
KANGAR: Kerajaan Negeri mengumumkan penangguhan pelaksanaan Projek Rintis Zon Aliran Bebas (Free Flow) Wang Kelian yang sepatutnya bermula pada 12 Disember ini hingga 31 Mac 2026, susulan insiden tanah runtuh di sepanjang laluan utama ke sempadan Thailand minggu lalu.
Penangguhan ini dibuat setelah sebanyak 11 lokasi tanah runtuh dikenal pasti di laluan Wang Kelian–Wang Prachan ketika kejadian banjir besar melanda Perlis pada minggu lepas.
Berdasarkan penilaian teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR) Perlis, keadaan laluan tersebut didapati tidak selamat dan JKR menasihatkan penutupan sementara kecuali kepada kenderaan ringan sahaja.
Menurut kenyataan Kerajaan Negeri, kerja-kerja pembaikan kini sedang dijalankan secara intensif dan dijangka memakan masa antara 6 hingga 12 bulan untuk disiapkan.
Mengambil kira faktor keselamatan pengguna jalan dan risiko susulan tanah runtuh, Kerajaan Negeri bersetuju untuk menangguhkan projek rintis itu sehingga tarikh baharu diumumkan selepas laluan disahkan benar-benar selamat.
Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata keputusan itu dibuat atas dasar keselamatan selepas laluan berkenaan mengalami kerosakan serius.
“Projek Rintis Aliran Bebas di Wang Kelian itu kita tangguh dulu sebab kejadian banjir yang mana jalan ke Wang Kelian tu ada 11 lokasi runtuh. Atas nasihat JKR dan semua pihak yang terlibat, kita tangguh dulu untuk keselamatan pengunjung.
“Tarikh baharu akan diumum selepas semua pembaikan siap. Lepas itu kita akan bincang balik untuk buka semula free flow itu,” ujar beliau dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Kompleks Sri Putra, di sini semalam.
Beliau turut memaklumkan bahawa Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Wang Kelian telah ditutup sejak 23 November 2025 bukan sahaja kerana runtuhan di laluan Malaysia, malah kerana laluan di Thailand turut terjejas.
“Jalan ke Thailand tu hanya untuk kenderaan ringan sahaja, tidak melebihi 3 tan, dan mesti dipantau polis supaya pengguna selamat,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang.
Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia sebelum ini telah mengeluarkan arahan penutupan Kompleks ICQS Wang Kelian pada 23 November 2025 dan akan kekal ditutup sehingga laluan disahkan selamat.
Orang ramai yang ingin ke Thailand melalui Perlis digesa menggunakan ICQS Padang Besar sebagai pintu sempadan alternatif.
Bagi memastikan penduduk Kampung Wang Kelian tidak terputus bekalan asas dan keperluan harian, Mohd Shukri berkata, Kerajaan Negeri sedang meneliti cadangan mewujudkan satu laluan aliran bebas khas antara penduduk kampung tersebut dengan Wang Prachan.
“Cadangan itu masih di peringkat awal dan akan diperhalusi bersama pihak berkuasa berkaitan dalam masa terdekat,” ujar beliau yang dalam pada itu, merakamkan penghargaan kepada semua agensi dan sukarelawan yang terlibat dalam operasi banjir di Perlis baru-baru ini.
Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) telah diaktifkan pada 24 November 2025 sebaik sahaja bencana bermula.
Berdasarkan maklumat dari Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), seramai 7,587 mangsa daripada 2,267 keluarga berjaya ditempatkan di 24 Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Sehingga 8.00 malam semalam, terdapat 2 PPS masih dibuka dengan 256 mangsa daripada 80 keluarga.
Kerajaan Negeri bersama NADMA dan agensi berkaitan kini sedang menjalankan penilaian kerosakan serta melaksanakan kerja-kerja pembersihan pascabanjir di lokasi-lokasi terlibat. – *HARAKAHDAILY 4/12/2025*











