PRU16: PAS, BERSATU sedia ambil alih Kerajaan Selangor

- Advertisement -

KUALA SELANGOR: Perikatan Nasional (PN) Selangor kini berada pada landasan terbaik dengan hubungan antara PAS dan BERSATU disifatkan akrab dan harmoni dalam misi menawan negeri itu pada pilihan raya umum akan datang.

- Advertisement -

​Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ab Halim Tamuri berkata, kerjasama erat antara rakan komponen PN termasuk GERAKAN akan terus diperkukuh bagi mengekalkan momentum sokongan rakyat.

​Mengulas mengenai desas-desus kononnya wujud keretakan hubungan antara parti komponen, beliau menafikan perkara tersebut dan menegaskan bahawa perbincangan sentiasa berjalan dengan baik dalam suasana mahabbah.

​”Alhamdulillah di Selangor, hubungan kami dengan BERSATU sangat baik dan kami sangat rapat. Semalam pun kami hadir program bersama Yang Berhormat (YB) Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali (Pengerusi PN Selangor).

​”Kami berbincang secara santai dan seronok. Apa juga isu berbangkit akan terus kita sama-sama bantu selesaikan dan memastikan PN terus mengekalkan momentum,” katanya.

​Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Munaqashah Ucapan Dasar Presiden PAS ke-71 yang dihadiri kira-kira 500 jentera parti dari seluruh negeri Selangor, di sini semalam.

​Program tersebut turut dihadiri oleh Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Amar DiRaja Mohd Amar Abdullah selaku pembentang.

​Dr Halim menegaskan, fokus utama jentera parti ketika ini adalah memperkukuhkan gerak kerja dan membawa isu rakyat, bukannya perihal berebut jawatan.

​”Dalam isu siapa ketua, kami di Selangor tertakluk kepada keputusan di peringkat pusat. Kami berpegang kepada prinsip ‘sami’na wa ato’na’ (kami dengar dan kami taat).

​”Apa yang diarahkan oleh pimpinan pusat, kami akur. Insya-Allah kami yakin PN bersama rakan-rakan komponen akan terus ke depan untuk memastikan negeri Selangor pada penggal hadapan akan kami ambil alih,” ujarnya penuh yakin. – HARAKAHDAILY 8/12/2025

- Advertisement -