
KUALA LUMPUR: PAS hanyalah sebuah ‘kenderaan’ atau alat untuk berjuang menegakkan Islam di negara ini, namun Islam itu sendiri bukanlah milik eksklusif parti tersebut.
Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad berkata, dasar PAS adalah Islam dan pihaknya tiada masalah jika ada pihak lain yang turut menyatakan dasar mereka juga adalah Islam kerana agama suci itu milik semua.
Beliau tampil memperbetulkan persepsi sinis sesetengah pihak yang sering melontarkan soalan ‘PAS Islam sangatkah?’ dengan menegaskan bahawa pemimpin parti itu berusaha melaksanakan Islam sekadar kemampuan yang ada, walaupun menyedari diri mereka bukan maksum.
“Pemimpin PAS manusia biasa yang tidak terlepas daripada kesilapan. Namun, PAS mengajak masyarakat menyembah Allah, mencintai Rasulullah SAW, menuntut ilmu, solat berjemaah dan menutup aurat.
“Malah, pemimpin PAS menjaga batas pergaulan seperti tidak bersalaman antara lelaki dan perempuan serta isteri pemimpin menutup aurat dengan sempurna,” katanya.
Mengulas lanjut, Pesuruhjaya PAS Perak itu berkata, pemimpin PAS konsisten dalam amalan mereka dan tidak bersikap hipokrit seperti yang didakwa segelintir pihak sebagai ‘penunggang agama’.
“Pemimpin PAS tidaklah selepas memberi kuliah di masjid, kemudian pergi menari dan bersalaman lelaki perempuan. Ini baru nama tunggang agama!
“Kuliah pemimpin PAS diberi secara terbuka, dirakam dan disiar secara langsung. Jika ajaran yang dibawa sesat, pihak berkuasa agama pasti bertindak dan masyarakat tidak akan mengikutinya,” ujarnya.
Sebagai bukti komitmen terhadap syariat, beliau memberi contoh tindakan tegas empat Menteri Besar dari PAS yang mengharamkan premis perjudian di negeri masing-masing, malah Kerajaan Negeri Kedah sanggup berdepan saman syarikat judi demi mempertahankan prinsip tersebut.
Idris turut menarik perhatian bahawa majoriti lulusan agama dari pondok, tahfiz hingga universiti, serta Tuan Guru pondok menyokong PAS walaupun silibus pengajian mereka tidak menyebut nama parti itu secara khusus.
Jelasnya, adalah mustahil para alim ulama ini tersilap secara beramai-ramai dalam memberi sokongan, selari dengan sabda Rasulullah SAW bahawa umat baginda tidak akan berhimpun di atas kesesatan.
“Jika PAS membawa ajaran menyeleweng, sudah lama PAS tutup kedai. Sebaliknya, setiap bulan tidak kurang 1,000 ahli baharu menyertai PAS.
“Terbaharu, seramai 4,631 ahli diluluskan dalam Mesyuarat PAS Pusat pada 13 Disember lalu. Mana ada kumpulan sesat yang berkembang maju?” soalnya.
Justeru, beliau menyeru orang ramai supaya menilai perjuangan PAS berpandukan neraca al-Quran dan Hadis, bukannya dengan emosi, kebencian atau hasad dengki.
“Jika ada kesilapan dan kekhilafan pemimpin, itu sifat manusia yang serba kekurangan. Namun Insya-Allah, pemimpin PAS tidak melakukan dosa besar dan kemungkaran yang nyata,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 15/12/2025











