UEC: Kenapa pilih jeritan politik, tidak ke mahkamah?

Anas Soffy Abd Wahid
- Advertisement -

GEORGE TOWN: Isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bukanlah isu sentimen atau perkauman, sebaliknya melibatkan kedaulatan Perlembagaan Negara dan keluhuran undang-undang.

Pengarah Komunikasi Strategik PAS Negeri Pulau Pinang, Anas Soffy Abd Wahid berkata, tuntutan pengiktirafan UEC bukan isu baharu malah telah bermula sejak tahun 1975 dan sudah menjangkau hampir 50 tahun.

- Advertisement -

Namun jelas beliau, sehingga ke hari ini DAP, Dong Zong, MCA dan GERAKAN tidak pernah sekali pun membawa isu tersebut ke Mahkamah untuk semakan kehakiman.

“Mengapakah mereka tidak pernah membawa isu ini ke Mahkamah? Jawapannya jelas kerana mereka tahu tuntutan ini akan tumbang di sisi Perlembagaan dan undang-undang negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, sekiranya UEC benar-benar selari dengan Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendidikan Negara, sudah tentu parti-parti tersebut yang mempunyai ramai peguam tidak akan menunggu sehingga setengah abad dan tidak akan memilih jeritan politik serta tekanan jalanan, sebaliknya membawa perkara itu ke mahkamah.

“Namun perkara itu tidak berlaku kerana mereka sedar kekalahan di mahkamah akan menguburkan UEC secara muktamad di Malaysia,” ujarnya.

Anas Soffy menegaskan bahawa fakta undang-undang tidak boleh diputar belit dengan emosi, sentimen atau slogan kepelbagaian kerana UEC secara jelas bercanggah dengan Perlembagaan Negara dan Akta Pendidikan Negara.

Beliau menyenaraikan beberapa percanggahan utama antaranya bahasa pengantar utama UEC bukan Bahasa Kebangsaan, kurikulumnya bukan Kurikulum Kebangsaan, peperiksaannya bukan peperiksaan kebangsaan serta guru-gurunya bukan lepasan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) atau sistem latihan perguruan nasional.

Jelasnya lagi, isu ini melibatkan pelanggaran undang-undang yang nyata dari sudut prinsip dan perundangan termasuk melanggar Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan berkaitan kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 serta Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).

“Ini bukan tafsiran sempit tetapi realiti perundangan yang diketahui oleh semua pihak termasuk DAP, Dong Zong, MCA dan GERAKAN. Sebab itulah mereka tidak berani membawa isu ini ke mahkamah dan memilih tekanan politik, rundingan senyap serta permainan persepsi,” katanya.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan apabila kenyataan Perdana Menteri yang jelas menolak pengiktirafan UEC dilihat semakin hilang daripada radar media arus perdana.

“Rakyat berhak bertanya, adakah prinsip sedang dikorbankan demi kestabilan politik? Adakah pendirian kerajaan berubah tanpa dimaklumkan kepada rakyat? Atau adakah tekanan DAP sedang ‘diurus’ secara senyap?” soalnya.

Tambah beliau, mengiktiraf UEC bukan sekadar mengiktiraf satu sijil, tetapi membuka pintu kepada sistem pendidikan yang bercanggah dengan Perlembagaan Negara dan keluhuran undang-undang.

“UEC tidak pernah gagal kerana diskriminasi tetapi gagal kerana tidak mematuhi kerangka Perlembagaan Malaysia,” tegasnya.

“Selagi mereka tidak berani berbuat demikian, selagi itulah rakyat tahu bahawa UEC tidak pernah layak dari sudut Perlembagaan dan perundangan negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/12/2025

- Advertisement -