
KUALA LUMPUR: Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan profesionalisme, ketelusan dan pematuhan prosedur polis mesti dipelihara sepenuhnya dalam mengendalikan siasatan insiden tembakan di Durian Tunggal, Melaka.
Beliau berkata, Ahli-ahli Parlimen PN menzahirkan kebimbangan serta rasa kurang selesa susulan laporan terkini berkaitan insiden berkenaan, khususnya pendedahan oleh polis negeri Melaka mengenai perkara yang masih dalam siasatan pasukan siasatan khas Bukit Aman.
“Perlu ditegaskan bahawa profesionalisme, ketelusan dan kesahihan prosedur polis hendaklah dipatuhi pada setiap masa dan berkaitan semua kes,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Menurut Takiyuddin, kenyataan awam yang mendedahkan maklumat tertentu ketika siasatan masih berjalan berpotensi menimbulkan persepsi negatif dan kesimpulan pramatang.
“Kenyataan awam yang dilihat sengaja mendedahkan maklumat atau sejarah peribadi dan keluarga, memberi gambaran buruk tentang saksi atau menimbulkan prasangka terhadap individu berkait kes sewaktu proses siasatan sedang berjalan berpotensi menatijahkan gambaran salah dan kesimpulan yang pramatang,” tegasnya.
Beliau berkata, keadaan sedemikian sama ada disengajakan atau tidak, boleh mempengaruhi sentimen awam dan seterusnya melemahkan integriti proses siasatan.
“Pendedahan maklumat peribadi tertentu atau mengenai anggota keluarga mereka boleh dilihat sebagai percubaan untuk membentuk naratif awam lebih awal sebelum pasukan khas Bukit Aman melengkapkan tugas mereka.
“Insiden kehilangan nyawa semasa operasi polis adalah isu serius yang menuntut ketelusan, pematuhan SOP (prosedur operasi standard) siasatan dan tahap akauntibiliti tertinggi.
“Semua dapatan hendaklah berpandukan fakta, proses sah dan standard profesionalisme yang tidak diragui, selain bebas daripada bias atau maklumat yang berpilih-pilih, bagi memastikan kepercayaan awam terhadap agensi penguatkuasaan terus terpelihara,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/12/2025











