Budaya Melayu dibunuh bawah pentadbiran Anwar

Dr Rais Yatim
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mantan Presiden Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Rais Yatim menyatakan berlakunya pembunuhan budaya Melayu dalam pemerintahan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, termasuk pengiktirafan elemen yang bercanggah dengan jati diri Melayu sebagai warisan.

Beliau berkata, pengiktirafan makanan berasaskan daging babi seperti Bak Kut Teh sebagai warisan mencerminkan kealpaan serius dalam mempertahankan budaya Melayu, sambil menyatakan tiada parti politik bangkit membantah perkara itu ketika ia dibawa.

- Advertisement -

“Saya dapati daging babi dengan supnya dah jadi warisan. Bak Ku Teh. Bunyinya pun teruk. Tapi dah jadi warisan. Tak ada satu pun parti kita yang bangkit mengatakan ’get rid of this from the warisan list’. Tak ada. Jadi sekarang dah jadi warisan,” ujarnya dalam Konvensyen Melayu 153 di Dewan Tunku Abdul Rahman, Saloma di sini kelmarin.

Rais yang juga mantan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan berkata, sebagai bekas menteri dalam bidang itu, beliau melihat keadaan berkenaan sebagai satu kegagalan besar dalam mempertahankan kepentingan budaya Melayu.

“Saya tak boleh nak cakap lebih daripada itu sebagai bekas Menteri Budaya selain menyatakan kita sudah alpa. Kalaulah dapat pada hari itu, kita sama-sama bantah balik. Ini tak boleh masuk dalam Seksyen 67 tapi sekarang sudah masuk. Bagaimana nak menebus ni balik? Tak dapat kita nyatakan sekarang.

“Tolong beritahu berapakah latihan kebudayaan yang dibuat oleh kerajaan Madani pada hari ini? Tidak ada. Apakah peruntukan untuk memuzikakan ataupun membudayakan peninggalan orang Melayu di Kelantan, di Terengganu, di Melaka dan lain-lain? Semua tidak ada,” bidasnya.

Menurutnya, keadaan itu sudah cukup untuk menjadi asas perjuangan mempertahankan identiti Melayu, sambil menegaskan bahawa orang Melayu perlu bergantung kepada kekuatan sendiri.

“Ini sudah cukup menjadi bahan bagi kita untuk berjuang di samping 153 tadi dan sekutu kita lepas ini ialah diri kita sendiri bukan orang lain. Kalau kita tak buat ini orang lain tidak akan buat,” ulasnya.

Rais berkata, kekurangan modal bukan alasan untuk berundur sebaliknya perlu digantikan dengan semangat yang lebih tinggi bagi meneruskan perjuangan.

“Sifat yang ada pada kita sekarang sudah cukup tampaknya. Tinggal lagi kita kurang modal. Oleh kerana kurang modal ini, kita tinggikan semangat lebih daripada yang lain,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/12/2025

- Advertisement -