Perjanjian ART Malaysia-AS terpalit kedaulatan

- Advertisement -

TUN Dr Mahathir Mohamad membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahima atas perhitungan kedaulatan negara kerana Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang dimeterai dengan Amerika Syarikat (AS) bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung di Kuala Lumpur akhir Oktober lalu.

- Advertisement -

Perjanjian setebal 400 muka surat, dilihat tidak akur pada prosedur sah, iaitu tidak melibatkan Majlis Raja-Raja, Agong dan Dewan Rakyat yang mewakili Persekutuan telah menimbulkan kegusaran awam kerana tidak dihebah kepada rakyat malah tidak diberi peluang rakyat mengetahui kandungannya. Yang membimbangkan banyak pihak mendakwa klausa menyerahkan kuasa Malaysia kepada Amerika Syarikat, iaitu apa-apa yang hendak dilakukan perlu dirujuk kepada AS.

Hak istimewa Bumiputera tidak disebut langsung dalam ART dilihat merugikan mereka dakwa tokoh paling lama dalam pentadbiran negara dan melihat perjanjian itu suatu ancaman terhadap kedaulatan Malaysia kerana keistimewaan Bumiputera dalam perniagaan dan perdagangan dimakzul dan AS mendapat apa-apa juga layanan mengambil alih status Bumiputera.

Dengan tegas ujarnya bahawa PM tiada hak bersendirian menandatanganinya selain menidakkan kebebasan atau kemerdekaan. Tindakannya itu dilihat mengkhianati negara atau menderhaka kepada negara kerana kuasa kenegaraan diserah kepada AS. Segerak laporan massa dikesan lebih 139 laporan polis dibuat individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara untuk tujuan menyiasat sama ada melanggar undang-undang atau perlembagaan negara.

Sementara Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam kenyataannya usai perjanjian ART Malaysia-AS bahawa keputusan itu dibuat kerana struktur eksport Malaysia yang amat terdedah kepada tarif AS. Usai momen perjanjian mereka menyatakan Malaysia akan mendapat layanan, terutama dalam sektor elektrik dan elektronik serta semikonduktor kerana kita merupakan rakan strategik dalam sektor ini.

Beliau menyatakan tarif baharu sebanyak 25 peratus bagi hampir keseluruhan eksport ke AS dan tanpa ART boleh mengakibatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia susut sekitar 1.2 mata peratus setahun, iaitu hampir RM30 bilion setahun. Malahan menafikan dakwaan bahawa ART menjejaskan kedudukan hak bumiputera. Ini berdasarkan Artikel 7.1 dalam perjanjian ART mengiktiraf hak dan obligasi Malaysia di Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), termasuk melindungi keselamatan negara serta mengambil langkah perdagangan yang perlu.

Terdahulu Dato’ Seri Anwar Ibrahim, perjanjian ART itu mendapat perhatian serius Jemaah Menteri sebagai menafikan peranan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART 2025) yang ditandatanganinya pada 26 Oktober lalu bersifat berat sebelah serta memihak kepada kuasa luar.

Manakala Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan, perjanjian tersebut bertujuan meliberalisasikan perdagangan, perkhidmatan dan pelaburan antara kedua-dua negara, di samping menjadi platform menyelesaikan isu tarif secara bersama. AGC juga menegaskan bahawa semua perlindungan dalam perjanjian tersebut dirangka bagi mempertahankan kedaulatan dan kepentingan negara, selain memastikan Malaysia dan Amerika Syarikat terus mematuhi piawaian perdagangan antarabangsa di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia.

Bagi rakyat campur tangan AS dalam banyak industri termasuk pemakanan, pembuatan, pertanian, ketenteraan, dan nadir bumi menyebabkan hampir keseluruhan ekonomi negara dikorbankan, demi mendapat pujian daripada Presiden AS, Donald Trump. Malahan hak untuk menentukan halal haram barangan yang dibawa masuk dari negara bukan Islam telah diambil alih peranan oleh Amerika.

Perjanjian tersebut akan berkuat kuasa dalam tempoh 60 hari selepas kedua-dua pihak mengesahkan pelaksanaan tatacara perundangan domestik masing-masing. Namun Malaysia juga mempunyai hak untuk menamatkan perjanjian melalui pemberitahuan bertulis sebagaimana diperuntukkan dalam Artikel 7.5.

Oleh itu, negara mesti keluar dari terpalit lumus yang mengundang mudarat awam pada masyarakat sekali gus tidak berada dalam kotak negara adidaya dunia kerana kemerdekaan tersangat mahal harga maruah dan hayat warganya.

DR ZULKEFLEE YAACOB
Psikososio @ Pakar Penasihat Wanita Kelantan – HARAKAHDAILY 3/12/2025

- Advertisement -