Karambunai milik Aliakbar: Isyarat perubahan politik Sabah

- Advertisement -

KEPUTUSAN rasmi Pilihan Raya Negeri Sabah menyaksikan Datuk Dr Aliakbar mengangkat kemenangan bersejarah di DUN Karambunai N16 dengan majoriti 371 undi. Walaupun tipis, angka ini membawa makna besar kepada penduduk setempat dan pemerhati politik di seluruh negara. Malam kemenangan disambut dengan suasana penuh penghayatan, deraian air mata serta rasa syukur yang tidak terhingga dalam kalangan kepimpinan PN atau PAS dan seluruh jentera yang telah mengerah keringat sejak berminggu-minggu.

Fenomena Aliakbar: Dari media sosial ke jiwa pengundi

Dalam fasa akhir kempen, ‘fenomena Aliakbar’ menjadi sebutan ramai. Gelombang sokongan yang lahir daripada anak muda melalui video-video ringkas di TikTok melonjak ke FYP, mewujudkan arus kesedaran baharu. Calon ini bukan sahaja dibawa oleh parti, tetapi didukung oleh komuniti maya yang kreatif dan berpengaruh. Inilah generasi yang tidak lagi sekadar menerima kempen tradisional, tetapi membina naratif sendiri melalui humor, informasi, dan empati.

Pendekatan kempen Aliakbar yang lunak, beradab, tidak menyerang lawan, tidak memperlekeh pesaing dan menolak politik kebencian, ternyata memberi impak besar kepada psikologi pengundi Karambunai. Dalam suasana negara yang sering dibanjiri dengan politik perpecahan, Aliakbar menawarkan politik damai, sejuk dan matang dan ianya menjadi suatu pilihan yang dirindui oleh rakyat.

- Advertisement -

Penolakan terhadap politik ekstrem

Realiti di lapangan menunjukkan pengundi semakin bosan dengan cara lama seperti retorik keras, tuduh-menuduh, politik balas dendam serta kempen berbentuk peribadi. Pengundi khususnya generasi muda dan pengundi baharu mahukan calon yang memberi solusi, bukan mencetus masalah. Mereka mahukan pemimpin yang bercakap tentang peluang pekerjaan, masa depan anak-anak, pembangunan setempat, keselamatan, kos sara hidup, dan isu-isu dekat di hati mereka.

Aliakbar muncul sebagai antitesis kepada budaya politik ekstrem. Keperibadian beliau yang rendah hati, latar belakang profesional dan pendekatan komunikasi yang tenang menjadikan beliau calon yang mudah diterima oleh spektrum pengundi yang luas  yang terdiri daripada pemuda urban, ibu tunggal, warga emas, hinggalah pengundi atas pagar.

Pertembungan dua dunia: Politik nilai vs politik penguanan

Sabah selama ini dikatakan sebagai negeri yang agak mencabar kerana faktor ‘penguanan’ iaitu undi berbentuk sogokan wang yang sering menjadi barah dalam struktur politik Sabah. Bagi sebahagian pengundi yang dihimpit kesusahan hidup, pemberian wang ketika pilihan raya dilihat sebagai keperluan mendesak, bukan pilihan.

Namun, apa yang berlaku kali ini memberikan isyarat baharu. Walaupun elemen penguanan dikatakan masih wujud, ia tidak mampu menenggelamkan gelombang sokongan berasaskan integriti, khususnya daripada pengundi muda dan kelompok pengundi bebas. Mereka tidak sekadar menolak sogokan, tetapi memilih naratif politik yang lebih baik. Inilah kejayaan sebenar Aliakbar yang dapat menembusi realiti getir politik Sabah dengan nilai, bukan dengan wang.

Peranan jentera: Disiplin, pengorbanan dan kebangkitan komuniti

Satu lagi faktor yang menyumbang kepada kemenangan ini mungkin datang dari  kecekapan jentera PN atau PAS di Karambunai. Seperti penyusunan gerak kerja yang sistematik, semangat setiakawan, pengorbanan masa dan harta, serta kesungguhan membantu pengundi dari rumah ke rumah. Ramai jentera sanggup berkorban sehingga ke tahap menggadaikan barang berharga demi memastikan kempen berjalan lancar. Mereka melihat perjuangan ini bukan sekadar pilihan raya, tetapi amanah.

Emosi malam kemenangan menjadi bukti bahawa perjalanan kempen penuh cabaran ini disulam dengan pengorbanan yang tidak terhitung. Air mata yang gugur bukan hanya tanda kegembiraan, tetapi leganya hati melihat perjuangan berbaloi.

Kemenangan tipis, makna besar

Kemenangan 371 undi ini bukan kemenangan kecil. Ia adalah penanda perubahan budaya politik di Karambunai, daripada politik sogokan kepada politik integriti, daripada retorik kasar kepada komunikasi hikmah, daripada kepentingan peribadi kepada kepentingan rakyat. Karambunai kini menjadi contoh bahawa naratif politik yang matang dan beradab masih mempunyai tempat di hati rakyat. Dan Datuk Dr Aliakbar telah membuktikannya dengan penuh tawaduk dan ketekunan.

Karambunai kini bukan sekadar sebuah kawasan pilihan raya. Ia telah menjadi simbol bahawa politik berjiwa boleh menang, jika dibawa dengan keikhlasan, kesantunan, dan strategi yang tepat.

ABU FAWWAZ – HARAKAHDAILY 4/12/2025

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -