Dunia tolak Trump: FIFA dikecam, reputasi Nobel bakal tercalar?

- Advertisement -

GELOMBANG kritikan keras yang melanda Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) susulan penganugerahan Anugerah Keamanan kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menjadi bukti jelas bahawa dunia masih sangsi dan menolak kepimpinan tokoh kontroversi itu.

- Advertisement -

​Tindakan Presiden FIFA, Gianni Infantino menganugerahkan pengiktirafan julung kali diperkenalkan itu bukan sahaja mengundang padah kepada badan induk bola sepak dunia itu, malah menyingkap realiti bahawa Trump bukanlah sosok yang diterima sebagai ikon keamanan sejagat.

​Insiden ini secara tidak langsung memberi isyarat awal sangat jelas bahawa sebarang ura-ura untuk menganugerahkan Hadiah Nobel Keamanan kepada Trump adalah satu langkah yang tidak wajar dan berisiko tinggi.

​Jika anugerah daripada sebuah badan sukan pun sudah mencetuskan kemarahan global, tindakan mengangkat Trump ke pentas Nobel pasti akan menyebabkan reputasi dan kewibawaan institusi berprestij itu dipertikaikan serta dipandang serong oleh masyarakat antarabangsa.

​Ramai pihak menyifatkan tindakan FIFA itu sebagai hipokrit dan bercanggah dengan pendirian mereka selama ini di mana sering mengenakan denda serta penggantungan terhadap pemain yang memaparkan mesej politik atas alasan badan itu bersikap ‘berkecuali’.

​Bekas pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Craig Mokhiber dengan lantang menyifatkan penganugerahan tersebut sebagai sesuatu yang sungguh memalukan, apatah lagi ia berlaku ketika dunia sedang menyaksikan penderitaan di Palestin.

​“Tidak berpuas hati dengan dua tahun bersubahat dengan genosid di Palestin, Infantino dan kroninya kini mencipta ‘hadiah keamanan’ baharu demi memenangi hati Donald Trump,” kata Mokhiber.

​Kenyataan keras ini membuktikan bahawa persepsi dunia terhadap Trump masih terpalit dengan rekod buruk pentadbirannya, termasuk sokongan ketenteraan kepada rejim Israel serta dasar-dasar yang melanggar hak asasi manusia.

​Malah, masa penganugerahan itu sendiri dipersoalkan apabila ia diberikan kurang daripada 24 jam selepas pentadbiran Trump melancarkan serangan udara di Caribbean yang dilaporkan mengorbankan nyawa, sekali gus menjadikan istilah ‘keamanan’ pada anugerah tersebut sebagai satu ironi yang menyakitkan hati.

​Sentimen penolakan ini turut diterjemahkan melalui sindiran tajam wartawan bola sepak, Zach Lowy yang menyifatkan anugerah itu sebagai lelucon dengan menulis, ‘Memberi Donald Trump hadiah keamanan samalah seperti memberi Luis Suarez hadiah kerana tidak menggigit telinga orang.’

​Pengkritik hak asasi manusia, Human Rights Watch (HRW) turut membidas tindakan tersebut dengan menyatakan rekod hak asasi manusia pentadbiran Trump yang mengerikan langsung tidak mencerminkan tindakan luar biasa untuk keamanan dan perpaduan.

​Justeru, kecaman hebat yang diterima FIFA ini seharusnya menjadi pengajaran bahawa dunia tidak mudah diperbodohkan dengan anugerah kosmetik.

​Jika Jawatankuasa Nobel meneruskan sebarang pertimbangan untuk mengiktiraf Trump pada masa hadapan, mereka perlu bersedia menghadapi hakikat bahawa nilai anugerah tersebut mungkin akan hancur di mata dunia, sama seperti hilangnya hormat peminat bola sepak terhadap prinsip neutraliti FIFA. – HARAKAHDAILY 13/12/2025

- Advertisement -