
KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook didesak supaya membatalkan sahaja pelantikan syarikat Rider Gate sebagai ejen kutipan sekiranya gagal memberikan penjelasan tuntas mengenai status kewangan syarikat terbabit.
Setiausaha Penerangan PAS Pusat, Ir Ts Dr Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata, menteri tidak perlu terus berdolak-dalih sehingga memeningkan kepala rakyat, sebaliknya perlu menjawab tiga persoalan utama mengenai lantikan tersebut.
Tiga persoalan tersebut ialah mengenai tatacara lantikan Rider Gate sebagai ejen kutipan, kriteria pemilihan syarikat dan bagaimana sebuah syarikat yang didakwa mempunyai masalah kewangan boleh melepasi tapisan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
”Yang rakyat mahu tahu adalah kenapa syarikat Rider Gate yang ada masalah kewangan, tiada pendapatan dan rugi dua tahun berturut-turut dilantik menjadi ejen kutipan? Kalau rasa susah nak jawab, batalkan sahajalah lantikan Rider Gate. Tak payah pusing-pusing sampai rakyat pun pening,” katanya.
Dalam pada itu, Nurul Islam turut membidas kenyataan Anthony Loke sebelum ini yang mendakwa ejen kutipan tidak dibayar komisen, yang disifatkannya sebagai palsu dan mengelirukan.
Menurutnya, selepas mendedahkan bukti caj perkhidmatan Pos Malaysia, beliau tampil menunjukkan bukti bahawa penyedia perkhidmatan lain seperti MyEG dan Touch ‘n Go (TNG) turut mengenakan caj serupa.
”MyEG dalam laman web rasminya jelas menyebut mengenai ‘jenis caj yang terlibat dalam pembaharuan cukai jalan dalam talian’ yang antaranya adalah yuran e-khidmat. Apa benda yuran e-khidmat ini Anthony Loke?
”Dalam laman web TNG pun sama. Ada dinyatakan caj perkhidmatan RM10 dan RM15 yang dikenakan untuk perkhidmatan JPJ yang mereka sediakan,” jelasnya.
Tambahnya lagi, laman web JPJ sendiri yang bernaung di bawah kementerian Anthony Loke turut memaparkan maklumat mengenai yuran perkhidmatan oleh rakan strategik seperti Pos Malaysia, TNG dan MyEG.
Beliau menegaskan, rakyat sebenarnya memahami bahawa penggunaan khidmat ejen kutipan seperti MyEG, TNG atau Puspakom sememangnya melibatkan bayaran caj perkhidmatan.
Namun, apa yang menjadi pertikaian adalah kenyataan menteri yang cuba menafikan kewujudan caj tersebut.
”Kalau maksud menteri adalah JPJ tak perlu bayar komisen ke ejen kutipan, sah beliau cuba kelirukan rakyat. Kalau JPJ tak bayar siapa yang akan bayar? Tentulah rakyat. Takkan DAP nak bayar,” sindirnya.
Justeru, beliau menuntut ketelusan daripada Kementerian Pengangkutan berhubung isu ini agar tidak terus membebankan dan mengelirukan rakyat. – HARAKAHDAILY 15/12/2025











