
PEMESONGAN fakta oleh kolonial dalam sejarah Malaysia perlu diluruskan secara adil dan saksama dengan berakarkan sejarah Melayu. Bertitik tolak dari atribut Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor membuat tuntutan hak pajakan Pulau Pinang ke mahkamah bukan semata-mata persoalan kewajaran nilai ekonomi yang sepatutnya dibayar kerajaan Persekutuan tetapi menjunjung titah Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang menzahirkan keperluan sejarah Kedah yang merangkumi pemilikan wilayah dan rekod sejarah Pulau Pinang dalam peta sejarah negara.
Pulau Pinang dipajak oleh Sultan Kedah kepada Syarikat Hindia Timur Inggeris pada tahun 1786. Pajakan itu tidak pernah dibatalkan secara rasmi. Malah, selepas kemerdekaan, kerajaan Persekutuan meneruskan bayaran simbolik RM10,000 setahun kepada Kedah dan tambahan pemberian khas RM10 juta setahun bermula 2018. Tuntutan Kedah itu atas penemuan lebih 20,000 dokumen sejarah, di beberapa premis arkib berkuasa di negara asing termasuk dokumen di Perpustakaan British. Pada 2021, Kedah menuntut bayaran pajakan sebanyak RM100 juta setahun kerana ia tidak pernah dinilai semula sejak lebih dua abad lalu.
Indikator pajakan dan pemilikan wilayah perlu dirinci teliti dan cermat menerusi rekod sejarah dan dokumen rasmi termasuk perjanjian-perjanjian di antara British, Siam, kerajaan-kerajaan Melayu serta triti berkaitan yang disimpan di arkib antarabangsa.
Penulis menggarap artikel dari sudut pandang perilaku masyarakat, iaitu psiokososio atas jejak waktu Menteri Besar Kedah, telah memuktamadkan lantikan pasukan peguam bagi meneruskan proses perundangan berkaitan isu pajakan Pulau Pinang.
Menoleh sejarah silam masyarakat imigran bukan dari benua Sunda khusus orang Cina dikuarantin di pulau St. John Singapura semasa mereka datang ke Tanah Melayu kerana musibah, bencana alam, Perang Candu dan penindasan di negara asal. Malah penguasa China mengenakan hukuman lebih keras seperti menetapkan hukuman bunuh imigran yang kembali ke negara asal.
Kompas imigran Yahudi pula memasuki tanah Palestin kerana kekejaman bangsa Eropah yang menyebabkan mereka melarikan diri tanpa membawa keperluan hidup kecuali pakaian kendiri sebagai pelarian. Penderitaan orang Yahudi, menarik empati pribumi Arab Palestin menerima pelarian sebagai keluarga dan diberi kemudahan keperluan hidup termasuk tempat tinggal, kerakyatan dan kekayaan. Sifat murah hati penduduk Palestin yang memberi tanpa batas dan berbuat baik tanpa jeda hingga bangsa Yahudi khusus Zionis Israel menzalimi warga Palestin malah mengaku pula Palestin tanah asal Yahudi.
Kisah dan teladan rakyat Palestin sinonim pribumi Melayu yang memberi tanpa berpada-pada hingga isu pajakan Pulau Pinang dibangkitkan Kedah terarah pada penilaian semula pajakan bukan tuntutan kedaulatan negeri semata-mata kerana sejarah, perjanjian-perjanjian serta dokumen-dokumen lama meskipun hayat ratusan tahun tersimpan sama ada di National Archive di London, Congress Library di Amerika Syarikat atau di India tetap port undang-undang bukan garis massa untuk menentukan kesahihan dan kesan perjanjian.
Segala triti-triti di antara Siam dan British, Tanah Melayu dan Kesultanan Melayu boleh ditentukan mahkamah yang merupakan ‘final arbiter’ dalam menentukan sama ada Kedah berhak terhadap tuntutan apalagi prosesnya disokong dokumen sahih dan rapi sebagai bukti di samping kompeten dan upaya analisis data dan fakta oleh saf peguam.
Sumber massa oleh ahli sejarah, menyatakan bahawa pajakan adalah warisan kolonial yang sudah lupus secara praktikal. Peguam yang arif tentang perlembagaan mengemukakan laras undang-undang, iaitu Pulau Pinang adalah negeri berdaulat dalam Persekutuan Malaysia, disenaraikan dalam Perkara 1(2) Perlembagaan. Manakala ahli politik pula merekayasa upaya idea konstruktif suatu peluang untuk menuntut keadilan sejarah dan ekonomi menjadi wadah rubrik tuntutan wilayah di Persekutuan Malaysia.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak mempunyai kewajipan untuk membayar sebarang bentuk sewaan, pampasan atau bayaran kepada Kedah sebagai memetik kenyataan Chow Kon Yeow, Ketua Menteri Pulau Pinang. Baginya Pulau Pinang sebagai sebuah negeri berdaulat dalam Persekutuan Malaysia adalah jelas dan termaktub dalam Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan yang menyenaraikan negeri tersebut setaraf dengan negeri-negeri lain. Malahan Kerajaan Negeri Pinang Pinang menolak sekeras-kerasnya sebarang naratif, provokasi atau mesej kebencian yang dimainkan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab sehingga mampu menggugat keharmonian awam.
