Tak ‘gentleman’ guna peneroka sebagai ‘perisai’

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Dato’ Dr Azman Ibrahim menempelak kenyataan bersama oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Felda Global Ventures (FGV) yang cuba mengaitkan peneroka dengan isu ladang FELDA.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Task Force Penyelesaian Tanah FELDA itu berkata, tanah di bawah Akta Kawasan Penempatan Berkelompok 1960 (Akta GSA) merujuk kepada tanah rancangan FELDA yang telah dimiliki peneroka.

“Kenapa pengurusan FELDA nak tarik sekali peneroka ke dalam krisis ciptaan mereka sendiri. Peneroka tak terlibat dan tak bersalah sedikit pun. Ini tak ‘gentleman’. Kamu guna taktik letak peneroka jadi ‘perisai’ manusia,” katanya.

Jelasnya, di Terengganu, terdapat 21 tanah rancangan FELDA dan hampir keseluruhannya telah diberikan geran hak milik yang sah kepada peneroka.

“Fakta yang tak dapat dinafikan, Kerajaan Negeri Terengganu pimpinan PAS paling serius berusaha untuk menyelesaikan isu pemilikan tanah peneroka FELDA.

“Di kawasan saya, FELDA Selasih yang dibuka awal tahun 80-an, peneroka FELDA Selasih telah berjaya mendapat geran hak milik pada tahun 2003 ketika zaman pemerintahan PAS Terengganu.

“Tahun 2022 sekali lagi di zaman pemerintahan PAS juga, kita telah selesaikan pemberian geran hak milik tapak rumah generasi kedua FELDA Selasih. Ini rekod yang boleh berbicara sendiri.

“Apabila geran hak milik telah dikeluarkan kepada peneroka, ia bermakna peneroka telah membayar premium tanah dan cukai tanah. Bukan FELDA yang bayar. Ia tak berbangkit dan tak ada kaitan langsung dengan isu ladang FGV yang sedang diperjuangkan kerajaan negeri.

“Tanah ladang komersial FGV tak diwartakan bawah Akta GSA,” katanya dari tindakan terdahulu, Kerajaan Negeri Terengganu memberi amaran akan mengeluarkan Notis 425 Kanun Tanah Negara (KTN) terhadap FGV.

Ia sekiranya syarikat itu gagal memberikan sebarang maklum balas terhadap tuntutan negeri berhubung isu tanah negeri yang dibangunkan sebagai ladang komersial tanpa hak milik sah seluas 15,000 hektar.

Kerajaan negeri sebelumnya, menuntut 30 peratus daripada keuntungan kasar (gross profit) hasil ladang sawit berkenaan, manakala baki 70 peratus untuk pihak FGV.

Katanya, mesyuarat jawatankuasa negeri sudah memutuskan perkara itu sejak 2018 dan beberapa surat telah dihantar kepada pihak FGV, namun tidak mendapat sebarang respons.

Pada 29 November, kerajaan negeri memulakan operasi penguatkuasaan serentak di seluruh negeri selepas rundingan 40 hari yang dipersetujui bersama dengan Felda berakhir tanpa sebarang penyelesaian.

Operasi itu melibatkan penyerahan Notis Seksyen 425 KTN kepada Felda dan FGV atas dakwaan menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran. – HARAKAHDAILY 4/12/2025

- Advertisement -