
KUANTAN: Kaukus Demokrasi Pelbagai Parti (KDPP) merancang untuk memperluaskan libat urus bersama Dewan Undangan Negeri (DUN) serta membuka ruang penyertaan wakil legislatif dari Sabah dan Sarawak pada tahun hadapan.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, Dato’ Andansura Rabu berkata, ini sebagai usaha memperkukuh amalan demokrasi di peringkat negeri.
Menurutnya, perkara berkenaan antara yang dibincangkan dalam mesyuarat kelima KDPP yang berlangsung di Kuala Lumpur pagi tadi, dengan tumpuan kepada penilaian agenda yang telah dilaksanakan sepanjang tahun ini serta perancangan hala tuju bagi tahun mendatang. (Foto atas)
Beliau berkata, antara inisiatif yang telah dilaksanakan termasuk sesi libat urus bersama DUN Perak dan Negeri Sembilan melalui pertemuan dengan Yang Dipertua Dewan masing-masing, selain penganjuran beberapa siri bengkel melibatkan wakil parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Tambahnya, fokus utama perbincangan KDPP merangkumi pemerkasaan institusi DUN, peruntukan pembangunan kawasan serta isu pendanaan politik.
Beliau turut memaklumkan, mesyuarat berkenaan mengalu-alukan penyertaan dua anggota baharu KDPP iaitu ADUN Permatang, Selangor, Nurul Syazwani Noh dan ADUN Behrang, Perak, Salina Samsudin.
Menurutnya, dengan penyertaan itu, keanggotaan KDPP kini merangkumi ahli legislatif dari Pahang, Perak, Kelantan, Selangor dan Johor yang mewakili pelbagai parti politik.
Jelasnya, kaukus berkenaan turut dianggotai wakil pertubuhan sivil seperti IDEAS dan Bersih selaku sekretariat, serta Agora Society dan Bait Al Amanah.
ADN Beserah itu memaklumkan, beliau turut diberi kepercayaan untuk mempengerusikan KDPP secara bersama dengan ADUN Kota Lama, Kelantan, Dr Hafidzah Mustakim.
Mengulas penglibatannya, Andansura berkata pada peringkat awal beliau agak keberatan untuk menyertai KDPP berikutan kekangan masa, namun bersetuju selepas dimaklumkan bahawa sebahagian besar perbincangan dilaksanakan secara dalam talian.
Merujuk kepada kenyataannya sebelum ini, beliau berkata KDPP digerakkan oleh beberapa pertubuhan sivil dan dianggotai lapan ADUN daripada pelbagai parti dan negeri sebagai kesinambungan kepada siri perbincangan awal berkaitan reformasi institusi.
Dalam kenyataan di laman sosialnya hari ini, Andansura menyatakan keyakinan bahawa usaha yang digerakkan melalui KDPP mampu memberi sumbangan bermakna ke arah penambahbaikan amalan prinsip demokrasi di negara ini, walaupun menyedari pelaksanaannya memerlukan masa dan komitmen berterusan daripada semua pihak.
Beliau berkata, tiga fokus utama yang digariskan sejak penubuhan KDPP ialah reformasi institusi di peringkat negeri, pendanaan politik dan peruntukan pembangunan kawasan yang akan digerakkan melalui peningkatan kesedaran awam, sesi libat urus, konsultasi serta perkongsian maklumat.
Menurut beliau, perbincangan lanjut akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memperincikan strategi pelaksanaan supaya agenda reformasi yang disasarkan dapat direalisasikan secara berperingkat. – HARAKAHDAILY 15/12/2025











