Karambunai contoh Politik Nilai, Solusi, Matang dan Sejahtera

- Advertisement -

TEPAT jam 9.56 malam bertarikh 29 November 2025 pada Pilihan Raya Umum Negeri Sabah ke-17 merupakan detik bersejarah buat PAS Sabah apabila kiraan undi pada skrin besar elektronik menunjukkan Parti Islam itu berjaya menewaskan 10 calon lain termasuk pencabar terdekatnya daripada Parti Warisan, GRS dan Umno-BN selaku penyandang kerusi Karambunai sejak sekian lama. Maka berlinaganlah air mata kesyukuran segenap mata para pendukung perjuangan yang menyaksikan peristiwa keramat itu lalu disusuli sujud syukur kepada Tuhan Yang Maha Esa.

- Advertisement -

Mengapa tidak, penantian hampir 40 tahun sejak PAS Sabah menjejakkan kaki di bumi bertuah ini pada tahun 1986 akhirnya berjaya melahirkan ‘anak sulung’ buat seluruh rakyat. Segala onak dan duri dilalui dengan penuh kesukaran dan kesabaran demi memberikan kefahaman yang benar kepada segenap rakyat tentang erti perjuangan yang dibawa oleh Parti Islam ini.

Dulunya pada peringkat awal, PAS bergerak atas nama dakwah dan tarbiyah. Berusaha pula melebarkan sayapnya dalam bidang pendidikan untuk rakyat. Melalui medan ilmu inilah PAS mula dikenali oleh sekalian warga dan rakyat Sabah yang berbilang kaum dan agama. Sistem pendidikan prasekolah melalui Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) dan kini Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) wujud bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan di seluruh pelosok negeri Sabah antara yang menjadi taruhan untuk rakyat.

Ketika itu, apabila bercerita soal politik kepartian, masih berlapik dan sukar berikutan kebimbangan penerimaan masyarakat Sabah khususnya yang bukan Islam. Sebab itu tidak hairan apabila masyarakat Sabah termasuk yang Muslim pada awalnya menyebutkan ‘Kami mahu PASTI tetapi tidak mahu PAS’. Begitulah gambaran penerimaan rakyat yang masih tidak memahami perjuangan PAS ketika itu.

Pun begitu, PAS terus mengorak langkah ke hadapan selangkah demi selangkah memecah tembok pemisah walaupun menempuh pelbagai cabaran dan tribulasi. PAS tidak pernah tidak menyertai proses demokrasi setiap kali pilihan raya berlangsung sama ada di peringkat Parlimen mahu pun Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai suatu cara memperkenalkan diri bahawa PAS adalah juga sebuah parti politik.

PAS mula bertanding pada pilihan raya umum pada tahun 1986 dengan menampilkan calon tempatan di tiga kerusi Parlimen iaitu di Parlimen Jambongan (kini Beluran), Kota Belud dan Kimanis sungguhpun belum mencpai kemenangan.

Penyertaan PAS dalam arena politik Sabah terus menjadi perhatian pelbagai lapisan rakyat di seluruh Negeri Sabah. Sungguhpun corak penerimaan masyarakt terhadap PAS agak berbeza berdasarkan demografi masyarakt setempat. Penerimaan masyarakt di Pantai Timur lebih positif berbanding sebelah Pantai Barat. Ini mungkin disebabkan oleh faktor agama dan budaya.

Ketika PAS mula diterima oleh masyarakt Sabah, ada pepatah Melayu menyebutkan ‘semakin menjulang tinggi sebuah pohon maka semakin kuatlah angin kencang yang meniupnya’, maka begitulah jua hakikat perjalanan politik PAS dalam gelanggang politik negeri.
PAS sering dilebalkan ‘parti ekstrem agama’, ‘parti ajaran sesat’, ‘parti pemecah belah masyarakat Sabah’, ‘parti Malaya’, ‘PAS bagus balik Semenanjung’, ‘PAS tidak mungkin menang pilihan raya’, ‘kalaupun bertanding akan hilang deposit’. Macam-macam lagi ungkapan dan tohmahan tidak berasas pihak tertentu terhadap PAS.

