PAS Sabah bantah usul gantung MP Kota Bharu

Mustaman Mustain
- Advertisement -

SANDAKAN: PAS Sabah menyatakan bantahan keras terhadap tindakan Menteri Dalam Negeri yang membawa usul menggantung Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan selama enam bulan tanpa melalui proses siasatan Parlimen yang sewajarnya.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS negeri, Mustaman Mustain menegaskan bahawa tindakan tersebut melampaui batas dan tidak menghormati amalan legislatif yang menjadi asas kepada demokrasi negara.

Beliau berkata bahawa sebarang tuduhan terhadap ahli Dewan Rakyat mesti disiasat oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan sebelum sesuatu hukuman diputuskan.

“Jika langkah asas ini tidak dipatuhi, maka keseluruhan usul itu cacat dari segi prosedur dan tidak layak dibawa ke Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut mempersoalkan motif politik di sebalik usul tersebut memandangkan Menteri Dalam Negeri sendiri pada 30 Oktober lalu mengumumkan bahawa isu latihan komando Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Masjid Rusila telah ‘selesai’.

“Apabila selepas sebulan tiba-tiba muncul pula usul penggantungan, ia menimbulkan keraguan besar dan jelas menunjukkan ada agenda politik yang cuba disembunyikan,” ujarnya.

Menurutnya, hukuman penggantungan selama enam bulan tanpa pembelaan adalah tindakan ekstrem dan menggambarkan usaha menutup mulut pembangkang melalui kaedah yang boleh merosakkan kebebasan legislatif negara.

Beliau menambah tindakan itu bercanggah dengan pendirian kerajaan ketika menjadi pembangkang dahulu yang menentang keras sebarang penggantungan tanpa proses sewajarnya.

Justeru, tegasnya PAS Sabah mendesak kerajaan menarik balik usul tersebut serta tidak membiarkan Parlimen dijadikan medan untuk membalas dendam politik atas kepentingan sempit. – HARAKAHDAILY 3/12/2025

- Advertisement -