DPRK diperluaskan kepada semua sekolah dikelola YIK

Mohd Nassuruddin Daud
- Advertisement -

MUHAMMADA ARIF ISMAIL

KOTA BHARU: Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud meminta agar Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan (DPRK) dilaksanakan pada semua sekolah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK).

Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa komited untuk memperkasakan agenda pendidikan agama melalui pengukuhan dasar tersebut, bahkan memantau perkembangan pelaksanaannya dari semasa ke semasa.

- Advertisement -

Menurutnya, usaha itu dilaksanakan ketika kes buli menunjukkan trend peningkatan yang membimbangkan sejak beberapa tahun lalu selain langkah pencegahan sedang giat dilakukan oleh pihak berkuasa.

“Saya mengharapkan dasar ini dilaksanakan dengan menyeluruh kerana ia telah pun melalui fasa awal dan usaha ini sangat penting untuk menangani segala kebejatan dan permasalahan sosial ketika ini.

“Lebih dari itu kita mahu melihat generasi yang akan dilahirkan nanti menepati ciri-ciri generasi rabbani yang mampu melaksanakan tuntutan dakwah dan memperjuangkan agama Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian pada Sambutan Hari Yayasan Islam Kelantan di Dewan Tok Guru Bentara Setia, Kompleks Kota Darulnaim, di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat dan Pengarah YIK, Zulkifle Ab Rahman.

Media sebelum ini melaporkan, sebanyak 10 sekolah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) dipilih bagi menerapkan Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan (DPRK) dalam proses pembelajaran dan pengajaran.

Antara sekolah perintis seperti Maahad Muhammadi Lelaki, Maahad Muhammadi Perempuan, Maahad Muhammadi Tumpat, Maahad Syamsul Maarif Perempuan Machang dan Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah.

Selain itu Maahad Pengajian Islam Kota Bharu, SMU (A) Al-Ittihadiah Ketereh, Maahad Tarbiah Mardhiah Panchor, SMU (A) Tarbiah Islamiah Chabang Empat dan SMU (A) Nurul Huda, Kajang Sebidang di Tumpat.

Dalam pada itu Mohd Nassurudin berkata, hasrat tersebut tidak terhenti di sekolah YIK sahaja, malah turut diperluaskan kepada Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS).

Menurutnya institusi pengajian tinggi dibawah kerajaan negeri itu terus diperkasakan termasuk menawarkan pendidikan bukan sahaja peringkat sijil dan diploma tetapi juga Doktor Falsafah (PhD). – HARAKAHDAILY 8/12/2025

- Advertisement -