Sekat umur guna media sosial: Wajar ikut Australia

Larang bawah 16 tahun

Australia menjadi negara pertama di dunia melaksanakan larangan kanak-kanak bawah 16 tahun mengakses media sosial berkuat kuasa sepenuhnya pada 10 Disember 2025.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil menyifatkan langkah Australia melarang kanak-kanak bawah 16 tahun mengakses media sosial sebagai perkembangan besar yang perlu diberi perhatian serius oleh Malaysia.

Beliau berkata, Australia menjadi negara pertama di dunia melaksanakan larangan itu yang berkuat kuasa sepenuhnya pada 10 Disember 2025 dan kini mendapat sambutan hangat dalam kalangan ibu bapa.

- Advertisement -

“Ini bukan sahaja mendapat sambutan hangat daripada ibu bapa, malah dilihat sebagai titik perubahan besar dalam usaha melindungi generasi muda daripada kesan buruk dunia digital.

“Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, menyifatkan hari pelaksanaan undang-undang itu sebagai ‘hari membanggakan buat keluarga Australia’.

“Baginya, dasar yang digubal ini adalah bukti bahawa kerajaan mampu bertindak tegas mengatasi bahaya maya yang berkembang lebih pantas berbanding undang-undang tradisional.

“Dalam satu mesej ringkas kepada kanak-kanak yang terjejas, beliau menggalakkan mereka kembali kepada aktiviti sihat, bermain sukan, mencuba alat muzik baharu atau membuka buku yang sudah sekian lama tersimpan di rak,” ujarnya dalam media sosial miliknya.

Larangan berkenaan jelasnya memberi kesan kepada kira-kira satu juta pengguna bawah umur, dengan platform seperti TikTok, Instagram, Facebook, YouTube dan Snapchat diwajibkan menyekat akses atau berdepan denda hampir AU$50 juta.

Khairul Faizi Ahmad Kamil

“Undang-undang ini dikenali sebagai Online Safety Amendment (Minimum Age for Social Media) Act 2024 dan meletakkan tanggungjawab pematuhan sepenuhnya pada syarikat teknologi, bukan ibu bapa, bukan pengguna bawah umur,” terangnya.

Beliau berkata, meskipun akses ke platform media sosial arus perdana disekat, Australia masih memberikan pengecualian untuk aplikasi pendidikan seperti Google Classroom, YouTube Kids serta aplikasi sokongan kesihatan mental dan aplikasi pesanan seperti WhatsApp dan Messenger Kids.

Menurutnya, sekatan itu tidak bertujuan menutup dunia digital sepenuhnya tetapi menyekat ruang yang memberi impak negatif terhadap kesihatan mental remaja.

“Langkah ini bukan sesuatu yang dibuat secara tergesa-gesa. Sejak tahun 2021 lagi, kerajaan Australia sudah merancang penguatkuasaan ketat berkaitan umur pengguna media sosial.

“Rang undang-undang awal ketika itu menekankan keperluan kebenaran ibu bapa dan meletakkan denda besar kepada syarikat teknologi yang gagal mengutamakan keselamatan kanak-kanak.

“Krisis kesihatan mental remaja, penyebaran maklumat palsu, buli siber dan tekanan imej tubuh menjadi faktor utama kerajaan memutuskan bahawa had umur bukan lagi sekadar nasihat tetapi perlu diwajibkan,” hujahnya.

Khairul Faizi berkata, seluruh dunia kini memerhati perkembangan tersebut yang dilihat sebagai penanda aras antarabangsa dalam usaha kerajaan mengawal gergasi teknologi demi melindungi generasi muda, manakala banyak negara lain bergelut melaksanakan mekanisme penguatkuasaan yang praktikal.

Dalam nada sama, Khairul Faizi berkata Malaysia wajar menuju ke arah yang sama seperti Australia, khususnya ketika Putrajaya kini dalam proses akhir merangka kerangka perundangan di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian.

Ia yang turut mewajibkan platform menyekat pengguna bawah 16 tahun daripada membuka akaun, termasuk cadangan keperluan pengesahan umur menggunakan identiti rasmi kerajaan.

Beliau menegaskan keputusan Australia itu perlu menjadi panggilan penting kepada Malaysia memandangkan kesan ketagihan skrin, kemurungan dan buli siber semakin membimbangkan di sekolah.

“Negara perlu bergerak seiring dengan perkembangan global dalam memastikan perlindungan digital yang lebih menyeluruh kepada generasi muda.

“Larangan ini mungkin kedengaran tegas, namun ia selaras dengan tujuan utama (iaitu) mengembalikan zaman kanak-kanak kepada kanak-kanak.

“Memastikan mereka membesar dalam persekitaran lebih sihat, stabil dan bebas daripada tekanan media sosial yang semakin tidak terkawal.

“Jika Australia berani memulakan langkah pertama, Malaysia tidak boleh ketinggalan. Demi keselamatan, kesejahteraan dan masa depan anak-anak kita, peraturan lebih ketat dalam penggunaan media sosial bukan lagi pilihan tetapi satu keperluan mendesak nasional,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/12/2025

- Advertisement -