Namun pajakan Pulau Pinang dan pemberian pampasan terhadap pengambilan sumber air mentah daripada Sungai Ulu Muda harus ada semakan dan timbal balik. Dengan merujuk dokumentasi sejarah yang ditulis oleh sarjana R. Bonney bertajuk “Kedah 1771-1821: The Search for Security and Independence”.
Perjanjian 1869 antara British dan Kedah serta peruntukan Perkara 167(7) dan Perkara 169(a) Perlembagaan Persekutuan, apa-apa komitmen bayaran tahunan yang wujud pada zaman pentadbiran British telah berpindah menjadi tanggungjawab kerajaan Persekutuan dan bukan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Sementara mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, tuntutan itu wajar dipertimbangkan kerana kerajaan Persekutuan telah mengambil alih peranan British dalam membuat bayaran tahunan bagi tanah Pulau Pinang yang ketika itu berjumlah RM100,000 setahun.
Manakala Menteri Besar Kedah menegaskan pasukan pengkaji dan peguam yang dilantik meneliti tuntutan untuk dijadikan Pulau Pinang sebagai Wilayah Khas Kedah bukan datang daripada kerajaan negeri tetapi telaah sarjana sejarah, Profesor Datuk Ahmad Murad Merican, iaitu Pengarah Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Beliau mengemukakan pandangan pada forum ‘Merungkai Polemik Persejarahan Malaysia: Antara Fakta dan Tafsiran’. Dalam hal dimaksudkan merujuk model Hong Kong bawah pentadbiran khas China sinonim Pulau Pinang dijadikan Wilayah Khas Kedah dengan pentadbiran diletak di bawah Kedah tetapi struktur institusi, ekonomi dan politik kekal di Pulau Pinang.
Tambahnya lagi sejarah Pulau Pinang tidak pernah muncul sebagai sebuah entiti berdaulat tetapi seluruh sejarah awal Pulau Pinang hakikatnya berpaksikan kedaulatan Kesultanan Kedah sejak sekurang-kurangnya abad ke-17. Ini kerana Pulau Pinang ‘ditemui’ oleh Kapten Francis Light pada 1786 hanya mitos kolonial dalam buku teks dan penulisan sejarah peradaban negara yang popular bagi menghilangkan sejarah ketamadunan Melayu. Malahan sumber Melayu dan dokumen perjanjian British termasuk lebih 2,000 surat-surat Light membuktikan wilayah itu berada bawah kekuasaan Sultan Abdullah Mukarram Shah yang merupakan Sultan Kedah ketika itu.
Naratif kolonial melukis tahun 1786 sebagai titik lahirnya Pulau Pinang tetapi hakikatnya pencerobohan Light ke atas negeri Melayu berdaulat, bukan permulaan sebuah entiti politik baharu. Naratif kehadiran British di Pulau Pinang hanya bermula pada 1791 apabila wujud dokumen pajakan rasmi, bukan 1786 seperti tercatat dalam kebanyakan buku teks.
Pemesongan fakta sejarah menyisihkan sejarah warisan Kesultanan Melayu dan menghakis sejarah penduduk asal dan pribumi dalam pembinaan negara bangsa. Sejauhnya membentuk persepsi salah seolah-olah Pulau Pinang berkembang sebagai ‘koloni bebas’ yang tidak mempunyai hubungan susur galur dengan Kedah.
Massa menaruh kebimbangan terhadap kecelaruan sejarah negara kerana ahli sejarah berantakan mempertahan perspektif masing-masing’ terutama dominasi sudut pandang prokolonial yang menjunjung Light sebagai pengasas Pulau Pinang, sekali gus menafikan hakikat sejarah bahawa Kedah memiliki kedaulatan penuh sebelum campur tangan British.
Dalam hal ini, kerajaan perlu mempertimbangkan penubuhan Suruhanjaya Sejarah Nasional yang berpaksikan sejarah pribumi dan mempunyai kuasa autonomi seperti Suruhanjaya Sejarah Filipina sebagai mekanisme meluruskan fakta, menimbang, mengadili dan menetapkan semula kerangka sejarah negara secara objektif bukan sekadar penganjur wacana internal dan global tetapi parameter solusi isu tuntutan Pulau Pinang–Kedah, pertikaian pendudukan awal sejarah Kuala Lumpur dan pelbagai isu ras etnik.
Oleh itu, sejarah Melayu perlu berakar entiti masyarakat Melayu dan institusi peribumi secara eksklusif sebelum hak inklusif pelbagai kaum.

DR ZULKEFLEE YAACOB
Psikososio @ Pakar Penasihat Wanita Kelantan – HARAKAHDAILY 7/12/2025











