
IPOH: Dewan Ulamak PAS Perak mengecam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menentang tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyerbu sebuah pusat gay di Kuala Lumpur, sebaliknya pula mempertahankan parti yang dikaitkan dengan agenda songsang berteras ideologi humanisme dan liberalisme.
Ketua Penerangannya, Ustaz Muhammad Mujahid Ir Mohammad Fadzil berkata, Malaysia mempunyai kedudukan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa agama Persekutuan ialah Islam.
Namun menurutnya, terdapat gerakan terancang yang menurutnya dilakukan secara beransur-ansur untuk merobohkan kedudukan tersebut.
“Untuk merobohkan Islam, tak boleh direntap sekali gus kerana akan cetuskan penolakan. Sebaliknya ia dilakukan secara beransur dan terancang. Sudah begitu tabiatnya,” katanya dalam satu kenyataan dia media sosial.
Beliau menegaskan, gerakan itu boleh dikatakan bermula dengan dana luar sebelum wujudnya proksi-proksi termasuk NGO, ahli politik, peguam malah hakim.
“Para proksi ini akan melaungkan slogan merepek-repek yang menghairahkan, konon sebagai pejuang kebebasan.
“Slogan-slogan ini seterusnya menarik minat rakyat Malaysia dan secara beransur menjadi pejuang ideologi tersebut,” jelasnya.
Tambah beliau, perjuangan berasaskan ideologi humanisme dan liberalisme akhirnya menghala kepada ‘keruntuhan Islam itu sendiri’, apabila pemikiran Barat mempengaruhi keputusan-keputusan penting dalam pentadbiran dan struktur undang-undang negara.
“Hakim yang terkesan dengan pemikiran Barat pastinya akan buat keputusan mengikut kecenderungan itu.
“Apatah lagi ‘lawyer’ (peguam). Undang-undang mahkamah syariah boleh dibatalkan oleh mahkamah sivil, sedangkan hakim mahkamah sivil bukan semua mendalami undang-undang Islam,” jelasnya.
Mengulas peranan ahli politik, beliau berkata kecenderungan kepada pemikiran Barat boleh mempengaruhi penggubalan undang-undang.
“‘Politician’ (ahli politik) pula ada kuasa untuk gubal undang-undang. Apabila ‘politician’ itu berfikiran Barat, pastinya dia akan bersuara dan memperjuangkan undang-undang Barat. Apatah lagi tak ramai ‘politician’ yang mendalami ilmu-ilmu Islam.
“Namun apabila bersidang di Parlimen atau DUN, mereka punya kuasa untuk terima atau tolak sekalipun undang-undang Islam. Dalam aspek ini, di mana ertinya Islam sebagai agama persekutuan?” katanya.
Terdahulu, NGO Justice for Sisters (JFS) dalam kenyataannya mengecam serbuan PDRM, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sebuah pusat kesihatan di Kuala Lumpur yang menahan 201 individu serta mencabul hak privasi mereka berdasarkan diskriminasi terhadap LGBTQ.
Tindakan itu dakwanya menjejaskan usaha kesihatan awam, khususnya dalam pencegahan HIV, dan mengurangkan kepercayaan masyarakat terhadap pihak berkuasa.
JFS menuntut agar semua tahanan dibebaskan tanpa pertuduhan serta agar Kementerian Kesihatan dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) menyiasat pelanggaran hak asasi manusia yang berlaku. – HARAKAHDAILY 6/12/2025











