Tahniah pasukan takraw, berjaya pecah dominasi Thailand

- Advertisement -

KUANTAN: Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Lembing, Mohamad Ayub Mat Ashri mengucapkan tahniah kepada pasukan sepak takraw negara atas kejayaan gemilang merangkul pingat emas Sukan SEA 2025 bagi acara regu berpasukan lelaki, semalam.

- Advertisement -

Katanya, kejayaan itu amat membanggakan apabila pasukan negara berjaya memecahkan dominasi Thailand dan menamatkan penantian selama 34 tahun untuk kembali bergelar juara.

Ini, tambahnya sekali gus membuktikan kebangkitan sebenar skuad sepak takraw Malaysia di pentas Asia Tenggara.

“Kejayaan ini membuktikan bahawa sukan tradisi seperti sepak takraw bukan sahaja mengharumkan nama negara, malah menjadi medium terbaik dalam membentuk anak muda yang sihat, berdisiplin dan berakhlak,” ujarnya dalam hantaran di laman sosialnya, malam tadi.

Menurutnya, sukan melatih kekuatan fizikal, ketahanan mental dan semangat berpasukan selari dengan tuntutan Islam yang menganjurkan penjagaan kesihatan sebagai amanah.

“Setiap usaha, disiplin dan pengorbanan yang dilakukan juga bernilai ibadah apabila diniatkan kerana Allah.

“Syabas dan tahniah. Teruskan menjadi inspirasi kepada generasi muda dan kebanggaan Malaysia,” ujarnya.

Regu berpasukan lelaki sepak takraw Sukan SEA, semalam berjaya menamatkan kemarau 34 tahun pingat emas selepas menumpaskan Thailand di Nakhon Pathom.

Begitupun, regu pertama negara yang dibarisi Haziq Hairul Nizam, Muhammad Noraizat Nordin dan Amirul Zazwan Amir tewas pasukan lawan dalam tiga set 9-15, 15-11 dan 13-15.

Namun, regu kedua negara yang terdiri daripada Syahir Rosdi, Azlan Alias dan Farhan Adam bangkit menewaskan regu Thailand 17-14, 15-13.

Seterusnya detik manis dilakar regu ketiga, Zulkifli Razak, Afifudin Razali dan Aidil Aiman Azwawi apabila berjaya membenam regu tuan rumah 15-13, 15-11 untuk merangkul pingat emas.

Kali terakhir pasukan negara memenangi pingat emas acara itu pada Sukan SEA 1991 di Manila.

Sehubungan itu, Ayub mengajak anak muda menghidupkan semula budaya sepak takraw di Sungai Lembing.

“Lama juga saya tak turun main, badan pun rasa rindu gelanggang. Anak-anak muda Sungai Lembing, ada yang berani sahut cabaran?

“Kita jumpa di gelanggang, sihatkan badan, eratkan ukhuwah,” ujarnya yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Paya Besar. – HARAKAHDAILY 15/12/2025

- Advertisement -