
BAYAN BARU: Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan wakil rakyat setempat didesak supaya turun segera menyelesaikan isu pengusiran penduduk Kampung Permatang Tepi Laut, di sini yang mendakwa diusir tanpa pampasan dan pembelaan sewajarnya.
Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff berkata, pengosongan melibatkan Lot Tanah No. 954 dan 7567 yang menempatkan kira-kira 30 rumah dengan penduduknya telah menetap di situ sejak tiga generasi lalu.
“Penduduk di sini sudah menetap berpuluh-puluh tahun, malah sehingga tiga generasi. Ibu bapa dan datuk nenek mereka sudah tiada, namun waris yang masih tinggal kini dipaksa keluar dengan notis yang amat singkat tanpa sebarang pampasan, hanya kerana tanah yang sekian lama mereka diami berpindah tangan kepada pemilik baharu,” katanya.
Tambah beliau, keadaan itu amat mendukacitakan kerana penduduk yang terlibat juga merupakan pembayar cukai pintu dan cukai rumah sejak sekian lama.
“Bolehkah senario ini dibiarkan berlaku terhadap rakyat marhaen tanpa pembelaan sewajarnya? Mereka ini pembayar cukai rumah kediaman. Cukai pintu mereka bayar, tetapi tiba-tiba diarahkan keluar,” tegasnya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas turun sendiri bersama Setiausaha PAS Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim bagi mendengar aduan penduduk yang terkesan dengan notis pengosongan rumah, di sini semalam.
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) itu turut mempersoalkan sikap Kerajaan Negeri memandangkan kampung tersebut terletak dalam kawasan DUN N.37 Batu Maung yang berada di bawah seliaan Timbalan Ketua Menteri I.
“Lebih menyedihkan, kampung ini berada dalam DUN Timbalan Ketua Menteri I sendiri. Jika kerajaan negeri benar-benar prihatin, mengapa perkara seperti ini dibiarkan berlaku?” soalnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua.
Beliau turut menggesa Timbalan Ketua Menteri I yang juga ADUN Batu Maung agar turun padang melihat sendiri situasi sebenar yang dihadapi penduduk.
“Kita minta Timbalan Ketua Menteri I turun tengok sendiri pengundi dan penduduk dalam DUN Batu Maung ini. Apakah jalan keluar yang boleh diberikan? Apakah bentuk bantuan dan pertolongan yang boleh disalurkan supaya mereka dapat berpindah dengan cara yang baik dan bermaruah,” katanya.
Menurut beliau lagi, PAS Pulau Pinang mendesak supaya kerajaan negeri tidak memandang ringan isu tersebut dan memastikan hak penduduk terbela.
“Jika pemindahan tetap diperlukan, penduduk berhak mendapat pampasan yang adil dan bermaruah. Rakyat tidak boleh dilayan seperti pendatang haram di tanah yang mereka diami sejak generasi terdahulu,” katanya.
Beliau menegaskan, jika kerajaan negeri dan wakil rakyat tidak tampil membantu, maka nasib penduduk akan terus terabai.
“Kalau kerajaan tak bantu mereka, siapa lagi? Kalau ADUN tak turun bantu mereka, siapa lagi yang akan membela mereka? Kami hanya mendesak dan memohon agar pihak berkaitan turun melihat isu ini supaya penduduk dapat berpindah dengan baik serta menerima pampasan yang sewajarnya,” katanya.
Dalam pada itu, salah seorang penduduk Kampung Permatang Tepi Laut, Roslina Siddiq, 61, meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan mengusir mereka tanpa pampasan.
“Saya anak jati di sini. Keluarga saya, mak ayah saya semua tinggal di sini turun-temurun, dah lebih 100 tahun. Saya pun bayar cukai pintu. Umur saya sekarang 61 tahun,” katanya.
Menurut Roslina, penduduk tempatan berasa dipinggirkan walaupun mereka telah lama menetap dan mematuhi tanggungjawab sebagai rakyat.
“Saya minta YB yang bertanggungjawab tolonglah kami. Jangan buat kami macam anak tiri. Kami tak ada tempat nak mengadu. Disuruh keluar tanpa pampasan, tak patutlah buat macam ni. Kami anak tempatan, kami bukan pendatang haram,” ujarnya.
Beliau turut merayu agar wakil rakyat turun segera melihat sendiri keadaan penduduk kampung tersebut.
“Kalau pendatang haram, kerajaan boleh bagi rumah dan jaga mereka. Tapi kami anak penduduk tempatan diperlakukan macam ini. Kami minta YB turun segera dan jangan pandang kami sebelah mata,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/12/2025

6











