Jemaah Menteri tidak berhak campuri Parlimen

Dr Abd Ghani Ahmad
- Advertisement -

PADA 5 Disember lalu, Jemaah Menteri telah memutuskan Ahli Parlimen Kota Bharu dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan. Kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) dan Menteri Dalam Negeri.

- Advertisement -

Kedua-dua kenyataan tersebut memberikan gambaran bahawa Jemaah Menteri telah membincangkan secara rasmi dan membuat keputusan tersebut. Urusan Parlimen harus diputuskan dalam Parlimen sahaja.

Sewajarnya urusan Parlimen hanya diputuskan oleh Yang di-Pertua selaku Ketua Parlimen. Ketua Parlimen bukan Anggota Eksekutif pentadbiran atau pegawai kerajaan.

Negara kita mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan. Terdapat tiga cabang pemisahan kuasa antara judiciary (Kehakiman), legislative (Parlimen) dan executive (Kerajaan).

Masing-masing menjalankan bidang tugas dan mempunyai punca kuasa tertentu. Punca kuasa Yang di-Pertua dan Ahli Parlimen adalah tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan, Peraturan Dewan (standing order) dan budi bicara Yang di-Pertua yang mana keputusan dan petua-petuanya adalah muktamad seperti yang termaktub dalam Perkara 99, Peraturan Dewan.

Isunya, bolehkah Jemaah Menteri memutuskan Ahli Parlimen Kota Bharu dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan?

Secara tersiratnya, adakah Jemaah Menteri boleh mengarahkan Yang di-Pertua melaksanakan arahan Jemaah Menteri tersebut?

Jawapannya, tidak boleh. Mengapa tak boleh? Tak boleh sebab Yang di-Pertua bebas menentukan perjalanan mesyuarat, urusan perbahasan, kelayakan usul dan tindakan disiplin, tanpa arahan daripada Jemaah Menteri.

Jemaah Menteri hanya boleh mencadangkan usul, meminta giliran berucap atau memohon sesuatu prosedur tetapi Yang di-Pertua tidak wajib mematuhi permintaan itu jika bercanggah dengan Peraturan Dewan.

Prinsip Parliamentary Privilege memberi perlindungan kepada Parlimen daripada campur tangan Eksekutif.

Jika Jemaah Menteri boleh mengarahkan Yang di-Pertua, ia bercanggah dengan konsep ini.

Dr Abd Ghani Ahmad
Ahli Parlimen Jerlun. – HARAKAHDAILY 7/12/2025

- Advertisement -