakan sedemikian telah berlaku sejak Julai 1959 ketika tercetus pertelingkahan antara Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dengan Presiden kedua MCA, Tun Dr Lim Chong Eu.

Menurut Dr Anuar, pada Julai 1959, Dr Lim Chong Eu telah menulis surat kepada Tunku Abdul Rahman bagi mendesak dua perkara, termasuk tuntutan supaya peperiksaan yang dilaksanakan oleh sekolah Cina persendirian diberikan pengiktirafan.

“Jika tidak diiktiraf, ahli MCA akan boikot parti Perikatan yang diketuai oleh Umno dalam pilihan raya pertama selepas merdeka pada tahun 1959,” terangnya.

Beliau berkata, tuntutan itu mengejutkan Tunku Abdul Rahman sehingga memaksa Umno mengadakan perhimpunan khas bagi membuat keputusan dan perwakilan sebulat suara menolak tuntutan MCA itu.

“Perwakilan Umno bertegas bahawa kedudukan Bahasa Melayu tidak boleh dipinggirkan. Biar Umno kalah pilihan raya sekali pun, Bahasa Melayu adalah ‘jiwa’ mereka,” ceritanya.

Dr Anuar turut mengakui bahawa boikot itu benar-benar berlaku dalam Pilihan Raya Umum 1959 apabila calon-calon Perikatan khususnya daripada Umno tidak diundi oleh penyokong MCA, menyebabkan ramai calon hampir tewas.

Beliau berkata, fakta sejarah itu dihuraikan secara terperinci dalam kajian doktor falsafah (PhD) oleh Dr Ang Ming Chee bertajuk ‘Institutions and Social Mobilization: The Chinese Education Movement in Malaysia 1951–2011’.

“Inilah contoh provokasi dan desakan bertalu-talu yang selalu berlaku dalam sejarah UEC sejak 1959,” katanya.

Dr Anuar menegaskan, desakan dan ugutan kehilangan sokongan politik terhadap kerajaan bukan hanya berlaku pada masa kini, malah berulang kali berlaku sejak awal kemerdekaan termasuk dalam kes Tuntutan Pilihan Raya Persatuan-persatuan Cina Malaysia (Suqiu).

Mengulas isu semasa, beliau berkata polemik pengiktirafan UEC yang kembali memuncak ketika ini akan reda dalam tempoh singkat, seperti kebiasaan yang berlaku dalam budaya masyarakat.

“Minggu ini seluruh negara riuh tentang isu pengiktirafan UEC. Jangan bimbang, seminggu dua nanti senyaplah. Itulah budaya rakyat Malaysia,” katanya.

Dr Anuar turut mengimbau beberapa polemik besar dalam sejarah pendidikan negara, termasuk bantahan terhadap pengenalan tulisan Jawi dalam buku Bahasa Melayu sekolah rendah, yang hanya melibatkan tiga muka surat, namun mencetuskan kegemparan nasional.

Pun demikian jelas beliau, isu itu jauh lebih kecil berbanding krisis pendidikan yang pernah berlaku pada tahun 1961 dahulu.

“Kisah pada tahun 1961 jauh lebih besar, tetapi syukurlah ketika itu Menteri Pelajaran ialah Abdul Rahman Talib dan Pengarah Pelajaran ialah Dr Aminuddin Baki,” jelasnya.

Beliau berkata, ketegasan kedua-dua tokoh pendidikan itu berjaya mempertahankan sistem pendidikan negara daripada terjejas.

“Kalaulah ketika itu Menteri Pelajaran jenis ‘lembik’ dan ‘ikut sahaja’, lebih sibuk kejar populariti, memang sistem pendidikan berteraskan Perlembagaan negara dah lama rosak,” peringatnya.

Dr Anuar menegaskan, ketegasan kepimpinan negara pada ketika itu memastikan Bahasa Melayu kekal sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan kebangsaan.

Beliau berkata, pengasas Jiao Zong, Lim Lian Geok telah dilucutkan kewarganegaraan pada 19 Ogos 1961 berikutan bantahan keras terhadap Laporan Pelajaran Rahman Talib 1960 dan Akta Pelajaran 1961.

Menurut beliau, Lim Lian Geok khususnya membantah Perkara 21(2) Akta Pelajaran 1961 yang memberi kuasa kepada Menteri Pelajaran untuk menukarkan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina kepada sekolah kebangsaan sepenuhnya.

Selain itu ceritanya, Lim Lian Geok juga membantah usaha kerajaan memujuk 54 buah sekolah menengah persendirian Cina untuk menjadi Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC).

Dr Anuar berkata, beberapa tokoh pendidikan Cina yang menyokong sistem pendidikan kebangsaan turut digelar pengkhianat oleh golongan cauvinis pendidikan Cina ketika itu.

“Sebenarnya ramai pemimpin orang Cina yang sanggup menerima berbagai kejian dari kumpulan cauvanis semata-mata ingin bersama pemimpin Melayu membina sebuah sistem pendidikan kebangsaan di negara ini. Pengorbanan mereka ini jarang didendangkan,” tegasnya.

Beliau menegaskan, sistem pendidikan adalah ‘jiwa sesebuah negara’ dan kerajaan wajib memastikan ia dipelihara dengan ketegasan.

“Malaysia bertuah kerana pernah mempunyai pemimpin yang tegas dalam mempertahankan sistem pendidikan negara pada tahun-tahun yang mencabar dulu,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/12/2025

- Advertisement -