Kedah solidariti Perlis, sumbang pek makanan

Mohd Shukri dan Ahmad Yahaya dalam Majlis Serahan Pek Bakul Makanan kepada mangsa-mangsa banjir di Perlis.
- Advertisement -

KANGAR: Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) Negeri Kedah tampil menzahirkan solidariti apabila menyumbang pek makanan kepada mangsa banjir di Perlis melibatkan kawasan Parlimen Kangar, Arau dan Padang Besar dalam satu Majlis Serahan Pek Bakul Makanan.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya berkata, Kedah turut pernah melalui ujian banjir yang berat seperti dialami rakyat Perlis, bahkan pernah berdepan musibah lebih besar seperti fenomena kepala air di Jerai.

“Kedah pernah lalui ujian banjir yang sama juga dengan tuan-tuan di Perlis, cuma untuk kali ni Perlis teruk sikit berbanding Kedah.

“Pernah di Jerai, antara musibah terbesar adalah fenomena kepala air. Hat (Yang) duduk tempat rendah kena banjir, hat duduk tempat tinggi pun kena banjir dia mai kepala air dari atas bukit,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Menurut beliau, ketika musibah tersebut berlaku ramai penduduk hanya mampu termenung melihat rumah dipenuhi selut, namun Allah mendatangkan bantuan melalui keprihatinan masyarakat seluruh negara.

“Seluruh negara turun memberi pelbagai bentuk sumbangan. Jadi hari ini, atas rasa yang sama, bila orang prihatin kepada kami di Kedah, kami juga prihatin kepada tuan-tuan di Perlis,” ujar beliau.

Katanya, walaupun sumbangan yang dibawa tidak banyak, namun ia simbol ingatan dan solidariti sesama rakyat.

“Orang kata banyak tanda ada, sikit tanda ingat, jadi kami hadir hari ini sebagai tanda ingat. Apa pun ujian, walaupun berat, bila kita tengok apa berlaku di Hatyai dan Aceh, rupa-rupanya depa lebih dahsyat dari apa yang kita alami,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat berucap ketika hadir di Dewan Residensi, Kediaman Menteri Besar Perlis, di sini semalam.

Sementara Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dalam ucapannya di majlis yang sama menyifatkan kehadiran bantuan dari negeri jiran itu sebagai lambang ukhuwah yang tidak ternilai.

“Keprihatinan orang Kedah susah kita nak ‘habaq’ (ungkap), depa boleh himpun barang-barang, ‘mai’ (mari) tolong kita.

“Khidmat Malaysia mai tolong repair motosikal, cuci rumah dan masak makanan beribu. Motosikal berapa ratus depa tolong ‘repair’ bagi kita. Sukarelawan dari seluruh Malaysia mai termasuk Kedah tolong kita,” ujarnya dengan penuh rasa terharu.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Khidmat Malaysia, Ustaz Nurul Amin Hamid dalam ucapannya berkata, banjir bermula 23 November lalu melibatkan Perlis, Kedah, Perak, Terengganu, Pahang dan Kelantan, telah menggerakkan lebih 3,500 sukarelawan ke lapangan.

“Antara usaha besar yang telah dilaksanakan katanya, termasuk Program Cuci Perdana pada 6–7 Disember di Perlis yang melibatkan operasi pembersihan besar-besaran di rumah mangsa banjir,” ujarnya.

Selain itu menurut beliau, bantuan makanan turut digerakkan secara meluas melalui agihan 30,000 pek makanan serta 5,000 bakul makanan yang diserahkan kepada keluarga terjejas di seluruh negara.

Dalam masa yang sama, katanya lagi, Program Service and Start motosikal dijalankan bersama Alternatif Riding Club (ARC) Malaysia bagi membantu mangsa yang motosikal mereka rosak akibat banjir.

“Hasilnya, sebanyak 121 buah motosikal berjaya dihidupkan semula melalui operasi servis dan baik pulih tersebut, sekali gus memudahkan penduduk kembali menjalani rutin harian.

“Antara program utama kita adalah mencuci rumah mangsa, menyampaikan pek makanan serta membaiki motosikal yang tenggelam banjir,” katanya.

Majlis serahan itu turut mendapat kehadiran pimpinan negeri, antaranya Pesuruhjaya PAS Perlis, Tuan Guru Ahmad Ali, Ahli Parlimen Arau, Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim, Ahli Parlimen Kangar, Zakri Hassan serta Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Sabri Azit.

Turut hadir ialah pimpinan negeri serta wakil-wakil NGO yang bersama-sama menyatakan sokongan terhadap usaha membantu mangsa banjir dan memulihkan kehidupan komuniti yang terjejas. – HARAKAHDAILY 11/12/2025

- Advertisement -