
ALOR SETAR: Pemuda PAS Negeri Kedah mengecam keras tindakan portal Malaysiakini yang memuat naik gambar seorang Ahli Parlimen dalam laporan berita berkaitan tohmahan rasuah sehingga memberi gambaran tidak tepat kepada masyarakat.
Ketua Penerangan Pemuda PAS Kedah, Ibrahim Ismail dalam satu kenyataan media berkata, laporan tersebut bukan sahaja mengelirukan malah menimbulkan persepsi jahat terhadap Ahli Parlimen berkenaan.
Menurut beliau, tindakan portal itu menyiarkan gambar dan menyebut nama Ahli Parlimen tersebut secara jelas seolah-olah beliau ‘penjenayah dikehendaki’, sedangkan hakikatnya beliau hanya dipanggil untuk dirakam percakapan, bukannya ditahan seperti digambarkan.
“Kami percaya laporan ini bukan sahaja memalukan beliau malah secara niat jahat (mala fide) menulis bahawa beliau diberkas, menggambarkan seolah-olah beliau seorang penjenayah dikehendaki,” katanya di sini semalam.
Ibrahim turut mempersoalkan dakwaan penahanan tersebut, memandangkan Ahli Parlimen berkenaan memuat naik video penjelasan kepada orang ramai pada petang yang sama, sekali gus menunjukkan beliau bebas bergerak.
Pemuda PAS Negeri menyifatkan tindakan portal berkenaan sebagai intimidasi dan pelanggaran serius terhadap etika kewartawanan yang sepatutnya menjaga integriti dan keadilan dalam laporan.
Ibrahim berkata, identiti mana-mana individu yang sedang disiasat perlu dipelihara kerana mereka masih dianggap tidak bersalah, walaupun selepas proses reman melainkan selepas pertuduhan dibacakan di mahkamah.
Sehubungan itu, Pemuda PAS Negeri menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap portal tersebut sebagai pengajaran kepada pengamal media yang melanggar etika.
Beliau turut menggesa Menteri berkenaan supaya memberi amaran keras terhadap sebarang pelanggaran etika kewartawanan agar tidak menjadi budaya berbahaya dalam industri media negara.
Dalam kenyataan sama, Ibrahim turut menegaskan bahawa tiada mana-mana ahli PAS terlibat dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes perusahaan fidlot itu.
Difahamkan siasatan SPRM tersebut melibatkan kes tahun 2018 hingga 2020, ketika Pakatan Harapan memimpin Kerajaan Negeri Kedah. – HARAKAHDAILY 6/12/2025











