
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Dato’ Mohd Nor Hamzah menegaskan bahawa perbincangan mengenai pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) perlu ditangani secara serius dan berasaskan prinsip kenegaraan kerana ia bukan sekadar isu akademik semata-mata.
Menurut beliau, penilaian terhadap struktur dan hala tuju UEC menunjukkan kelayakan itu dibangunkan sebagai satu rangkaian pendidikan lengkap yang beroperasi di luar sistem pendidikan kebangsaan.
“Laluan akademik UEC merangkumi pendidikan menengah, pra-universiti sehingga ke peringkat pengajian tinggi dengan sistem pentaksiran, kurikulum dan tadbir urus tersendiri.
“Keadaan ini secara nyata membentuk sistem pendidikan selari yang tidak disepadukan dengan dasar pendidikan nasional,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, sistem pendidikan kebangsaan diwujudkan melalui undang-undang, dasar kerajaan dan mekanisme kawal selia yang ketat termasuk jaminan integriti peperiksaan, audit awam serta kebertanggungjawaban institusi kepada Parlimen.
Sedangkan UEC bidasnya ditadbir oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan dan tidak tertakluk kepada kerangka pengawasan yang sama.
“Oleh itu, tuntutan agar kelayakan ini diberikan taraf setara dengan peperiksaan nasional menimbulkan implikasi besar terhadap autoriti dan kedaulatan dasar pendidikan negara,” tempelaknya.
Ustaz Mohd Nor turut menegaskan bahawa laluan UEC tidak diselaraskan dengan komponen teras pendidikan kebangsaan seperti Bahasa Melayu, kurikulum nasional dan kerangka pembinaan identiti negara.
Namun jelasnya, wujud tuntutan supaya pemegang kelayakan itu diterima masuk ke institusi pengajian tinggi awam.
“Pendekatan sedemikian mewujudkan keadaan di mana sistem negara terpaksa menerima kelayakan yang berada di luar kawal selia nasional,” ulasnya.
Beliau memberi amaran bahawa sekiranya tuntutan berkenaan dilayan tanpa garis panduan tegas, negara berisiko berdepan dualisme sistem pendidikan yang akhirnya melemahkan fungsi pendidikan sebagai alat penyatuan masyarakat dan pembinaan negara bangsa.
Sehubungan itu, beliau menegaskan kerajaan wajar mengambil pendirian yang jelas dan tegas dalam mempertahankan kedaulatan sistem pendidikan negara.
“Antaranya dengan menegaskan bahawa hanya kelayakan di bawah kerangka pendidikan kebangsaan layak diberi pengiktirafan setara, memperkukuh penguatkuasaan undang-undang dan dasar pendidikan sedia ada.
“(Selain itu) menolak sebarang usaha yang cuba memintas atau menggugat sistem pendidikan nasional serta memastikan institusi awam tidak menjadi pintu masuk kepada kelayakan yang bercanggah dengan dasar negara,” tegasnya.
Menurut beliau, isu UEC bukan sekadar isu akademik tetapi menyentuh soal kedaulatan negara, integriti dasar pendidikan dan masa depan pembinaan bangsa.
“Kesimpulannya, sistem pendidikan negara perlu terus diperkasakan dan ditambah baik dari dalam, bukannya digantikan atau ditandingi oleh sistem luar.
“Sebarang usaha yang menggugat kedaulatan sistem pendidikan kebangsaan mesti ditangani secara tegas dan berprinsip demi kepentingan negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/12/2025











