
LEDAKAN angka pengangguran belia, peningkatan kes muflis dalam kalangan anak muda, serta kewujudan pekerjaan tidak stabil seperti ekonomi gig, sedang mengesahkan satu hakikat pahit bahawa Malaysia sedang mengalami krisis belia paling serius sejak dua dekad lalu.
Walaupun kerajaan terus mengumumkan potensi pelaburan asing (FDI) bernilai berbilion ringgit, namun realiti generasi muda tetap tidak berubah. Mereka masih berdepan peluang pekerjaan yang sempit, gaji rendah dan masa depan ekonomi semakin kabur.
Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada suku kedua 2025 menunjukkan kadar pengangguran belia berusia 15 hingga 24 tahun kekal tinggi pada 9.9 peratus, melibatkan lebih 290,000 individu. Angka ini bukan sekadar statistik ia menandakan kegagalan pasaran buruh menyediakan ruang kemasukan yang adil kepada tenaga muda.
Lebih membimbangkan apabila data Jabatan Insolvensi yang dibentangkan di Parlimen mendedahkan 18 rakyat Malaysia diisytiharkan bankrap setiap hari, dengan majoritinya berusia bawah 30 tahun.
Dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini sahaja, 4,875 kes muflis direkodkan, satu peningkatan 5.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. Bererti, di sebalik retorik pemerkasaan ekonomi, generasi muda negara ini sebenarnya berada di ambang kejatuhan kewangan.
Krisis ini semakin ketara apabila FDI yang diumumkan kerajaan tidak sejajar dengan peluang pekerjaan sebenar. Data Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menunjukkan hanya 7 hingga 9 peratus pelaburan baharu diterjemahkan kepada pekerjaan.
Pengumuman angka pelaburan yang besar di sidang media mungkin memukau khalayak, namun tidak membawa erti jika ia tidak mencipta pekerjaan untuk rakyat. Dalam perbahasan di Dewan Rakyat, beberapa Ahli Parlimen pembangkang menegaskan bahawa pelaburan yang tidak menghasilkan pekerjaan hanyalah ‘ilusi pertumbuhan’, bukan pembangunan yang memihak kepada rakyat.
Fenomena jawatan kosong ‘tersembunyi’ yang timbul daripada laporan beberapa kesatuan pekerja pula menambahkan lagi keresahan. Wujudnya iklan jawatan yang tidak benar-benar dibuka kepada pencari kerja, atau hanya digunakan sebagai formaliti sebelum jawatan diisi individu tertentu, menunjukkan ketidaktelusan pasaran kerja negara.
Keadaan ini secara langsung menafikan hak anak muda kepada akses peluang pekerjaan yang saksama. Ketika ruang kerja formal semakin mengecil, pekerjaan gig menjadi talian hayat. Namun pekerjaan gig tidak lain hanyalah bentuk kapitalisme baharu yang mengalihkan risiko kepada pekerja.
Laporan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menunjukkan pendapatan bersih pekerja gig di Asia Tenggara adalah 30 hingga 50 peratus lebih rendah setelah ditolak kos operasi.
Tanpa perlindungan sosial, tanpa jaminan pendapatan dan tanpa struktur kerjaya, generasi muda Malaysia kini terperangkap dalam pekerjaan yang tidak menjanjikan masa depan.
Kenyataan Prof Dr Nazari Ismail dari Universiti Malaya bahawa pengangguran belia ialah ‘bom jangka sosial’ bukanlah hiperbola, tetapi refleksi terhadap keadaan semasa yang sangat meruncing.
Cadangan kerajaan untuk menaikkan umur persaraan kepada 65 tahun turut menimbulkan pertanyaan dasar yang besar. Data DOSM menunjukkan 33 peratus pekerjaan profesional masih diisi mereka berusia 55 tahun ke atas.
