Politik baru Dr Ali?

- Advertisement -

SAYA membaca banyak komentar berkaitan dengan gaya politik Dr Aliakbar yang menang mewakili PN di Karambunai. Kesemuanya memberi pujian malah ada pesaing politik parti beliau mendakwa itu gaya politik mereka.  Kesimpulannya mereka mengakui ia politik gaya baru yang sangat menarik khususnya bagi pengundi muda. Sebagai rekod, Dr Ali adalah aktivis PAS sejak kampus, terakhir menjadi Setiausaha Badan Perhubungan PAS Sabah sebelum dilantik menjadi Pesuruhjaya PAS Sabah.

Saya tidak pasti apa yang membentuk karakter dan budaya politik Dr Ali, namun dari sejarah penglibatannya dalam PAS, sejak saya masih di lingkungan politik Sabah sekitar penghujung 90-an, beliau tidak pernah berpindah parti malah ketika krisis PAS yang melahirkan PAN, beliau tidak menyertai parti serpihan itu sekalipun tanpa segan silu ada aktivis pimpinan yang mendakwa gaya politik Dr Ali adalah gaya mereka.

Dari sudut itu ternyata  watak dan gaya politik Dr Ali adalah gaya tulen yang dibentuk PAS khasnya melalui BPMS (Budaya Politik Matang Dan Sejahtera) yang dilancarkan PAS menjelang tahun 2018. BPMS dibina di atas 9 prinsip. Sebenarnya Dr Ali telah berjaya menterjemahkan budaya BPMS  yang dibawa PAS kerana beliau bebas dari sebarang label berbanding pimpinan PAS yang lain.

- Advertisement -

Politik Sabah sangat memerlukan gaya politik baru dan Dr Ali menterjemahkan di tengah kekalutan politik Sabah ketika PRN baru-baru ini. Sabah telah lama mencari watak dan budaya baru dalam politik mereka yang menyesakkan. Di kala kemunculan suara politik kedaerahan  yang mendapat sambutan kerana merasakan didiskriminasi dalam politik nasional, Gaya politik Dr Ali tidak dapat disekat.

Timbul persoalan, jika gaya politik Dr Ali adalah gaya politik sebenar PAS, mengapa lima lagi calon PAS tidak menang malah ada yang hilang wang pertaruhan? Jawapannya ialah kerana mereka tiada kesempatan untuk membuktikannya. Dr Ali bernasib baik dapat membuktikan gaya kerja dan budaya politik pemimpin PAS melalui ADUN Lantikan. Jika lebih ramai pemimpin PAS diberi peluang sama, saya pasti bukan hanya Dr Ali seorang yang akan jadi fenomena politik baru yang terbuka di Sabah.

Fokus utama saya dalam penulisan ini ialah menyedarkan bahawa budaya politik Malaysia sudah berubah khasnya di kalangan pengundi muda. Budaya rasuah bermusim telah berlalu walaupun di kebanyakan tempat masih berlaku dan perlu. Pengundi muda sudah bijak menilai dan mengatur masa depan mereka.

Bukan hanya PAS, malah parti apapun yang memahami serta dapat memenuhi kehendak budaya baru anak muda pastinya punyai masa depan yang cerah. Budaya politik retorik, slogan palsu malah ugutan dan rasuah akan mati dalam politik masa depan negara kita. Siapa yang angkuh serta sombong dengan merasakan politik ugutan akan menundukkan anak muda, mereka sebenarnya tenggelam dalam nostalgia era politik sebelum era milenium. Era politik ceramah dengan kehadiran ribuan pendengar serta laungan semangat yang telah berakhir.

Harapan saya, gerakan Islam mesti mendahului langkah membuktikan budaya politik ini untuk meyakinkan anak muda. Jika kita gagal menterjemahkan aspirasi politik baru ini, anak muda akan menjauhi politik atau mungkin lebih rela mengundi calon bebas yang mereka yakini.

FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN – HARAKAHDAILY 7/12/2025

- Advertisement -