‘Tindakan saya tertakluk kepada arahan Speaker’

Takiyuddin Hassan
- Advertisement -

RIZAL TAHIR

KOTA BHARU: Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan segala tindakan beliau sebagai ahli dewan hanya tertakluk kepada arahan yang dikeluarkan oleh Speaker Dewan Rakyat.

Katanya, sehingga kini beliau belum menerima sebarang arahan rasmi atau surat panggilan daripada Speaker berkaitan prosiding yang cuba dirujuk terhadap dirinya.

- Advertisement -

“Saya tertakluk kepada arahan Speaker sebagai ahli dewan dan setakat ini saya belum mendapat apa-apa arahan ataupun petua daripada Speaker,” katanya.

Beliau mengulas demikian ketika ditanya oleh wartawan selepas majlis perasmian Program Tahunan Jalinan Budaya dan Pertandingan Masakan Tradisional Kelantan 2025 di Dewan Perniagaan Cina, di sini.

“Walaupun Kabinet dikatakan sudah membuat keputusan, saya masih menunggu arahan daripada Speaker kerana beliau yang berkuasa,” katanya.

Menurutnya, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang akan mendengar kes itu dipengerusikan Speaker bersama beberapa ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang.

Setakat ini katanya, beliau belum menerima sebarang arahan untuk hadir ke jawatankuasa berkenaan.

Takiyuddin menyifatkan perkembangan itu sebagai sesuatu yang pelik dan tidak pernah berlaku, khususnya apabila isu Parlimen dibincangkan dalam mesyuarat kabinet.

“Saya tak pernah dengar Kabinet masuk campur perkara Parlimen. Benda berlaku dalam dewan, arahan mesti datang daripada Speaker. Saya pun tak faham bagaimana perkara ini boleh dibawa ke Kabinet. Itu kena tanya pihak sana,” katanya lagi.

Mengulas cubaan awal untuk menggantung beliau selama enam bulan, Takiyuddin berkata ia bermula apabila Ahli Parlimen Pulai menulis surat kepada Speaker untuk merujuknya ke jawatankuasa.

Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri kemudian membawa usul untuk menjatuhkan hukuman secara terus di dalam dewan tanpa melalui jawatankuasa tersebut.

Namun, ketika perbahasan berlangsung, usul itu ditangguhkan dan sehingga kini tiada keputusan selanjutnya diterima.

“Ahli Parlimen kerajaan sendiri pun memberi isyarat bahawa prosedur itu tidak betul. Cuma perbahasan ditangguhkan sebelum undian dapat dibuat,” jelasnya.

Takiyuddin menegaskan bahawa sehingga Speaker mengeluarkan arahan rasmi, beliau kekal tertakluk kepada aturan undang-undang dan proses dewan seperti biasa. – HARAKAHDAILY 8/12/2025

- Advertisement -