Jika umur persaraan dilanjutkan tanpa reformasi pasaran kerja, maka akses anak muda kepada pekerjaan berkemahiran tinggi akan semakin tertutup. Negara seperti Jepun menaikkan umur persaraan kerana automasi mencipta pekerjaan baharu; Malaysia pula bercakap tentang menaikkan umur persaraan ketika pekerjaan berkepakaran sedia ada pun tidak mencukupi untuk menampung graduan.
Dalam pendidikan, ketidaksesuaian antara bidang pengajian dan kehendak industri terus menghantui. Laporan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2024 mendapati hanya 66 peratus graduan memperoleh pekerjaan dalam tempoh enam bulan.
Pembiayaan latihan kemahiran pula hanya memenuhi 18 peratus permintaan industri menurut MyFutureJobs 2025. Pada masa yang sama, kebergantungan negara kepada 1.8 juta pekerja asing berdaftar menunjukkan bahawa masalah kekurangan pekerja mahir tempatan bukan kerana belia tidak mahu bekerja, tetapi kerana sistem gaji dan latihan negara tidak selaras dengan realiti tenaga kerja.
Tekanan ekonomi ini memaksa sebahagian anak muda mencari pekerjaan di luar negara, membuka ruang kepada sindiket penipuan. Statistik PDRM mengesahkan 1,253 rakyat Malaysia menjadi mangsa ‘job scam’ sejak 2022, kebanyakannya kerana mereka melihat peluang di luar negara lebih meyakinkan daripada peluang di tanah air sendiri.
Betapa ironinya apabila sebuah negara yang mengumumkan pelaburan bernilai berbilion ringgit gagal memastikan keselamatan ekonomi rakyat mudanya.
Dalam menghadapi semua ini, beberapa cadangan penyelesaian pernah dibentangkan oleh PAS dan Perikatan Nasional, termasuk penyediaan insentif kepada majikan yang menggaji belia tempatan. Juga pembiayaan penuh TVET, pembentukan Dana Mobiliti Belia, jaminan pekerjaan untuk sektor kritikal, dan reformasi menyeluruh pasaran buruh untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.
Cadangan-cadangan ini berpaksikan keadilan sosial dan memfokuskan pemerkasaan anak muda sebagai aset strategik negara.
Hakikatnya, analisis terhadap data dan fakta ini membawa kepada kesimpulan yang lebih mendalam bahawa Malaysia sedang bergerak dalam arah pembangunan yang tidak berpaksikan manusia.
Pembangunan yang tidak mengangkat masa depan belia bukan pembangunan, tetapi kegagalan moral sebuah negara. Generasi muda bukan sekadar tenaga kerja, akan tetapi mereka ialah masa depan ekonomi, politik dan sosial negara.
Selagi 290,000 anak muda menganggur, selagi 18 rakyat bankrap setiap hari, selagi peluang kerja berkualiti tidak tercipta, dan selagi belia terus hidup dalam ketidaktentuan, selagi itulah negara sedang kehilangan masa depannya sendiri.
Masa depan Malaysia tidak boleh dibina di atas angka pelaburan yang tidak bermakna, tetapi di atas dasar yang menjamin maruah dan harapan generasi mudanya.
Kerajaan Madani tampak tidak memberikan keutamaan yang tuntas terhadap krisis belia ini, mungkin kerana perhatian pentadbiran terpecah di antara terlalu banyak isu merentasi pelbagai kementerian. Natijahnya, nasib dan masa depan belia kelihatan seakan-akan tergolong dalam isu picisan yang mudah tercicir daripada radar dasar negara.
Sedangkan hakikatnya, kedudukan belia dalam aspek kewangan, pekerjaan dan kestabilan ekonomi merupakan penentu arah masa depan negara.
Jika keperluan generasi muda ini tidak diurus dengan penuh kesungguhan, tidak diperkasa melalui dasar yang menyeluruh, dan tidak disambut dengan sokongan kerajaan berpihak kepada mereka, maka negara akan kehilangan teras kekuatannya iaitu generasi yang sepatutnya mewarisi dan memajukan masa depan Malaysia.
IQMAN IBERAHIM – HARAKAHDAILY 11/12/2025











