Henti main politik tukar MB, rakyat sedang susah

Halim Tamuri
- Advertisement -

NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KUALA SELANGOR: PAS Selangor mengingatkan semua pihak supaya mengurangkan permainan politik termasuk spekulasi pertukaran Menteri Besar, sebaliknya menumpukan perhatian kepada rakyat yang sedang bergelut dengan masalah banjir dan kos sara hidup.

- Advertisement -

​Mengulas mengenai ura-ura nama Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar disebut-sebut bakal mengisi jawatan tersebut, Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ab Halim Tamuri berkata, isu itu bukan keutamaan bagi Perikatan Nasional (PN) dan rakyat pada masa ini.

​Tegasnya, kuasa melantik Menteri Besar adalah hak mutlak Sultan Selangor dan semua pihak perlu menghormati prerogatif Baginda.

​”Saya rasa kurangkan politik pada masa ini. Rakyat sedang sengsara. Teruskan dengan menjaga rakyat. Soal Menteri Besar ini biarlah kita serahkan kepada pimpinan pusat dan penentunya adalah kuasa mutlak Tuanku Sultan.

​”Maksudnya sekarang ini, kalau nak tukar (Menteri Besar), pada saya ini bukan masanya. Ini masa rakyat tengah susah dengan banjir, dengan kos sara hidup tinggi,” katanya pada sidang media selepas Munaqasyah Ucapan Presiden PAS ke-71 di sini, semalam.

​Menurutnya, PN mengambil pendirian untuk tidak mencampuri urusan dalaman parti lawan, namun menegaskan bahawa Selangor berhak mendapat tadbir urus yang lebih baik (‘Selangor Deserves Better’).

​”Nanti lima tahun (pilihan raya), kalau mereka nak cadang, cadanglah. Itu hak mereka. Bagi kami dalam PN, apa yang penting rakyat terbela. Siapa yang memerintah itu soal kedua, yang penting tanggungjawab dilaksanakan sebaik mungkin,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 8/12/2025

- Advertisement -