Pemimpin tak ambil rasuah, rakyat pasti akan teladani

Prinsip 'qanaah' antara rahsia pemimpin PAS tak ambil rasuah'

Ustaz Idris Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rasuah yang membarah termasuk dalam kalangan pemimpin dan pentadbiran kerajaan boleh diatasi antaranya dengan ketakwaan di mana membentuk sifat ‘qanaah’ yakni merasa cukup atau berpada dengan nikmat sedia ada.

Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad menegaskan bahawa kepimpinan PAS bukan malaikat, tetapi berpegang teguh kepada prinsip ketelusan, integriti, dan qanaah dalam pentadbiran, yang terbukti di Kelantan dan Terengganu.

- Advertisement -

Beliau berkata, pimpinan PAS pernah memegang jawatan tinggi, termasuk Menteri Besar, tetapi kekal mengamalkan kehidupan yang sederhana, sekali gus memberi contoh kepada rakyat tanpa mengubah prinsip mereka.

Beliau memberikan contoh antaranya adalah seperti Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sendiri yang walaupun pernah menjadi Menteri Besar Terengganu, tetapi kekal dengan cara hidup dan rutin mengajarnya seperti biasa.

“Manusia mula menilai pimpinan daripada tingkah laku mereka, dari kepala ke bawah kaki. Kita sebagai anggota bawahan dapat lihat contoh yang ditunjukkan pimpinan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai.

Ustaz Idris yang juga bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengupas demikian ketika ditanya mengenai ramuan PAS untuk membanteras rasuah ketika wawancara dalam siri podcast Dari Jalan Pahang, di sini baru-baru ini.

Menurut Datuk Ustaz Idris lagi, pimpinan PAS sentiasa memastikan rezeki diperoleh dengan cara halal, mengikut syariat Islam, dan menekankan prinsip ‘qanaah’ yakni cukup dengan yang ada tanpa mengambil hak orang lain.

“Kita hidup sederhana. Kereta, minyak, pemandu, semuanya disediakan kerajaan. Tapi sebagai pimpinan, kita cukup sifat, minum air suam pun cukup. Apa yang ada cukup, jangan ambil lebih. Insya-Allah, khazanah negara mencukupi jika diuruskan dengan baik,” jelas beliau.

Beliau juga menegaskan bahawa pegawai-pegawai kerajaan yang pernah berkhidmat dengan kepimpinan atau pentadbiran PAS boleh menjadi saksi terhadap prestasi dan ketelusan tersebut diamalkan oleh pimpinan parti.

“Boleh pergi tanya mereka sendiri bagaimana pentadbiran kita dulu, sama juga seperti yang berlaku di Kelantan dan Terengganu pada hari ini,” katanya.

Menurut Dato’ Ustaz Idris, pendekatan ini bukan sahaja memastikan tiada ketirisan dalam pentadbiran, tetapi juga memberi contoh teladan kepada pegawai bawahan untuk mengamalkan integriti dalam kerja mereka.

“Kalau kita jaga integriti, orang bawah kita pun akan ikut. Kita sentiasa memberi peringatan jangan makan hak orang lain, cukup dengan yang halal,” tambah beliau.

Beliau menekankan bahawa pendekatan sederhana, jujur, dan bertanggungjawab ini adalah asas kepada pentadbiran PAS yang berjaya dan dipercayai rakyat. – HARAKAHDAILY 15/12/2025

- Advertisement -