
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu berhak menuntut kembali hasil serta hak ke atas 14,791 hektar tanah miliknya yang diusahakan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) sejak lebih empat dekad lalu, kata Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim.
Menurut, tanah melibatkan 10 ladang di Setiu, Marang, Dungun, Besut, Hulu Terengganu dan Kemaman itu bukan tanah rancangan FELDA yang mempunyai peneroka, sebaliknya tanah kerajaan negeri yang sepatutnya diurus mengikut syarat dan perjanjian asal.
“Sepanjang lebih empat dekad operasi FELDA di tanah-tanah ini, bayaran premium tanah, cukai tanah dan perkongsian keuntungan 30 peratus kepada kerajaan negeri masih belum diselesaikan dengan anggaran tunggakan mencecah RM600 juta walaupun Felda mencatatkan keuntungan besar setiap tahun,” katanya.
Lebih membimbangkan kata beliau yang juga Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah (PERTIWI) PAS Pusat, tanah-tanah ini telah dipajak dan diisytiharkan sebagai aset dalam penyenaraian Bursa Malaysia sedangkan status hak milik tidak pernah bertukar tangan.
“Penyenaraian sebagai aset FELDA adalah tidak wajar kerana tanah tersebut kekal sebagai milik Kerajaan Negeri Terengganu,” katanya ketika mengulas tindakan kerajaan negeri menetapkan 29 November lalu sebagai tarikh akhir penyelesaian tuntutan ke atas FELDA.
Namun tempoh berkenaan berakhir tanpa sebarang maklum balas mahupun tindakan daripada FELDA yang menurutnya, kegagalan menangani tunggakan berpanjangan itu bukan sahaja merugikan rakyat negeri ini, malah menunjukkan kelemahan tadbir urus yang tidak sepatutnya dibiarkan.
“Negeri berhak menuntut hasil daripada tanah yang sah miliknya dan hasrat ini bukan sahaja wajar bahkan selari dengan kepentingan rakyat Terengganu.
“Hasil ladang sepatutnya kembali menyumbang kepada rakyat dan pembangunan negeri bukan hanya menguntungkan pihak berkepentingan tertentu. Kelewatan dan kegagalan menyelesaikan tuntutan ini perlu ditangani dengan tegas agar hak negeri tidak terus dinafikan,” katanya.
Ahmad Amzad turut menyatakan sokongan penuh terhadap tindakan kerajaan negeri mempertahankan hak dan kepentingan rakyat dalam isu tersebut.
“Tuntutan yang dibuat bukanlah sesuatu yang baharu atau berlebihan tetapi merupakan hak sah yang telah tertangguh terlalu lama. Demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan ekonomi Terengganu, penyelesaian segera dan menyeluruh amat diperlukan,” katanya.
Terdahulu, kerajaan negeri memulakan operasi penguatkuasaan serentak di seluruh negeri selepas rundingan 40 hari yang dipersetujui bersama dengan Felda berakhir tanpa sebarang penyelesaian.
Operasi itu melibatkan penyerahan Notis Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) kepada FELDA dan FGV atas dakwaan menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran. – HARAKAHDAILY 4/12/2025











