Lancar Kalendar Pelancongan, Kebudayaan 2026

Razali bersama Hilmi memegang Kalendar Acara Pelancongan dan Kebudayaan (COE) Negeri Terengganu di Raia Hotel
- Advertisement -

KUALA NERUS: Kerajaan Terengganu melancarkan Kalendar Acara Pelancongan dan Kebudayaan (COE) Negeri Terengganu 2026 sebagai langkah strategik memperkukuh kedudukan negeri itu sebagai destinasi pelancongan utama sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, penyediaan kalendar berkenaan merupakan inisiatif penting dalam menyelaras serta mempromosikan pelbagai acara pelancongan dan kebudayaan secara lebih tersusun dan berfokus.

- Advertisement -

“Saya merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) atas usaha menyusun dan membukukan semua acara pelancongan dan kebudayaan negeri dalam satu dokumen rujukan lengkap.

“Inisiatif ini memudahkan pelancong merancang perjalanan dan memperkukuh reputasi Terengganu sebagai destinasi pelancongan utama negara.

“Tidak lupa, jutaan terima kasih kepada media perdana, media digital, media sosial dan para pempengaruh yang sentiasa menjadi agen promosi pelancongan Terengganu. Kandungan kreatif saudara-saudari semua memberi impak besar secara langsung dan tidak langsung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Kalendar Acara Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu 2026 dengan turut dihadiri Pengarah JPNT, Hilmi Hajijan di Raia Hotel, di sini hari ini.

Menurutnya, Kalendar Acara Pelancongan dan Kebudayaan Terengganu 2026 merangkumi 13 acara utama dan 100 acara sampingan yang akan berlangsung di seluruh daerah.

Kesemua acara disusun mengikut lima kluster pelancongan negeri iaitu Kuala Terengganu, Pantai dan Pulau, Kenyir Geopark, Alam Semula Jadi serta Seni, Budaya dan Warisan.

“Pendekatan kluster ini selaras dengan dasar kerajaan negeri untuk memperkukuh identiti pelancongan daerah, meningkatkan nilai ekonomi setempat dan memastikan pertumbuhan pelancongan berlaku secara seimbang dan inklusif,” katanya,

Razali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan penganjuran acara yang tidak tersenarai dalam kalendar rasmi sebagai acara sampingan atau ‘pocket event’, dengan kerjasama Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu.

“Insya-Allah kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu akan terus memberikan kerjasama yang sewajarnya. Langkah ini memberi ruang kepada kreativiti penganjur dan mempelbagaikan pilihan aktiviti untuk pelancong,” katanya.

Beliau juga mengingatkan semua pihak bahawa pelancongan merupakan imej negeri.

“Kualiti penganjuran acara mencerminkan tahap profesionalisme penganjur. Oleh itu saya menyeru kepada semua agar dapat memastikan acara yang dilaksanakan adalah secara tertib, berhemah dan berkualiti.

“Semua acara hendaklah mematuhi Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu bagi menjaga sensitiviti tempatan, keharmonian masyarakat dan imej Islam sebagai dasar negeri,” katanya

Selain itu, beliau berkata, setiap penganjur juga perlu menitikberatkan aspek keselamatan, kebersihan, kelestarian alam dan penglibatan komuniti.

“Kita mahu pelancong bukan sahaja datang dengan rasa teruja tetapi pulang dengan rasa hormat terhadap budaya negeri kita,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menyeru pemilik premis perniagaan supaya menjaga kebersihan dan kualiti perkhidmatan, penganjur acara menitikberatkan etika penganjuran, serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memperkukuh penguatkuasaan kebersihan dan penyediaan fasiliti mesra pelancong.

Kerajaan negeri, katanya, akan terus memperkukuh kerjasama strategik bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Tourism Malaysia dalam aspek promosi antarabangsa, pembangunan produk pelancongan berimpak tinggi, infrastruktur kondusif, ekopelancongan dan pemerkasaan komuniti.

“Pendekatan ini memastikan pelancongan Terengganu berkembang secara mampan, inklusif dan memberi sumbangan jangka panjang kepada ekonomi negeri,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/12/2025

- Advertisement -