Ungkapan pahit seumpama ini menjadi ubat dan penawar untuk PAS terus melangkah gagah ke hadapan. Setajam mana pun tuduhan yang dilemparkan, kepimpinan dan ahli tetap mengutamakan kesabaran dan keharmonian. Begitulah rencamnya perjuangan politik PAS di bumi Sabah tercinta ini.

Dengan perjalanan politik yang begitu panjang dan strategi yang pelbagai, maka bermulalah episod baharu buat PAS dalam politik dan pentadbiran Kerajaan Sabah apabila Datuk Dr Aliakbar Gulasan diberi ruang menduduki kerusi ADUN Dilantik pasca PRU Sabah 2020 lalu. Di sinilah bermulanya corak kepimpinan sebenar yang dibawa oleh beliau yang berbeza dengan yang lain. Mempamerkan Politik Matang dan Sejahtera, bertanggungjawab dan beritegriti. Di sinilah rakyat seluruhnya melihat kepimpinan sebenar beliau yang sama sekali jauh meleset sebgaimana tanggapan negatif sesetengah pihak sebelum ini.

Tembok tebal pemisah satu demi satu dapat dipecahkan. Kini telah terbukti segala ungkapan sinis ditolak rakyat apabila mereka membuktikannya di DUN Karambunai dengan melakukan perubahan luar biasa. Masyarakat Kadazan, Dusun, Murut dan Tionghua yang bukan Islam turut memberi undi dan kepercayaan kepada calon Parti Islam ini atas tiket Perikatan Nasional (PN).

Di sinilah nama Datuk Dr Aliakbar Gulasan, seorang anak kampung berjiwa rakyat dijulang namanya dek kemanangan di DUN Karambunai pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 pada 29 November lalu. Siapa yang tidak kenal dengan sosok tubuh kelahiran Tenom ini. Seorang yang berpendidikan tinggi sehingga peringkat PhD dalam bidang Geografi Bandar, bekas pensyarah di Universiti Malaysia Sabah (UMS) selama 23 tahun, mantan ADUN Dilantik sebelum ini dan kini menjadi ADUN dipilih rakyat. Tentulah terasa rugi jika rakyat tidak memilih seorang pemimpin seperti beliau. Rakyat Karambunai telah pun membuat pilihan tepat. Beruntung rakyat Karambunai.

Starategi dan pendekatan Politik BAIK, Politik Nilai, Politik Akhlak dan Politik Solusi telah berjaya menarik sokongan rakyat. Bagi beliau, seorang pemimpin wajib mendidik rakyat dengan nilai akhlak dan budi. Seorang pemimpin bukan menyalahkan pemimpin masa lalu yang telah melakukan kesilapan. Pemimpin harus melakukan jalan penyelesaian untuk rakyat bukan pada masa pilihan raya sahaja dengan pelbagai janji-janji manis.

Sejak awal kemenangan pada hari pertama, tanpa menunggu peruntukan, Datuk Aliakbar terus ke gelanggang rakyat menabur bakti. Kini pejabat keduanya adalah di kampung-kampung rakyat. Beliau ingin membuktikan apa yang dikata perlu dikota.

Baginya rakyat Karambunai seperti keluarganya sendiri walaupun mereka berbeza agama, suku bangsa, budaya dan fahaman politik. Semua mereka disantuni secara adil dan saksama. Tidak hairanlah masyarakat DUN Karambunai sejak awal lagi terutama dalam kalangan anak-anak muda sangat mengormati dan menyayangi Pesuruhjaya PAS Sabah ini.

Sangat yakin dengan perancangan dan strategi yang berkesan, pepatah menyebutkan ‘dari sebiji benih tumbuh sepohon yang batangnya kukuh, daunnya rimbun menghijau dan buah yang lebat dan ranum untuk dinikmati bersama’. Begitulah hakikat perjuangan PAS yang bakal muncul sebagai sebuah parti rakyat adil untuk semua.

Sahar Abdul Majid

SAHAR ABDUL MAJID
Setiausaha PAS Negeri Sabah
3 Disember 2025 – HARAKAHDAILY 3/12/2025

- Advertisement -